Sunday, 13 May 2012

Hari ibu

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Selamat hari ibu untuk emak saya, untuk kakak-kakak saya, untuk kakak ipar saya dan untuk semua wanita yang diberi nikmat menjadi ibu. Nikmat yang besar kerana betapa darjat ibu itu diangkat oleh Allah. Seperti dalam surah luqman, ayat 14 bermaksud,

'dan kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada aku kembalimu' (surah luqman,ayat 14).


Abu Hurairah radiallahuanhu berkata :
Seorang lelaki bertemu Rasulullah dan bertanya siapakah manusia yang paling berhak aku layan sebaik-baiknya?

Baginda menjawab : ibumu

Dia bertanya lagi : kemudian siapa?

Baginda menjawab : ibumu.

Dia bertanya lagi : kemudian siapa?

Baginda menjawab : ibumu

Dia bertanya lagi : kemudian siapa?

Baginda menjawab : ayahmu.

Martabat ibu juga diangkat oleh Rasulullah s.a.w dalam satu kisah yang saya lupa nama sahabat tersebut, bertanya kepada rasulullah s.a.w sama ada untuk mengikuti ekspedisi jihad atau tidak. Lalu baginda menyoal, adakah beliau masih mempunyai ibu?sahabat tersebut menjawab ya. Lalu baginda bersabda,
'tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawak tapak kakinya'.

Subhanallah. Betapa besar jasa dan martabat seorang ibu. Subhanallah. Sangatlah wajar ibu itu dihormati kerana telah melalui tiga fasa kesusahan membesarkan kita sehingga dewasa. Fasa pertama,mengandungkan kita dengan mengalami susah payah. Fasa kedua, mengandungkan kita dengan mengalami banyak kelemahan dengan keadaan janin yang semakin membesar. Fasa ketiga, melahirkan kita dengan penuh susah payah. Subhanallah.



Emak saya. Saya pernah menumpang dalam rahimnya dahulu. Darah yang mengalir dalam tubuh saya, adalah darahnya juga. Syukur dengan kurniaan yang hebat ini untuk saya yang sangat fakir disisiNya. Emak saya yang saya fikir, sepanjang kehidupan saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mendidik dan membesarkan saya. Semoga Allah membalas segala pengorbanan emak saya dalam membesarkn saya dengan penuh amanah.Walau susah, walau tidak sekolah tetapi tetap setia dengan doanya mengiringi setiap langkah saya. Allah. Apa sahaja yang kita lakukan hari ini untuk emak kita, tidak akan mampu membalas walau setitik susu yang mereka berikan kepada kita.

Betapa berat dan besar amanah yang diberi Allah kepada ibu untuk mendidik anak sehingga menjadi hamba Allah yang taat. Dan lagi besar tanggungjawab anak untuk menjaga dan menghormati ibu. Saya suka nak mengajak semua sahabat pembaca agar kita ingat dan pegang satu perkara bahawa 'redha Allah hadir bersama redha ibu bapa kita'. Letaklah mereka di tempat yang sewajarnya. Sama-sama lah kita mendidik jiwa dan diri kita menjadi anak yang soleh solehah sekiranya kita juga ingin anak-anak kita kelak menjadi anak yang soleh dan solehah.


Marilah sama-sama kita mengejar redha Allah dengan mendapat redha ibu bapa kita. Doakan emak kita setiap hari. Gembirakan emak kita. Hubungi emak kita setiap hari. Ziarahi emak kita dengan kerap. Memberi belanja kepada emak kita. Jadilah anak yang soleh solehah untuk emak kita. Harta yang paling berharga hari ini bagi seorang anak ialah doa emak kita. Kerana doa seorang ibu itu sangat mustajab.


Semoga Allah mengampunkan dosa emak saya dan dosa emak semua sahabat pembaca. Semoga emak kita semua sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Semoga kelak balasan syurga firdaus untuk emak saya dan emak semua sahabat pembaca kerana telah membesarkan saya dan kita semua dengan penuh amanah. InsyaAllah. Amin.

Marilah kita mengejar redha Allah dengan menjadi anak yang soleh dan solehah.

Salam sejahtera kepada sahabat sekalian

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment