Saturday, 26 May 2012

Ayat-ayat cinta

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Tajuk post hari ini macam tajuk filem pula. Semestinya ramai sahabat sering ungkapkan ayat-ayat cinta pada orang yang dikasihi. Sehinggakan ada ayat-ayat cinta itu terlalu hiperbola(melebih-lebih). Sanggup kerenangi lautan api, sanggup ku daki gunung yang tinggi. Semata-mata nak menunjukkan teramat cinta. Allahuakbar. .kuasanya cinta.

Bukankah pemilik cinta yang agung itu adalah pencipta kita Allah. Bukankah pemilik segala ayat cinta itu ialah alquran.

Setiap hari berapa banyak kita baca ayat-ayat cinta kita kepada Allah. Berapa banyak pula ayat-ayat cinta yang kita ungkapkan kepada manusia?

Saya teringat satu kisah yang saya baca dari langitilahi.com. Kisahnya begini, terdapat sebuah keluarga yang sangat bahagia,suami,isteri dan anak mereka tiga orang,yang sulung lelaki, yang kedua perempuan dan yang bongsu lelaki. Mereka sebuah keluarga yang sederhana namun sangat bahagia. Saling sayang menyayangi. Saling bahu membahu dalam setiap masalah.

Suatu hari, si suami diberi nikmat mendapat peluang pekerjaan di luar negara. Maka berangkatlah si suami ini dengan semangat untuk memberi yang terbaik buat anak dan isterinya.

Setiap bulan si suami, menghantar surat dan duit untuk perbelanjaan anak dan isterinya. Disebabkan terlalu rindu dan sayang kepada si ayah, surat ini tadi di simpan di tempat yang cantik, di tempat yang tinggi, dan setiap hari dicium, dipeluk tanda melepaskan rindu.

Selepas beberapa tahun,si suami pulang bercuti. Sesuatu yang mengejutkan apabila hanya tinggal anak lelaki yang bongsu sahaja sendirian di rumah.

Lalu, si suami bertanya, mana ibumu?si anak menjawab ibu telah menghilangkan diri. Si suami terperanjat, bukankan ayah sudah mengirimkan surat berpesan agar ibumu menjaga aurat dan menjadi isteri yang solehah?apakah kamu tidak membacanya?

Si suami bertanya lagi, mana abangmu? Si anak menjawab abang telah menghilangkan diri kerana terlibat dengan dadah. Si suami terperanjat, bukankah ayah sudah mengirimkan surat dan berpesan agar abangmu menjadi anak muda yang sentiasa mengingati Allah?apakah kamu tidak membacanya?

Si suami bertanya lagi,mana kakakmu?si anak menjawab kakak telah menghilangkan diri bersama kekasihnya. Si suami terperanjat, bukankah ayah sudah mengirimkan surat dan berpesan agar kakakmu sentiasa menjaga aurat?apakah kamu tidak membacanya?

Lalu anak yang bongsu ini tadi menunjukkan surat-surat kiriman ayahnya, yang terletak cantik di dalam bekas yang dihias indah, tidak di baca tetapi di jaga dengan cermat. Apabila rindu, surat itu dipeluk dan dicium selepas itu diletakkan semula di tempat yang cantik itu.

Sekian kisahnya. Ada tak berlaku kisah ini dalam realiti kehidupan harian kita sahabat?surat yang dikirim dari yang dicintai tetapi tidak dibaca? Sudah tentu ada. Siapa?kitalah.analogi dari kisah ini surat itu alquran,Allah bagi kita ayat-ayat cintanya, tapi kita simpan di tempat yang cantik, di tempat yang tinggi, hanya peluk dan cium tetapi tidak berusaha membuka, membaca dan mentadabbur maknanya. Allah. Saya mohon keampunan Allah.

Al-quran itu punca segala ilmu. Ilmu itu cahaya. Hati gusar, bacalah alquran. Bermasalah, cari penyelesaiannya dalam alquran. Jangan biarkan ayat cinta Allah tidak dibaca. Inginkan cinta, inginkan bahagia, carilah dalam ayat-ayat cinta dari pencipta kita yang azali. Jangan harap ayat cinta dari manusia. Haraplah cinta Allah, maka cinta manusia akan hadir. InsyaAllah.

Selamat mengaji. Selamat membaca al-quran. Selamat mentadabbur maknanya. Dan selamat khatam al-quran menjelang ramadhan kelak.

Salam sejahtera kepada kalian semua.

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment