Saturday, 22 September 2012

Kepentingan menuntut ilmu

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Apa khabar sahabat pembaca.

Moga sentiasa dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Jumaat lepas, sekolah saya mengadakan solat hajat untuk pelajar tingkatan 3 dan 5. Pihak sekolah menjemput imam muda musim pertama, saya lupa namanya, yang merupakan bekas pelajar sekolah saya. Allahuakbar. Sedap mendengar bacaan Al Quran dan nasihatnya kepada para pelajar tentang pentingnya ilmu.

Beliau berkongsi tentang hadis Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda bermaksud,

"barang siapa hendakkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Barangsiapa hendakkah akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan barangsiapa hendakkan kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat hendaklah dengan ilmu".

Sebab itulah ada pepatah melayu mengatakan menuntut ilmu biar sampai ke negeri Cina. Ada juga kata, menuntut ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahad.

Menuntut ilmu bukan sekadar semata-mata mengejar nama, pangkat atau darjat. Tapi yang lebih penting untuk kemaslahatan diri kita sendiri sebagai hamba demi mengenal pencipta dengan lebih dekat lagi. Ilmu yang kita pelajari tak lebih sekadar setitik air di lautan. Selagi hidup, selagi itu kita perlu belajar apa sahaja ilmu asalkan mendatangkan kesan dan nilai yang positif dalam diri kita.

Imam muda juga berkongsi nasihat Imam Syafie yang terkenal sebagai seorang yang mencintai ilmu. Sanggup merantau jauh demi mencari guru untuk menuntut ilmu.

Imam Syafie mengatakan bahawa kita tidak akan mencapai apa yang kita impikan kecuali melaksanakan enam perkara berikut, iaitu :

1. Menjadi orang yang cerdik
Soalnya, bagaimana nak menjadi orang yang cerdik? Tiada beza antara kita, yang memberi nilai sama ada diri kita cerdik atau tak cerdik, ialah diri kita sendiri. Usaha kita sendiri.

2. Untuk menjadi cerdik, laksanakan perkara kedua iaitu berlumba-lumba. Berlumba-lumba bila ada majlis ilmu, berlumba-lumba mencari kehebatan Allah. Berlumba-lumba mencari keredhaan Allah. Ada sifat cemburu apabila kekurangan ilmu.

3. Kena bersungguh-sungguh. Apabila makan,makan dengan sungguh-sungguh. Apabila tidur, kita tidur dengan sungguh-sungguh. Apabila main,kita bermain dengan bersungguh-sungguh. Apabila belajar, mengaji, solat,berdoa, kita lakukan dengan bersungguh-sungguh.

4. Berbelanja. Siapalah yang tak suka berbelanja. Tetapi adakah perbelanjaan kita bermanfaat? Berbelanjalah, untuk menuntut ilmu. Membeli buku-buku, kitab-kitab yang boleh disimpan lama, boleh menjadi rujukan bila-bila masa dan boleh ditunjukkan pada anak cucu kita tentang khazanah ilmu yang kita ada.

5. Paling penting dalam kehidupan manusia iaitu menghormati guru. Guru pertama kita di rumah iaitu emak dan ayah. Nilai guru begitu tinggi. Kita doakan guru kita. Doakan para pendidik yang tak jemu mendidik kita.

6. Beramal dengan kelima-lima perkara di atas. Ilmu tanpa amal,umpama pokok yang tidak berbuah.

SubhanaAllah. Cantiknya kebesaran Allah. Wahyu pertama kepada junjungan besar kita semua Nabi Muhammad S.A.W juga galakan kepada menuntut ilmu iaitu " Bacalah, dengan nama Tuhanmu"

Saya sering beri semangat pada emak saya apabila kesalnya beliau tidak disekolahkan, kesalnya beliau tidak tahu membaca, dengan mengatakan emak sama dengan kekasih kita Muhammad. Tidak tahu membaca. Tetapi baginda diberi mukjizat, dilapangkan hati oleh Allah untuk menerima segala wahyu dari Allah.

Tetapi emak saya tak pernah berputus asa, walau tak tahu membaca tapi beliau bersungguh-sungguh melazimi AlQuran dalam hidupnya, menemani hari-hari tuanya, berdoa, memohon hajat agar Allah terangi hatinya untuk mampu membaca Al Quran. Hari ini syukur, dengan izin Allah, usaha sungguh-sungguh emak saya beliau mampu menghafal beberapa surah. Syukur Tuhan. Boleh ceritakan pada saya beberapa kisah sahabat nabi dek sikap berlumba-lumba untuk ke surau mendengar ceramah. Boleh berkongsi dengan saya beberapa doa seperti doa nabi Ibrahim apabila dicampakkan ke dalam api. Darah yang mengalir dalam diri saya hari ini, yang menyedari pentingnya ilmu, adalah darah emak saya jua. Semangat, sungguh-sungguh, berlumba-lumba adalah semangat dari emak saya juga. Guru pertama saya sejak saya lahir hingga hari ini. Allahu Akbar ya Allah, emak adalah kurniaan terbesar dalam hidup saya. Dari dia saya belajar betapa pentingnya ilmu.

Jadi sahabat, ayuh kita laksanakn semampu kita enam nasihat dari Imam kita semua iaitu Imam Syafie.

Semoga ada manfaatnya. Boleh juga dikongsi dengan anak-anak yang semakin membesar.

Selamat berhujung minggu

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian.

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment