Tuesday 31 July 2012

Sikap

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

setiap manusia berhak mendapat kejayaan selagi mereka usaha tanpa mengenal putus asa.
Apa khabar sahabat pembaca? semoga sihat dan terus istiqomah dengan amal ibadat sepanjang ramadhan dan bulan-bulan seterusnya.

Hari ini saya agak terkilan dengan segelintir pelajar yang belajar seolah-olah tanpa sebarang alasan. Hanya ke sekolah atas dasar mereka di sekolahkan oleh ibu bapa, atas dasar datang ke sekolah kerana semua rakan sebaya bersekolah. Bukan tujuan datang ke sekolah dengan niat untuk menuntut ilmu. Hasilnya, walaupun sudah berumur 15 tahun tapi seolah-olah pengisian minda masih kosong..kosong sekosong-kosongnya. Astagfirullah...dimanakah salahnya?

Saya tertanya- tanya dan mungkin perlu disusuli dengan tindakan saya seterusnya, adakah seseorang guru perlu mendidik dengan garang?

Adakah hubungan yang signifikan antara kegarangan guru dengan peningkatan tahap pencapaian murid?

Adakah guru yang 'tidak garang' itu menyebabkan murid tidak fokus serta banyak gelak daripada belajar?

Bagaimana pendapat sahabat pembaca?

Saya tidak memandang 'A' murid, apa gunanya 'A' yang berderet tetapi tiada adab. Apa gunanya 'A' yang banyak tetapi apabila diajak berkomunikasi dan berbincang secara ilmiah, mereka seolah-olah 'kosong'. Tidak mampu memberi idea bernas, tidak mampu menggunakan bahasa yang formal dalam komunikasi, tiada keyakinan. 'A' yang diperolehi melalui proses hafalan bukan pemahaman sepenuhnya terhadap ilmu yang dipelajari.

segalanya berbalik kepada sikap. Sikap pelajar dalam mencari makna menuntut ilmu.
Guru, ibu bapa, sekolah hanya faktor luaran. lebih penting berbalik kepada sikap pelajar itu sendiri.

Seperti kata idola saya Prof. Dr Muhaya, biar sikap dalaman kita yang positif menguasai dunia luar. Bukan diri kita yang dikuasai, tetapi diri kita menguasai keadaan sekeliling.

Allahu Akbar. Astagfirullah. Saya memohon keampunanNya..
Saya mohon bantuanNya, agar memberi saya petunjuk dan memandu saya untuk mampu mendidik anak bangsa dengan hikmah dan bijaksana.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.
Selamat berbuka puasa..bersederhanalah dalam berbuka.


Monday 30 July 2012

Doa Dhuha

salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang


Bagaimana amalan puasa ramadhan sahabat pembaca hari ini? semoga dalam keberkatanNYA..ameen

Pagi-pagi isnin yang redup dan tenang ini. saya kongsikan doa dhuha yang dibacakan oleh kumpulan nasyid UNIC. semoga ada manfaatnya dan menjadi amalan seharian kita. InsyaAllah...

Salam sejahtera kepada kalian semua.

Sunday 29 July 2012

Refleksi ramadhan

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang



Gambar waktu senja dari tingkap kereta, sewaktu merentasi lautan, melalui jambatan Pulau Pinang. Indah sungguh ciptaan Tuhan.

Tajuk post saya hari ini, sama dengan semalam. Entah, kadang kala kita berasa iman kita memuncak, kadang kala jatuh merudum. Astagfirullah. Saya mohon bantuan dari yang Esa, semoga terus istiqomah.

Saya bukanlah orang yang baik. Dulu-dulu banyak benar kesilapan dan kesalahan yang saya lakukan. Tetapi hari ini saya sedang berusaha menjadi orang yang lebih baik semalam. Doakan usaha saya ini. Tembakan doa sahabat saya harapkan. Doa yang menjadi senjata orang mukmin. Saya doakan sahabat pembaca juga menjadi lebih baik daripada semalam.

Hakikatnya, jika saya ingin mengubah keliling saya menjadi baik, saya dahulu hakikatnya perlu berubah menjadi baik dan positif.

Ironinya, saya tidak mampu mengubah sesiapun, tanpa keizinanNya.

Ayuh sahabat, kita berubah menjadi lebih baik.
Saya melankolik hari ini, baru sampai di Kuala Lumpur dari kampung, dengan berbekalkan masakan emak yang akan menjadi santapan waktu berbuka sebentar lagi. Allahu Akbar. Semoga saya dan semua sahabat mampu menjadi anak yang solehah/soleh untuk emak dan ayah kita. SubhanaAllah. Kasih sayang mereka anugerah yang tiada bandingannya.

Semoga saya dan semua sahabat pembaca mampu menjadi manusia yang lebih baik.

Ayuh sahabat, kita kejar akhirat..

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca yang saya sayangi..selamat berbuka puasa.

Berdoalah sebelum berbuka, antara waktu yang mustajab doa.

Selepas makan, jilat jari ye..

posted from Bloggeroid

Saturday 28 July 2012

Refleksi

Salam

Dengan Nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca?bagaimana ibadat puasa? Semoga terus ikhlas dan istiqomah dengan amalan wajib dan amalan sunat yang lain. Terus beristiqomah untuk bulan-bulan yanf akan datang walau ramadhan berlalu pergi.

Sudah seminggu ramadhan bersama kita. Setakat mana kita benar-benar meraikannya? Astagfirullah.

Marilah kita sama-sama tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.

Itulah sahaja jalan pulang yang terbaik dalam segala masalah kehidupan.

Kembali.kepada Allah. Kembali kepada pencipta kita yang maha agung. Kembali menyedari dan mengingati hakikat kita diciptakan sebagai insan. Allahu Akbar, refleksi ini paling utamanya untuk diri saya sendiri dan amnya untuk sahabat pembaca semua.


Seminggu telah berlalu, kita refleksi diri. Muhasabah diri. Mana lagi lompongan - lompongan yang perlu dibaiki. Astagfirullah. Bantuan Allah sahaja yang kita perlukan.

Salam sejahtera kepada sahabat pembaca semua.
Salam ramadhan.

posted from Bloggeroid

Thursday 26 July 2012

Sunnah Nabi

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar amalan sahabat pembaca sempena ramadhan yang mulia tahun ini?

Masjid Terapung, Pulau Pinang. Indah dan mendamaikan

Bagaimana amalan solat terawih? Tilawah dan Tadabbur Al-Quran? semoga terus istiqomah dengan amalan yang dilakukan..ameen..

Bagaimana dengan menu berbuka? Elakkan pembaziran, makanlah hanya ikut kemampuan dan bersederhanalah dalam setiap tindakan dan makanan yang diambil. Kerana banyak penyakit hari ini datangnya dari perut.

Saya hanya nak berkongsi amalan atau sunnah junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W yang mungkin ramai antara kita melupaknnya iaitu menjilat jari selepas makan. kisahnya, saya ada sedikit masalah sembelit. Pelbagai cara saya cuba buat seperti makan buah-buahan, makan sayur, makan ubat  yang doktor berikan, namun masih juga tidak selesai.

Jadi saya terfikir sejak dua bulan lepas untuk mengamalkan degan menjilat jari setiap kali saya selesai makan. Dengan niat untuk mengikut sunnah nabi, dan pastinya apa sahaja sunnah yang nabi lakukan pastilah terbaik. Selepas sebulan saya  menyedari bahawa amalan tersebut berkesan, kerana kini hampir setiap pagi saya tidak lagi mempunyai masalah sembelit dan Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. SubhanaAllah...Maha Suci Allah...Benarlah, setiap penyakit ada ubatnya..Allah sahajalah yang maha berkuasa..

mengikut pendapat daripada beberapa pembacaan ada mengatakan bahawa jari-jari kita menghasilkan enzim dan asid yang mampu melancarkan proses pencernaan.

Syukur. Jadi saya suka nak mengajak semua sahabat pembaca mengamalkannya. selain mendapat pahala dengan mengikut sunnah nabi, InsyaAllah. Juga boleh memberi kita kesihatan yang baik. Ameen..

Tapi jangan lupa membaca doa sebelum makan :)))

Salam sejahtera kepada kalian semua..

Selamat berbuka puasa..
Sebelum berbuka, berdoalah, antara waktu mustajab doa..
Apabila azan berkumandang, baca lah doa berbuka..
Lantas makan dimulakan dengan kurma..
SubhanaALLAH...
SEMOGA ADA KEBERKATANNYA..AMEEN..


Wednesday 25 July 2012

Musafir

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Saya teringat satu lagu nasyid nyanyian kumpulan Rabbani. Liriknya lebih kurang begini,

'Bermusafirlah,
Melihat keagungan Allah'

Benar dengan bermusafir, kembara, melihat negeri atau negara lain akan meluaskan pandangan kita dalam melihat keagungan Allah mencipta sesuatu kaum, bangsa, agama yang berlainan rupa, kulit dan adat resam. SubhanaAllah. Maha suci Allah yang menciptakan segalanya tanpa sia-sia.


Feri Pulau Pinang.

Imam Al-Syafi'i yang sanggup mengembara jauh semata-mata untuk menuntut ilmu ada mengatakan bahawa,

'mengembaralah dengan meninggalkan negeri-negerimu untuk mencari kemuliaan. Dan bermusafirlah kerana terdapat lima faedah bermusafir iaitu menghilangkan kedukaan, mencari rezeki, faedah ilmu, faedah adab dan menemani orang yang mulia'

Jadikan setiap pengembaraan dan musafir kita benar-benar bermakna dan ada hikmah dalam perjalanan tersebut. InsyaAllah pasti akan meninggalkan kenangan yang sangat positif dalam kita melayari kehidupan. InsyaAllah. Ameen.

posted from Bloggeroid

Tuesday 24 July 2012

Pidato

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Minggu pertama persekolahan sekembalinya dari kursus yang panjang memerlukan saya kembali mencari rentak untuk mengajar. Allahu Akbar, saya mohon bantuanNYA.

saya nak berkongsi dengan sahabat pembaca contoh bahan pengajaran untuk karangan jenis pidato bagi bahagian pendahuluan. jika sahabat pembaca guru bahasa Melayu, bolehlah gunakan sebagai bahan pengajaran. semoga bermanfaat.


salam sejahtera kepada kalian semua.
selamat berbuka puasa. selamat beristiqomah dalam meneruskan ibadah pada malamnya.


Sunday 22 July 2012

Lagenda Mahsuri

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca?hari ini sudah hari kedua ramadhan. Bagaimana dengan amal ibadat?tepuk dada tanya iman.

Saya sambung kembali kisah kembara ke Pulau Langkawi. Sebaik sahaja selesai urusan sewa kereta, tempat pertama yang kami tuju ialah Kota Mahsuri. Pulau Langkawi dan Mahsuri umpama irama dan lagu. Cacatlah kembara ini jika tidak mengenali asal usul kisah Mahsuri. Tiket masuk ke Kota Mahsuri ini hanya rm5 bagi dewasa.



Kubur Mahsuri. Alfatihah.



Galeri ini mempamerkan gambar, artifak lama, dan ada juga tayangan video kisah mahsuri yang difitnah. Benarlah fitnah itu dosanya lebih berat daripada membunuh. Dan doa orang yang teraniaya itu tiada hijabnya. Astagfirullah.



Perigi Mahsuri yang ada dongengnya mengatakan jika wanita yang lambat jodoh ambil air perigi ini dan basuh muka. WallahuA'lam. Jodoh ajal maut segalanya di tangan Tuhan yang maha kuasa.

Jika ke Kota Mahsuri ini juga jangan lepaskan peluang untuk menjamah laksa kota mahsuri. Rasanya benar-benar asli laksa utara. Makan sambil melihat kehijauan sawah padi yang terbentang,subhanAllah, indahnya ciptaan Tuhan.

Kesimpulannya, hikmah kembara ini dapat menambah pengetahuan dan pengalaman peribadi saya. Benarlah, tidak ada satu pun yang wujud atas dunia ini dengan sia-sia. Segalanya terjadi ada pastiada hikmahnya.

Salam sejahtera kepada kalian semua.
Bersama kita meriahkan bulan ramadhan tahun ini dengan ibadah yang penuh nikmat. InsyaAllah. Ameen.

posted from Bloggeroid

Saturday 21 July 2012

Ramadhan

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

SubhanaAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar. Syukur. Syukur. Syukur kepada Allah. seorang pendosa ini diberi nikmat dan peluang lagi bertemu ramadhan tahun ini. Namun, cukupkah hanya sekadar mengungkapkan syukur di mulut. Bagaimana untuk membuktikan kesyukuran tersebut? Dengan beribadah dan melipat gandakan amalan semata-mata kerana Allah dan sentiasa berkira-kira dengan amalan tersebut, adakah amalan aku cukup? Adakah amalan aku seorang pendosa ini diterima? Adakah ruang untuk aku mendapat rahmat dan kasihMu Allah sedangkan terlalu banyak dosaku padamu? Semoga dengan perkiraan tersebut kita makin bersemangat untuk terus mempertingkatkan amal ibadat semata-mata keranaNya.

Salam ramadhan kepada semua sahabat pembaca. Selamat memasuki 'universiti ramadhan'. Semoga kita mampu menggenggam 'ijazah' yang cemerlang dan mendapat 'kerjaya' yang gemilang di akhirat kelak. InsyaAllah.

Salam ramadhan sahabat pembaca.
Nikmatilah ramadhan yang penuh kemuliaan ini dengan penuh bahagia.

posted from Bloggeroid

Friday 20 July 2012

Pulau Langkawi

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang



Sabtu lepas, minggu akhir di bumi Kedah, saya dan rakan-rakan sempat ke Pulau Langkawi, Pulau Lagenda yang masyur dengan kisah Mahsuri. Syukur. Saya berdoa agar perjalanan ini penuh dengan hikmah yang boleh dikutip dan dijadikan panduan. Saya tidak mahu menjadikan nikmat kembara yang diberi Tuhan sekadar kembara kosong tanpa sebarang manfaat.saya mohon keampunanNya.

Kami tidak bermalam di Pulau Langkawi. Jadi kami mulakan perjalanan dari Kulim jam 5 pagi, kerana ingin menaiki feri paling awal jam 7 pagi. Tapi perancangan Allah terbaik, kami sampai di kuala kedah jam 630 pagi, solat subuh di masjid Al-Aman seterusnya terus ke Jeti. Tapi kami sesat sedikit untuk ke Jeti dan akhirnya hanya sempat menaiki feri jam 815 pagi. Harga tiket sehala dari jeti Kuala Kedah ke Langkawi rm23 bagi dewasa dan rm18 bagi kanak-kanak. Memandangkan kami pergi hari sabtu dan cuti sekolah, jadi kami parking kereta di sekolah kebangsaan haji ismail yang kosnya rm10 bagi tempoh 24 jam. Saya fikir parking di sekolah insyaAllah lebih selamat. Tempoh perjalanan dari jeti Kuala Kedah ke Langkawi ialah satu jam setengah.



Gambaran pertama di Langkawi sebaik turun daripada feri. Kami sampai disambut dengan hujan yang renyai-renyai. Kami menyewa kereta wira automatik dengan kos rm60 sehari. Minyak kereta rm20 sudah mencukupi untuk melawat sekitar Langkawi bagi tempoh sehari.


Pulau Langkawi, Pulau Lagenda. Dari menaiki feri hingga ke urusan sewa kereta pandangan saya semuanya sistematik dan selesa bagi pelancong. Saya akan sambung kisah kembara ke Pulau Lagenda ini nanti. Nanti kan ye. Saya pasti ramai sahabat pembaca sudah berkali -kali ke Pulau Langkawi, sekurangnya dengan bacaan ini menggamit kembali kenangan. Jika belum berpeluang mungkin tulisan ini boleh dijadikan panduan.insyaAllah.

Salam sejahtera kepada kalian semua
Selamat menyambut ramadhan pada esok hari.
Jadikan ramadhan tahun ini benar-benar berbeza dari ramadhan yang lepas. Bukan sekadar ramadhan adat tetapi ramadhan ibadat yang insyaAllah semoga amalan yang kita lakukan diterima olehNya. Amin.

Selamat datang ramadhan yang Mulia.
Bulan berkat, Bulan penuh Rahmat, Bulan penuh Tarbiah.

posted from Bloggeroid

Thursday 19 July 2012

Akhirnya

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Akhirnya,
Setelah empat minggu di bumi Kulim, menghirup udara pagi dengan sedikit udara ayam yang kurang menyenangkan (baca:berhampiran tempat penternakan ayam).

Setelah empat minggu makan dan minum, dilayan dan dihidangkan.
Setelah empat minggu saya berkesempatan melawat kedah, sempat ke Pulau Langkawi, dapat ke Pulau Pinang, berpeluang berehat bermandi manda di air terjun Ulu Paip

Berpeluang mengenali dan mengesahkan bahawa benarlah orang utara ini kata-katanya lembut, melayan tetamu,subhanallah sangat hebat. Saya terpesona. Sekarang hati teringat-ingat dan rasa ingin kembali lagi ke negeri utara Malaysia ini.

Akhirnya, semalam saya selamat sampai di Kuala Lumpur, kembali tersekat dalam jem yang panjang, hiruk pikuk kereta dan motor. SubhnaAllah, dua nikmat yang berbeza tetapi tetap harus disyukuri selagi diberi peluang menghirup udara dan bernafas dengan tenang. Syukur kepada Mu Ya Allah.

Perjalanan saya dari Kulim bermula jam 10 pagi. Selepas pembentangan tugasan di hadapan pensyarah. Syukur,semuanya berjalan lancar. Saya sampai di Kuala Lumpur jam 2, dan terus ke Institut Jantung Negara untuk melawat ayah saya yang baru selesai menjalani sedikit 'pembersihan' saluran jantungnya yang tersumbat. Syukur semunya dalam pemeliharaanNya, dan ayah saya nampak semakin sihat. InsyaAllah hari ini sudah dibenarkan keluar. Pagi ini saya sudah merindui kenangan di bumi Kulim.


Hari ini sepatutnya penutup kursus, tetapi saya mohon pelepasan awal kerana masalah kesihatan ayah saya.

Semoga saya berpeluang lagi ke bumi kedah, berjalan di Sungai Petani, melihat kemajuan Pulau Pinang,berkesempatan bermalam di Pulau Langkawi, dan mengimbas kembali kenangan di Kulim. InsyaAllah, pastinya ada lagi rezeki untuk saya ke utara semenanjung ini. Amin.

Ramadhan semakin menghampiri. Semoga ramadhan kali ini berbeza dengan ramadhan yang lepas. Saya ada ebook percuma tentang ramadhan yang saya download dari langitilahi.com, jika ada sahabat pembaca yang berminat boleh layari terus langitilahi.com. Atau sahabat pembaca boleh juga email kepada saya dan saya akan sent by email kembali kepada sahabat pembaca. Proses perkongsian ini juga telah diizinkan oleh team langitilahi. Semoga perkongsian ini ada manfaatnya dan insyaAllah semoga ramadhan kali ini kita benar-benar menikmatinya dengan penuh kehambaan.

Mari mengingati semula hakikat kita diciptakan sebagai insan.

Salam sejahtera kepada kalian semua.

posted from Bloggeroid

Tuesday 17 July 2012

Balik Pulau

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan penyayang.

Balik Pulau, Pulau Pinang terkenal dengan duriannya. Sepanjang jalan banyak gerai-gerai durian yang di buka.



Pemandangan di puncak Balik Pulau. SubhanAllah indahnya ciptaan Tuhan.



Pokok durian yang setiap pokoknya di pasang jaring supaya mudah apabila buahnya gugur kelak. Perancangan yang sangat strategik.

Saya beranggapan perjalanan nak ke Balik Pulau serupa dengan jalan Karak yang berbengkang-bengkok.

Syukur dengan perjalanan ini. Saya sangat takjub dengan ladang-ladang durian yang bersih dan sangat terjaga.

Salam sejahtera kepada kalian semua.

posted from Bloggeroid

Monday 16 July 2012

Pulau Pinang

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Taman Negara Pulau Pinang.

syukur. semalam saya berkesampatan ke Pulau Pinang yang bagi saya sangat maju dan membangun..
Akan saya ceritakan nanti perjalanannnya. syuku Alhamdulillah dengan pengalaman kembara ini. 

salam sejahtera kepada kalian semua.




Friday 13 July 2012

Tamat

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Hanya berbaki seminggu sebelum tamatnya kursus saya di negeri jelapang padi ini. Hujung Minggu ini ialah hujung minggu terakhir di sini, beberapa aktiviti telah dirancang, insyaAllah jika rancangannya berjalan lancar akan saya ceritakan di sini. Minggu akhir ini juga banyak kerja yang perlu diselesaikan sebelum kembali ke sekolah. Allahu Akbar, saya mohon Allah permudahkan segala urusan dan tugasan di sini.

Pengalaman yang paling manfaat saya dapat di sini ialah dapat mengenali latar belakang rakan-rakan, perjalanan hidup yang mereka telah lalui, gaya hidup yang daripada pelbagai sisi kehidupan, menjadikan saya menjadi hamba yang lebih bersyukur dan menyedari hakikat bahawa segala yang ada hanya pinjaman sementara. Hanya Dia yang maha berkuasa. Astagfirullah. Saya mohon keampunan Allah atas sedikitnya kesyukuran saya selama ini.

Dari pengalaman sepanjang kursus ini dapat saya simpulkan sama seperti pandangan dari langitilahi.com bahawa :

Semua aturan Allah SWT itu, semuanya adalah baik.

Maka jangan ada kecewa, malah jangan ada putus asa.

Bersabar itu tiada ruginya. Dalam bersabar itu, teruskan usaha lagi.

Kita tidak tahu apa yang Allah susun untuk kita.

Tetapi kita mesti tahu, bahawa Allah SWT hanya susunkan yang baik-baik sahaja untuk kita.

Bersangka baik kepada Allah SWT dan bertawakallah.

Kita sedang dididik.

Supaya menjadi hamba yang terdidik. InsyaAllah. Amin.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca. Mari kita menjadi hamba dengan mengakui dan menyedari sepenuhnya hakikat kita diciptakan.

posted from Bloggeroid

Wednesday 11 July 2012

Ulu Paip

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Petang tadi selepas kelas, saya dan beberapa rakan mengambil peluang untuk ke rumah sahabat seterusnya bermandi manda di air terjun ulu paip..subhanAllah. Gembira rasanya..dapat meredakan sedikit tekanan dan kerisauan..



Air terjun ulu paip. Jika dari tempat kursus saya di sungai karangan, kulim,ke Air terjun ulu paip mengambil masa lebih kurang setengah jam. Perjalanannya melalui jalan-jalan kampung, papan tanda jalan juga kurang. Sekiranya tiada orang tempatan yang membawanya pasti sukar untuk ke sini. Syukur.

Salam sejahtera kepada sahabat semua

posted from Bloggeroid

Tuesday 10 July 2012

Muafakat

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Hari ini, semua rakan sekelas saya, mengadakan aktiviti luar di kawasan Kulim. Bagi menyelesaikan tugasan drama pendek. Alhamdulillah.


Semua sahabat sekursus di rumah salah seorang daripada kami untuk menjalani pengambaran drama pendek. Yang duduk dikerusi tu,tuan rumah beserta cucu mereka. Terima kasih daun keladi, insyaAllah panjang umur berjumpa lagi. Benarlah pepatah melayu mengatakan 'muafakat membawa berkat'.

Saya seronok dengan kerjasama erat ini. Semuanya fokus benar dengan tugas dan tanggungjawab mereka. Saya suka dengan persekitaran yang positif begini. Syukur kepada Allah.



Salah seorang pelakon yang sedang disiapkan untuk melakonkan babak kematian. Dua generasi yang berbeza tetapi masih boleh bekerjasama dengan erat.

Moga ilmu yang bermanfaat ini kelak dapat dikongsi dengan semua murid. InsyaAllah.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Monday 9 July 2012

Jantung

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Jantung
saya berfikir dan menjadi takut apabila mengenangkan betapa agung dan kuasanya kekuasaan Allah.
Betapa Allah Taala menciptakan jantung kita yang dikatakan hanya sebesar penumbuk kita sahaja, tetapi apabila jantung berhenti berdenyut, maka putuslah nyawa dengan jasad. SubhanAllah..betapa besar dan agungnya kuasa Allah.

Betapa apabila jantung mengalami kerosakan terdapat pesakit yang terpaksa mengusung ke hulu dan ke hilir mesin yang seberat dua kilogram semata-mata bagi memastikan jantung terus berdenyut. . Mana mungkin kita mampu meniru ciptaan Allah Taala yang maha hebat..

SubhanAllah. Alhamdulillah. Allahu Akbar. ..

terasa betapa diri ini terlalu kerdil dan fakir disisiNya.  

Semoga kita menjadi 'peminjam' yang sentiasa bersyukur. InsyaAllah..

Salam sejahtera kepada kalian semua.

Sunday 8 July 2012

Jentikan

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Allah berkuasa memberi jentikan rasa di hati kita sebagai hambanya. Rasa takut, sedih, gembira, bahagia, risau dan sebagainya.

Semalam emak saya menyatakan ayah saya sesak nafas, lantas terus di bawa ke klinik. Di tahan di klinik selama tiga jam. Hari ini saya telefon emak lagi, sengaja saya menelefonnya pagi-pagi kerana malam tadi saya berasa bimbang. Nah benar telahan saya, emak berpesan jangan terkejut sebelum memberitahu bahawa ayah saya sudah di masukkan ke Hospital Melaka, kakak saya menjelaskan ayah saya mendapat serangan jantung, tambahan ayah saya sudah berumur 72 tahun..Allahu Akbar.

Hati saya seperti di jentik, jentikan rasa risau dan bimbang pertama kerana Allah sangat berkuasa dan maha berkuasa atas segala makhluknya. Dia yang memberi Ujian, Dia jugalah yang berkuasa menyembuhkan. Kedua, saya di Utara semenanjung Malaysia, sedang berkursus, dan hati saya berbolak balik untuk balik segera ke Melaka. Allahu Akbar..Hanya Allah sahajalah sebaik-baik penolong.

Sahabat pembaca, saya mengharap tembakan doa semua sahabat, doakan kesihatan ayah saya kembali pulih seperti sedia kala. seterusnya dapat bertemu Ramadhan tahun ini dan tahun-tahun akan datang dengan penuh keberkatan dariNYA...katakanlah, amin...

InsyaAllah, ayah saya akan semakin sihat..amin..

Salam sejahtera kepada kalian semua.

Saturday 7 July 2012

Minat

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Sepanjang saya menulis blog, saya cuba mengenalpasti apa topik yang diminati sahabat pembaca. saya meneliti tulisan saya dan statistiknya, saya dapat simpulkan satu perkara bahawa kebanyakan sahabat pembaca minat membaca tentang aktiviti kembara atau berkaitan dengan tempat pelancongan.

Benarlah jauh berjalan luas pengetahuan, kalau tidak diberi peluang berjalan sekalipun, dengan membaca tentang sesuatu tempat juga mampu menambah pengetahuan walaupun ada perbezaan dari pengalaman sebenar.

Sepanjang saya berkursus empat minggu di bumi Kedah Darul Aman ini kami guru-guru diajar cara mengaplikasikan komputer dalam menyediakan bahan pengajaran. mata pelajaran utamanya adalah 'movie maker'. syukur. mungkin agak ketinggalan di situ, tapi saya bersyukur akhirnya dapat saya belajar  selok belok 'movie maker' walaupun belum mahir sepenuhnya. Allah, luasnya ilmu Allah taala...syukur dengan peluang dan ruang ini.

Ini antara salah satu hasilnya. boleh digunakan untuk mengajar mata pelajaran komsas. walaupun lagu puisi ini tiada dalam teks komsas tetapi mungkin boleh digunakan untuk melatih pelajar mengenalpasti gaya bahasa yang terdapat dalam lagu puisi ini. selain itu boleh juga digunakan untuk mengajar tatabahasa. minta pelajar kenal pasti perkataan yang berimbuhan, dari perkataan tersebut bina ayat. satu bahan ini boleh dipelbagaikan aktivitinya mengikut kekreatifan guru. Sekurangnya murid gembira apabila mendengar muzik tersebut, ada nilai keinsafan yang boleh diterapkan sekaligus proses pengajaran menjadi seronok dan gembira.

Semoga ada manfaatnya. saya mohon keredhaan Allah.

Tugas guru bukan setakat mengajar tetapi lebih daripada itu iaitu mendidik.

Guru pembina negara bangsa.

Salam sejahtera kepada kalian semua

Friday 6 July 2012

Lembah Bujang

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Saya berkesempatan di bawa sahabat sekursus ke lembah bujang untuk melihat bekas peninggalan sejarah yang membuktikan bahawa Lembah Bujang pernah wujud sebagai Pusat Perdagangan Asia Tenggara dari kurun ke dua hingga kurun ke 14 Masehi.

Hari ini usia Lembah Bujang sudah 1800 tahun. SubhanAllah. Terima kasih kepada ahli Arkeologi dan pengkaji sejarah yang berusaha mencari kesan-kesan sejarah ini untuk diketahui dan dikenali oleh generasi muda.

Terdapat empat jenis candi di Lembah Bujang ini iaitu Candi Bukit Batu Pahat, Candi Pendiat, Candi Lembah Bujang dan Candi Bendang Dalam. Candi-candi ini membuktikan kewujudan tamadun Hindu-Buddha di Lembah Bujang. sebelum melawat candi ini sahabat saya siap berpesan untuk membaca ayat kursi, syukur..

Candi Bendang Dalam



Candi Bukit Batu Pahat yang merupakan antara candi terbesar di Lembah Bujang.
Antara bahan artifak yang dipamerkan di Galeri Arkeologi Lembah Bujang. 

Selain dapat melihat candi kawasan Lembah Bujang ini juga boleh menjadi tempat perkelahan kerana ada air terjun di sebelahnya. SubhanAllah. Sambil belajar sejarah boleh juga riadah.

Syukur saya dengan lawatan ilmu ini. Dapat lebih mengenali sejarah negara dan paling penting dapat melihat bumi ciptaan Allah yang Maha Bijaksana. Muzium Arkeologi Lembah Bujang ini dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Hanya ditutup dua hari pada hari raya aidilfitri dan sehari pada hari raya aidil adha. masuk adalah percuma.

Semoga perkongsian tentang Lembah Bujang ini bermanfaat untuk sahabat pembaca. 

Salam sejahtera kepada kalian semua. 

Thursday 5 July 2012

Nifsu sya'ban

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Hari ini sudah 15 sya'ban. Lagi 15 hari menjelang ramadhan. Ya Allah berilah kesempatan untuk diriku dan semua sahabat pembaca bertemu ramadhan yang mulia. Amin.

Selamat berpuasa kepada yang berpuasa sunat pada hari ini. Alahmdulillah. Tahniah. InsyaAllah semoga bertahan hingga waktu berbuka.

Negeri jelapang padi ini, esok dan sabtu cuti, jadi hari ini ramai sahabat sekursus yang pulang ke kampung. Tinggal lah beberapa sahabat yang dari selangor. Alhamdulillah, sekurangnya dapar kami berehat, menyiapkan kerja dan menjelajah lagi bumi jelapang padi ini.



Tempat membakar kayu untuk di jadikan arang,di jeti Semeling.

Selamat berbuka kepada yang berpuasa
Selamat beristiqomah dengan ibadah yang dilakukan.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Wednesday 4 July 2012

Tanjung Dawai

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Jeti Tanjung Dawai.

saya berkesempatan ke Tanjung Dawai dan rasa lengkap lawatan saya di negeri Kedah apabila dapat merasai laksa tanjung dawai yang enak. Negeri utara kan terkenal dengan laksanya. 

Jeti Tanjung Dawai ini menyediakan perkhidmatan bot untuk ke Pantai Merdeka. Bayarannya RM10 seorang. Saya tidak menaikinya kerana hari sudah petang. 

Tanjung Dawai ini terkenal dengan kawasan perkampungan nelayan, jadi jika ingin membeli hasil laut yang segar, ikan bilis, dan segala hasil laut bolehlah ke Tanjung Dawai ini. Harganya sangat murah dan berpatutan. 

Syukur dengan lawatan ini. Tetapi alangkah lebih baik jika kawasan ini dimajukan. Pasti mengundang lebih ramai pelancong luar untuk merasai kehidupan sebagai seorang nelayan. Sekurang-kurangnya membantu ekonomi para nelayan di Tanjung Dawai ini.

Salam sejahtera kepada kalian semua

Tuesday 3 July 2012

Bijaksana

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

"dan kunci-kunci semua yang ghaib ada padaNya.tidak ada yang mengetahui selain dia. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahuiNya. Tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata (lauh mahfuzh)"
ayat 59, surah al-an'am

SubhanAllah. Sesungguhnya segala ilmu yang ada adalah milikNya.

posted from Bloggeroid

Monday 2 July 2012

Pantai merdeka

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Ada lagu yang bertajuk cinta pantai merdeka. Tetapi saya tidak ingat lirik dan lagunya.



Pantai merdeka



Pemandangan pantai merdeka. SubhanAllah. Cantiknya ciptaan Allah.

Syukur dengan nikmat dapat melihat pemandangan yang indah, menghirup udara yang segar, mendengar deruan ombak memukul pantai, berpijak pada pasir yang lembut. SubhanAllah. Syukur. Orang yang berada ialah orang yang paling banyak bersyukur.

Perbanyakkan kesyukuran dalam hidup kita. Kurangkan rungutan dan kritikan. InsyaAllah pasti kita temui ketenangan.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Sunday 1 July 2012

Pulau sayak

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Jika saya berjalan di sungai petani sendirian, tentunya saya tidak sampai ke pulau sayak ini. Pulaunya jauh ke dalam, berada dalam kawasan kuala muda, lokasi yang terkena tempias tsunami. Allahu akbar. Syukur saya diberi peluang melihat kawasan yang diuji hebat oleh Allah dengan tsunami, pengalaman ini membuatkan saya lebih bersyukur.


Papan tanda ke lokasi mee udang banjir pulau sayak. Sahabat saya bawa saya ke sini dengan niat untuk saya membandingkan antara mee udang di sungai petani dan pulau sayak. Bagi saya rasanya sama sahaja dan tetap lazat.



Inilah rupa mee udang banjir pulau sayak. Mee udang banjir biasa. Harganya rm8 sepinggan. Alhamdulillah


Pemandangan laut di kawasan kedai mee udang banjir pulau sayak. Inilah perbezaan makan mee udang banjir di sungai petani dan pulau sayak iaitu pemandangannya. Di sungai petani lokasi nya di tepi jalan besar. Berhampiran simpang, tetapi di pulau sayak lokasinya di tepi pantai. Lebih menambah selera untuk makan apabila disapa angin pantai dan bunyi deruan ombak yang menyegarkan.

Saya yakin jika kawasan ini dilengkapi dengan sistem jalan raya yang selesa, papan tanda yang lengkap, dan chalet yang cantik, pasti kawasan ini boleh dijadikan kawasan pelancongan yang terkenal. Kerana menurut sahabat saya pulau ini juga boleh terus ke pulau dengan menaiki feri atau bot. Cuma kawasan ini sangat perlu dimajukan.

Perjalanan ini banyak membuka mata hati saya untuk lebih bersyukur. Semoga saya dan semua sahabat pembaca tidak tergolong dalam golongan hamba yang kufur nikmat. Sesungguhnya, nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kita dustakan. Terlalu banyak nikmat yang diberi, namun rasanya terlalu sedikit kesyukuran yang dilafaz dan dizahirkan. Astagfirullah. Saya memohon keampunan Allah.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid