Saturday 30 June 2012

Mee udang banjir

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Saya baru sangat dalam dunia blogger ni. Hari khamis lepas saya dah tulis post tentang mee udang banjir ini, tetapi tak dapat di 'publish'. Selepas email kepada blogger.com katanya masalah ini sementara sahaja. Harapnya di permudahkan segalanya.

Ok, berbalik kepada cerita mee udang banjir. Sebelum saya pergi kursus ada cikgu-cikgu di sekolah saya menyebut-nyebut keenakan mee udang yang mesti saya makan dan rasa kelazatannya..

Syukur, alhamdulillah.pada hari khamis sebelum ke sungai petani rumah sahabat sekursus, beliau bawa saya ke kedai D.king, kedai makan mee udang banjir yang terkenal di sungai petani.


Kedai D'king. Ikan bakar ada dan paling mendapat sambutan mee udang banjir. Mee udang banjir ni banyak kategori. Mee udang biasa harganya rm5. mee udang sempoi harganya rm7.50, menggunakan udang belaan. Mee udang special harganya rm10, menggunakan udang segar dari laut. Ada juga mee udang super special berharha rm15, udangnya lebih banyak dari mee udang special sekitar lapan ke sembilan ekor.



Saya dan sahabat mencuba mee udang banjir special. SubhanAllah penuh sepinggan. Saya teringat emak. Biasa kalau makanan banyak begini, saya hanya beli sepinggan dan berkongsi dengan emak. Allah, rindunya. Semoga saya berkesampatan bawa emak ke sini, bila?wallahua'lam.

Alhamdulillah, dapat juga diberi peluang merasa mee udang banjir. Memang benar-benar banjir. Syukur.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Thursday 28 June 2012

Jihad

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Selamat berupuasa sunat khamis kepada sesiapa yang berpuasa. Selamat berhihad melawan nafsu. Jihad perkataan asal bahasa arab yang bermaksud berjuang dalam bahasa Melayu. Tetapi penggunaan perkataan jihad telah menjadi kosa kata dalam bahasa Melayu hari ini.

Menuntut ilmu juga jihad. Melawan nafsu amarah juga jihad. Berjihadlah di jalan Allah, berjihad semata-mata kerana Allah. Sebagaimana firmanNya melalui surah Al-Maidah ayat 35 yang bermaksud

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalanNya, agar kamu beruntung".

Semoga semua sahabat pembaca tergolong dalam kalangan hambaNya yang sentiasa beruntung. InsyaAllah. Amin

posted from Bloggeroid

Wednesday 27 June 2012

Asam jeruk

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Petang tadi sempat berjalan kaki ke pasar malam. Menjamu mata dengan makanan dan kelainan yang ada. Apapun, makanannya tiada beza, laksa semestinya ada, Harga pula kalau dibandingkan di sini lebih murah.

Dalam banyak-banyak makanan tadi saya mencari-cari peniaga yang menjual asam jeruk. Sebab katanya di kulim ini yang sempadan dengan Pulau Pinang ada banyak tempat menjual asam jeruk yang murah. Saya nak membanding harga sebelum membelinya untuk emak saya buat acar buah.


Saya hanya berjumpa seorang sahaja peniaga yang menjualnya. Harga juga tiada beza. Kawan saya orang tempatan kata 'takpa,esok kita survey tempat lain no'.:)).saya tersenyum bahagia. Syukur.

Salam sejahtera kepada kalian semua.

posted from Bloggeroid

Tuesday 26 June 2012

Rakan

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang



Gambar dari bilik saya di pusat latihan guru sungai karangan, kulim, kedah.

Hari kedua di bumi kedah yang aman. Syukur. Berkenalan dengan rakan-rakan guru. Dari pelbagai latar belakang. Perbezaan itu mewujudkan banyak ruang perkongsian dan pengajaran yang dapat dimanfaat untuk meneruskan kehidupan.

Syukur Tuhan, dengan ruang dan peluang ini.

Nikmat Allah yang mana lagilah yang hendak didustakan.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Monday 25 June 2012

Sungai karangan

Salam dari kedah

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Saya bertolak pagi tadi jam 6pagi dari pahang terus ke kulim kedah. Emak membekalkan saya kuih untuk di makan dalam kereta sepanjang perjalanan. Allah kasihnya ibu membawa ke syurga.

Alhamdulillah selamat sampai jam 1petang. Tapi sebab beberapa kali berhenti bertanya jalan kepada penduduk tempatan untuk ke sungai karangan, beberapa kali tersilap simpang dan perlu membuat 'u-turn', Akhirnya saya benar-benar sampai jam 1.45 petang di sungai karangan,kulim, kedah darul aman. Allahu akbar. Hanya Allah sahaja yang layak dipuji dengan alam yang sangat luas terbentang, terpulang pada setiap hamba untuk melihat dan mengambil pengajaran daripadanya.

Pastinya perjalanan yang jauh ini menjanjikan banyak manfaat dan ilmu pengetahuan. Semoga Allah memberi bantuan dan permudahkan segala urusan. InsyaAllah

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Friday 22 June 2012

2 Sya'ban

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Baru sahaja rasanya berdoa memasuki bulan rejab. Hari ini dah pun bulan sya'ban. Syukur masih diberi pinjaman nyawa untuk bernafas dan beribadat.

Saya sekarang di kampung. Baru sahaja sampai jam 3 petang tadi. InsyaAllah isnin ini akan bergerak dari pahang ke kedah untuk berkursus.

Tahniah kepada yang berpuasa semalam dan hari ini. Semoga terus istiqomah dengan amalan yang dilakukan. Memang bulan sya'ban ini digalakkan kita memperbanyakkan berpuasa sunat seperti yang diamalkan rasulullah s.a.w. Dalam 11 bulan setahun, selain bulan ramadhan,rasulullah paling banyak berpuasa pada bulan sya'ban. Tadi dalam kereta sepanjang perjalanan pulang ke kampung, saya mendengar khutbah jumaat yang menceritakan tentang kelebihan bulan sya'ban. Antaranya bulan sya'ban ialah bulan rasulullah s.a.w. Dalam bulan sya'ban juga adaanya hari nifsu sya'ban. Pada hari nifsu sya'ban digalakkan kita berpuasa pada siangnya sebagaimana yang dilakukan oleh rasulullah s.a.w. Pada malamnya pula digalakkan kita melakukan qiammullail, yang dijanjikan apa sahaja doa hambanya, Allah akan makbulkan. InsyaAllah. Amin. Menarik bukan?

Jadi saya nak ajak diri saya dan semua sahabat pembaca kalau tahun lepas kita lupa dan tak mengikuti kalendar islam ini, apa kata tahun ini,kita melangkah setapak dengan meraikan bulan-bulan islam ini dan mengamalkan amalan-amalan sunat yang digalakkan. InsyaAllah akan ada keberkatannya. Saya mohon keampunanNya

Kita sama-sama lakukan puasa sunat, banyakkan solat taubat, beristigfar, banyakkan membaca al-Quran,kita sama-sama bangun sepertiga malam,semangat dan nekad yang sungguh-sungguh pasti membantu. InsyaAllah. Semoga bulan sya'ban kita tahun ini benar-benar memberi kesan yang positif dalam hidup kita dan memberi 'warm-up' yang secukupnya untuk kita menyambut ramadhan yang mulia 28 hari dari sekarang. InsyaAllah.

Selamat beribadah. Selamat beristiqomah dalam setiap amalan. Selamat meraikan sya'ban bulan rasulullah,InsyaAllah.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Thursday 21 June 2012

Kursus

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Saya menerima panggilan berkursus semasa hari guru lagi, namun suratnya baru sampai minggu ini. Kursus selama 4 minggu di sungai karangan, kulim, kedah bermula minggu depan hingga 20 julai. Satu lagi pengalaman dan peluang yang Allah berikan untuk saya menikmatinya dengan penuh kesyukuran. Peluang bertemu lebih ramai rakan guru yang semestinya pelbagai ragam, peluang melihat luasnya ciptaan Tuhan dan yang paling penting peluang menuntut dan berkongsi ilmu. Alhamdulillah

Saya masih ingat pada tahun kedua saya berkhidmat,iaitu tahun 2009, saya perlu menghadiri kursus induksi di kuala terengganu. Allahu akbar gembiranya saya. Dapat berjalan di taman tamadun islam, ke pasar payang hampir setiap petang semata-mata untuk membeli buah mangga. Melawat muzium terengganu dan melihat perusahaan keropok lekor di losong. Namun tugas asal memastikan induksi saya lulus tidak diabaikan. Kerana utamakan perkara yang lebih penting perlu didahulukan.

Tahun lepas saya berpeluang kursus di hutan melintang perak. Juga 4 minggu. Seronok saya berkenalan dengan rakan-rakan yang baik dan bersemangat. Juga berpeluang melihat bumi luas ciptaan Tuhan


Minggu pertama sempat ke batu gajah melihat perusahaan membuat pasu dan labu sayung.


Syukur dapat melawat tempat bersejarah pasir salak


Pintu masuk kompleks sejarah pasir salak. Di belakang pintu masuk ini ada sungai yang dikatakan tempat berlakunya pembunuhan J.W.W Birch (maaf kalau salah ejaan).

Saya dan rakan kursus diberi nikmat berlibur di pulau pangkor. Allahu akbar. Indah sungguh ciptaan Tuhan. Nikmat Allah yang mana lagilah yang hendak saya dustakan.


Indahnya ciptaan Tuhan. SubhanaAllah.

Minggu terakhir kursus sempat pula ke bagan datok dan bagan pasir yang kononnya tempat menjual hasil laut yang murah-murah. Saya suka ke lokasi begini. Melihat kehidupan dari sisi yang berbeza. Benarlah pengalaman memang tidak boleh dijual beli.



Perusahaan ikan masin di bagan pasir.

Kesimpulan bagi setiap perjalanan pasti tidak jadi dengan sia-sia dan ada hikmah di sebaliknya. Terpulang kepada setiap individu ingin menafsirnya dari sudut positif atau negatif. Begitu juga perjalanan saya ke kedah pada isnin depan. Saya teruja. Dalam masa yang sama tidak dapat elak perasaan bimbang dan risau. Tetapi apa yang pasti 'jangan takut, jangan bimbang, sesungguhnya Allah bersama kamu'.

Meletakkan seluruh keyakinan kepada Allah. Perjalanan ini adalah perjalanan menuntut ilmu. InsyaAllah segalanya selamat. Amin

Sahabat pembaca doakan saya selamat pergi dan selamat kembali ye. Katakan amin. InsyaAllah.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Wednesday 20 June 2012

Menghitung hari

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang



Kredit langitilahi.com

Rejab sudah hampir ke penghujungnya. Ramadhan semakin menghampiri. Ya Allah, berilah peluang kepada kami untuk bertemu ramadhan. Bulan yang penuh keistimewaan.

Semoga semua sahabat terus ikhlas dan istiqomah dalam beramal ibadat. Semoga kita semua sempat bertemu ramadhan. InsyaAllah.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Monday 18 June 2012

DUKA

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Selamat hari isnin yang indah, ceria dan bahagia. Syukur masih diberi nikmat bangun dari tidur, nikmat sejuknya air di pagi hari, nikmat berpakaian, nikmat berkenderaan untuk ke tempat kerja, nikmat bernafas, nikmat berjalan, nikmat mencari rezeki, subhanaAllah.. Nikmat Allah yang mana lagi lah yang hendak didustakan.

Namun, jika ada kesedihan, kekecewaan, hilang semangat, itu adalah normal bagi kita yang bernama manusia dan hamba. Amalkan bacaan doa ini yang dibaca oleh Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan nun(yu) :

InsyaAllah semoga Allah menghilangkan kedukaan semua sahabat pembaca...amin..

Sesungguhnya pada setiap kesusahan, akan ada kesenangan. setiap kesusahan akan ada kesenangan.

Yakinlah sahabat!.. yakinlah.. buang jauh-jauh sifat putus asa..

Salam sejahtera kepada kalian semua.

Sunday 17 June 2012

Isra' dan mi'raj

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

"maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran kami. Sesungguhnya Dia maha mendengat, maha melihat."
(surah Al-Isra', ayat 1)

Hari ini ialab 27rejab,tarikh yang dikatakan berlakunya peristiwa isra' dan mi'raj. Kalau di tv al-hijrah sejak semalam menceritakan tentang palestin, kekacauan palestin, keistimewaan palestin, perebutan palestin dan disanalah adanya Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat islam. Allahu akbar. Semoga palestin kembali menjadi milik islam dan kemenangan hanya milik umat islam. InsyaAllah. Marilah kita berdoa sahabat agar saudara islam kita di palestin terus diberi kekuatan iman dalam menempuh dugaan dan ujian ini. Salurkan apa sahaja sumbangan yang kita mampu. Sahabat boleh layari laman web www.amanpalestin.net.

Hasil terbesar perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa isra' dan mi'raj ialah perintah dari Allah untuk menunaikan ibadat solat. Hal ini menunjukkan keistimewaan solat.

Sebab itulah amalan kita yang pertama sekali akan dihisab ialah solat. Bagaiman solat kita hari ini sahabat? Astagfirullah.

Saya teringat satu lagu,
sepohon kayu daunnya rimbun,lebat bunganya serta buahnya,walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya.

Allahu Akbar

Ambillah iktibar dan hikmahnya dari peristiwa isra' dan mi'raj ini

Sesungguhnya Allah maha berkuasa atas segala-galanya.

Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Friday 15 June 2012

Tetamu

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang


Kredit gambar dari manzli-makkah.blogspot.com

Seorang ustaz menyampaikan ceramahnya menyebut bahawa kewangan bukan alasan utama kita dapat mengerjakan haji dan umrah. Tapi alasan atau penyebab utama ialah jemputan dari Allah untuk menjadi tetamuNya. Analoginya mudah, adakah kita akan hadir ke rumah orang jika tidak dijemput?

Oleh yang demikian,ustaz tersebut menyarankan berdoalah pertama agar kita dijemput oleh Allah dapat menunaikan haji dan umrah, kedua doa agar diberi kesihatan yang baik, ketiga barulah berdoa agar diberi kelapangan rezeki. InsyaAllah. Apabila hati benar-benar nekad akan tiba masanya kita berpeluang menjadi tetamuNya. Teruslah berdoa agar kita dijemput menjadi tetamuNya yang paling istimewa. InsyaAllah.amin

SubhanaAllah. Rindu benar rasanya Ya Allah. Jemputlah kami semua menjadi tetamu Mu yang paling istimewa ya Allah. Amin




Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Wednesday 13 June 2012

Tak jauh

salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang


Sesungguhnya Allah itu sangat dekat dengan kita. 
lebih dekat dari urat-urat nadi kita..
subhanaAllah
Alhamdulillah
Allahu Akbar..

salam sejahtera kepada kalian semua

Tuesday 12 June 2012

Doa

salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Klik pada gambar untuk lebih jelas. 
Doa adalah senjata mukmin. Oleh yang demikian kita digalakkan sering berdoa dan meminta pertolongan kepada Allah, kerana hanya Dia sahaja yang berkuasa atas segala-galanya. Saya kongsikan  sembilan waktu mustajab doa. semoga bermanfaat.

salam sejahtera kepada kalian semua.

Monday 11 June 2012

Kerja


salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selamat kembali bekerja kepada semua warga pendidik.

Semoga terus bersemangat mendukung amanah yang diberi.

Bekerjalah semata-mata mencari keredhaan Allah..

Salam sejahtera kepada kalian semua. 

Friday 8 June 2012

Felda

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang




Saya merupakan generasi kedua felda. Bersekolah rendah sepenuhnya di felda. Apabila di peringkat menengah saya tinggal di asrama tapi rakan-rakan saya masih kebanyakannya anak felda. Namun, saya masih ingat semester pertama di universiti, seorang pensyarah bertanya berapa orang dari felda, seingat saya sekitar enam ke tujuh orang sahaja anak felda dari 60 orang rakan sekelas saya. Saya rasa dukacita. Entah kenapa.

Semasa zaman saya tidak banyak bantuan dari felda sama ada dari segi kewangan, pinjaman pelajaran dan latihan vokasional. Tapi pada hari ini peluang itu dinikmati oleh generasi ketiga felda, iaitu anak-anak saudara saya. Syukur dengan nikmat ini.

Hari ini juga felda telah berubah wajah. Saya masih ingat perutusan pengerusi felda semasa raya aidilfitri tahun lepas, zaman awal pembukaan felda, setiap kali musim perayaan kawasan felda sunyi kerana semua peneroka pulang ke kampung halaman. Tapi hari ini, felda itu sendiri telah menjadi kampung halaman bagi peneroka dan generasi seterusnya. Felda itu sendiri telah maju mengikut zamannya. Syukur. Kerana malanglah jika hidup kita hari ini lebih buruk dari semalam. Syukur dengan segala nikmat ini.
Emak dan ayah saya memasuki felda pada tahun 70an. Semasa itu umpama hidup dalam hutan,kawasan jin bertendang katanya. Emak saya pernah hilang semasa mengikut ayah saya memancing, menggambarkan semak dan susahnya zaman itu. Terdapat juga serangan orang minyak. Ada juga beberapa jiran emak ayah saya yang lari keluar dari felda dan pulang semula ke kampung halaman kerana hilang kesabarannya berhadapan kesusahan meneroka kawasan hutan untuk dijadikan penempatan yang sempurna.

Namun hari ini, selepas 50 tahun,kesabaran mereka terbayar. Benarlah bahawa akan ada berita gembira bagi orang-orang yang sabar. Sesungguhnya setiap kesusahan akan ada kesenangan. Yang penting sabar dan solat. Allahu akbar.

Tanah felda ini harus dijaga kemakmurannya. Menjadi tanggungjawab generasi kedua meneruskan legasi kecemerlangan ini. Hari ini juga heboh dengan saham dan pelbagai rezeki lain untuk warga peneroka. Syukur. Allah jualah pemberi rezeki.

Saya terpanggil untuk menulis tentang felda kerana semalam ayah saya membawa pulang buku yang sangat tebal tentang FGVH, menyuruh saya pembacanya. Pagi ini ayah saya membawa pulang akhbar keluaran khas utusan tentang felda. Saya sebak membacanya. Kerana terfikir dan teringat tentang kesusahan emak ayah saya dahulu. Kita harus mencintai tanah air kita. Kita perlu mencintai kampung halaman kita. Kita harus mendoakan kesejahteraan penduduknya supaya mengamalkan kehidupan islam sepenuhnya agar sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayangNya. Agar terhindar dari segala tipu daya manusia. Terselamat dari segala fitnah dunia. InsyaAllah.

Ada tanggungjawab yang besar untuk generasi kedua felda dan seterusnya menjaga keharmonian felda ini. Mencapai kejayaan itu lebih mudah berbanding mengekalkannya. Tetapi tidak mustahil jika bersatu hati dan mengamalkan setiap ajaran yang terkandung dalam manual kehidupan kita iaitu Alquran dan sunnah Nabi muhammad s.a.w.

InsyaAllah,semoga Felda terus maju dalam rahmat ilahi. Semoga generasinya terus berdaya saing dan memberikan impak yang positif untuk felda sendiri dan negara amnya. Amin.

Salam sejahtera kepada semua warga felda dan untuk sahabat pembaca semuanya. Semoga hari mendatang menjadikan kita lebih baik dari hari-hari semalam. InsyaAllah.

posted from Bloggeroid

Wednesday 6 June 2012

Pengalaman

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Pagi tadi waktu subuh, masjid mengumumkan ada kematian (nota:kebiasaan di kampung saya jika ada kematian akan diumumkan di masjid).

Sahabat emak saya yang meninggal dunia. Selang beberapa buah rumah. Apabila kita mendapat berita tentang kematian seorang muslim disunatkan kita menyebut
"innalillahi wa inna ilaihi raji'un"
Sesungguhnya kami milik Allah dan kepadanyalah kami kembali (surah al-baqarah, ayat 156)

Sesungguhnya mati itu pasti. Kita semua merupakan bakal-bakal jenazah sahabat. Astagfirullah.

Saya berniat untuk belajar dan membantu menguruskan jenazah. Namun syukur, anak perempuan arwah yang ramai telah memudahkan pengurusan jenazah tersebut.

Sangat menginsafkan apabila melihat jenazah dimandikan dan dikafankan. Ini pengalaman pertama saya dan sangat terkesan di hati saya. Astagfirullah. Mati itu sangat pasti sahabat, hanya menunggu masanya sahaja. Cukupkah bekalan kita sahabat?

Sewaktu menziarahi jenazah kita disunatkan membacakan yasin. Seperti hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud "bacalah ke atas mereka yang sedang menghadapi kematian dengan bacaan yasin"

Selain itu, perbanyakkan juga bacaan "allahumagfirlahu warhamhu" yang bermaksud "Ya Allah, ampunkanlah dosanya, dan limpahkan rahmatMu Ke atasnya".

Melalui pengalaman pertama ini saya beraza menjadikannya titik mula untuk saya belajar cara pengurusan jenazah. Insyaallah. Ilmu fardhu kifayah yang sangat penting.

Selepas jenazah dibawa ke kubur, hati saya terdetik bahawa jenazah tersebut dipulangkan kembali kepada pemilik iaitu Allah dengan berbekalkan amalan, tiada lagi anak yang ramai, tiada lagi rumah, wang simpanan, dan segalanya ditinggalkan. Hanya amalan yang dibawa sebagai bekal. Sangat menakutkan bagi saya. Jenazah akan menduduki peperiksaan terbesar dalam kehidupannya, lebih besar dari STPM, lebih besar dari VIVA Voice, lebih besar dari segalanya. Tetapi jawapan bagi soalan tersebut sudah lama bocor. Allah tuhanku, muhammad nabiku, islam agamaku.

Pengalaman menarik ini memberi makanan pada rohani saya.

Salam sejahtera kepada sahabat semua. Semoga hari hari kita akan datang menjadi lebih baik dari hari semalam. Insyaallah.

posted from Bloggeroid

Monday 4 June 2012

Pengkalan balak

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang



Langit yang membiru. Keindahan pantai. Tiupan angin laut. Damai. Tenang. Nikmat. SubhanaAllah.




Teruja dengan ombak yang memukul tubuhnya. Anak saudara saya Amjad berkata 'seronoknya'. Kanak-kanak 4 tahun itu melahirkan kegembiraan dan kegirangannya sehingga dipujuk untuk balik. Alhamdulillah.



Berniat menunjukkan simbol 'peace'.:) .
Thabit awalnya takut dengan laut, tetapi akhirnya kalah jua dengan nikmatnya berendam di laut masin itu.

Indahnya ciptaan Tuhan. Hidup terlalu singkat untuk berasa kecewa, menyesal, merungut, dan segala yang negatif. Lihat alam yang terbentang luas, kita akan nampak terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Tidak dapat dihitung. AllahuAkbar

"maka nikmat Tuhan-mu yang manakah yang kamu dustakan" (Surah Ar-Rahman, ayat 13)


Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Saturday 2 June 2012

Kekal

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Sekarang dah memasuki penggal kedua bagi 2012. Bagaimana dengan azam 2012?ada yang sudah tercapai? Saya mendoakan yang terbaik untuk sahabat pembaca semua.



Semalam saya dan emak ke kubur arwah datuk dan nenek saya di Jasin,Melaka. Hukum menziarahi kubur ialah sunat muakkad, terutama kubur ibu bapa kita sendiri. Tambahan semalam hari Jumaat. Semoga kelak kami ditemukan kembali di syurga firdaus.amin

Apabila ke tanah perkuburan akan mengingatkan kita tentang kematian. Menyedarkan tempat kembalinya kita yang kekal abadi. Sangat menginsafkan. Tiada apa yang kita bawa selain daripada amalan kita di dunia. Astagfirullah

Selamat berhujung minggu buat semua sahabat.

Salam sejahtera kepada kalian semua.

posted from Bloggeroid