Thursday, 24 May 2012

Murabbi

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang



Sahabat yang majoritinya murabbi.

Murabbi, guru, cikgu, sama sahaja tugasnya mendidik.
Semasa saya tingkatan enam,guru-guru,ustaz ustazah di panggil murabbi. Saya benar-benar terkesan dengan panggilan tersebut.

Hari ini saya sengaja ingin mengimbau kembali apa yang murabbi saya telah lakukan pada saya,dan apa pula yang bakal saya lakukan pada anak didik saya. Semoga ada manfaatnya.

Saya masih ingat ustaz Abdullah yang mengajar syariah semasa saya tingkatan enam. Setiap kali selesai ujian atau peperiksaan saya kerap menulis di muka surat terakhir kertas jawapan,'jawapan tamat', diikuti nama saya dan saya selitkan perkataan 'profesor' di belakangnya. Setiap kali itulah, beliau menulis insyaallah di tulisan 'profesor' tersebut. Sebagai murid Saya rasa diberkati. Saya rasa dikasihi. Saya rasa impian dan cita-cita saya diredhai oleh murabbi saya. Semoga Allah memberkati kehidupannya hari ini. Amin.

Jika peringkat SPM, mata pelajaran bahasa Malaysia merupakan mata pelajaran wajib lulus, di peringkat STPM pula, Pengajian Am merupakan mata pelajaran wajib lulus. Keputusan pengajian am senior setahun daripada saya, mencatat kejatuhan yang teruk. Murabbi saya menerima tamparan yang hebat. Mereka terperanjat dengan keputusan tersebut. Kesannya ialah kami yang akan menduduki STPM hujung tahun tersebut. Tekanan yang amat dirasai. Kelas bimbingan siang dan malam. Tiba hari peperiksaan, saya masih ingat semasa bulan ramadhan (nota:saya rindu udara bumi wakafan itu), murabbi pengajian am kami, berdiri di luar dewan dan bersalaman dengan setiap seorang daripada kami, bayangkan semangatnya semasa itu untuk menjawab dan buat sehabis baik. Tindakan yang sangat terkesan di jiwa saya. semasa peperiksaan, mereka duduk di surau dan membaca yasin untuk kami sepanjang kami dalam dewan peperiksaan. Allahu akbar. Besar sungguh jasa murabbi saya. Tidak terbalas rasanya jasa mereka. Semoga Allah memberkati hidup murabbi saya dunia dan akhirat.amin

Ada seorang lagi Murabbi saya yang sering memberi nasihat dan teguran di kelas. Tegurannya juga kerap mengundang air mata saya bertakung di kelopak mata. Nasihat yang membina. Nasihat yang memberi kesedaran. Ustaz Kamal, yang juga warden dan tinggal dalam kawasan sekolah. Beliau sering menggelar anak didiknya yang bercermin mata sebagai istimewa kerana diberi kelebihan mempunyai 'empat mata'. Allah. Lucu rasanya.

Sedikit Kenangan yang sangat menyentuh hati saya, dan masih saya ingati hingga hari ini. Saya tersedar hari ini, mampukah saya menjadi murabbi seikhlas mereka. sentuhan, tindakan yang mereka lakukan benar-benar terkesan di hati dan jiwa saya sebagai murid mereka.

Apa yang saya kongsi di sini, bukan sekadar pengalaman.tetapi yang lebih penting ialah keikhlasan mereka bertugas dan keberkatan yang diperoleh dalam setiap kehidupan mereka.

Adakah hari ini kita sudah benar-benar ikhlas melaksanakan setiap tugasan yang diberikan? Adakah hari ini saya benar-benar bertanggungjawab dalam setiap pengajaran saya kepada anak didik saya?Murabbi yang dianggap 'role model',contoh terbaik, ikutan terbaik, tetapi sudahkah saya memberi contoh dan ikutan terbaik kepada mereka? Saya mohon keampunan Allah.

Semoga perkongsiaan ini bemanfaat. Muhasabah dan refleksi diri.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment