Thursday 30 August 2012

Hantar

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Semoga semuanya dalam keadaan sihat.

Saya Alhamdulillah, sudah selamat sampai di kampung halaman. Syukur.



Tadi saya ke UPM sebelum balik ke kampung. Menguruskan penghantaran thesis. Akhirnya, penantian saya berakhir. Selepas beberapa bulan lewat kerana silapnya perancangan saya juga. Kelewatan menghantar surat untuk pemeriksa dalaman dan luaran. Akhirnya, dapat juga di hantar sebelum semester baru dibuka bulan hadapan. Syukur. Kerana saya hanya target untuk menyelesaikannya dalam tempoh dua tahun.

Saya tidak pernah menyangka urusan mencari dan mendapat pengesahan pemeriksa untuk bersetuju menjadi pemeriksa mengambil masa yang panjang. Sejak bulan april thesis saya sudah 90% lengkap. Ikut perancangan saya, hantar awal mei, viva dibulan ramadhan, dan konvo bulan 10 ini. Namun dek kelewatan mengurus penama bagi pemeriksa dalaman dan luaran, berkaitan juga dengan ramai pihak, akhirnya urusan pemeriksa selesai pada 28hb ogos lepas. Di UPM thesis untuk pemeriksaan hanya boleh di hantar selepas adanya nama pengerusi, nama pemeriksa dalaman dua orang dan pemeriksa luaran seorang bagi peringkat Master.

Terhantarnya Thesis, saya berasa lega. Sebahagian tanggungjawab selesai. Tapi bukan bermakna perjalanan pengajian saya dah berakhir, tetapi baru bermula untuk mencapai cita-cita yang saya impikan. Doakan saya sahabat pembaca.

Sekarang hanya bersedia menunggu waktu viva mungkin dua bulan dari sekarang. Saya pernah menulis di sini mengharapkan viva semasa ramadhan. Rupanya perancangan Allah adalah terbaik, sekiranya dua bulan dari sekarang viva, maka sudah menghampiri cuti sekolah, jadi lebih banyaklah masa boleh difokuskan untuk urusan viva. Syukur. Syukur Tuhan.

Pengajaran yang saya dapat, juga untuk semua sahabat pembaca, jika berminat untuk menyambung pengajian sehingga peringkat Master atau PHD. Bagi saya Master dan PHD bukan lagi soal pandai atau tidak. Tapi soal, bagaimana kita mengurus diri kita menjadi pengurus yang baik untuk diri kita sendiri.

Sijil yang kita hajati tetap akan kita perolehi selepas lulus dengan jayanya. Tapi apa yang lebih penting, ialah 'sijil' pengalaman yang kita perolehi sepanjang tempoh pengajian yang tidak boleh di jual beli.

Allahu Akbar, sebagai hamba, kita hanya mampu berusaha dan terus berusaha. Lulus atau gagal Allah lah yang berkuasa. Yang pasti usahalah tanpa mengenal putus asa.

Saya tinggalkan sahabat hari ini dengan satu kata-kata motivasi, tidak kisahlah sahabat pembaca berumur 20an, 30an, 40an, 50an, waima 60an sekalipun "pasanglah cita-cita setinggi bintang di langit, supaya kelak ia jatuh bergemerlapan di ribaan" insyaAllah.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

posted from Bloggeroid

Wednesday 29 August 2012

Doktor cermin

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Apa khabar sahabat pembaca? Masih dalam mood raya pastinya. Esok lusa cuti sempena merdeka pastinya ramai yang mengambil kesempatan untuk menghadiri jemputan rumah terbuka. Syukur dengan kemakmuran yang dikurniakanNya.

Petang tadi saya membawa kereta saya berjumpa doktor, Doktor Cermin. Saya kira doktor pakar. Pakar dalam bidangnya tentang cermin kereta. Segala ilmu tentang cermin kereta tanyalah padanya, semuanya diketahui. SubhanAllah. Ilmu Allah yang sangat luas.

Kereta saya cermin hadapannya terkena batu, setelah dua tahun retaknya makin panjang. Jadi petang tadi saya berjumpa Doktor Cermin Enterprise, di Pandan Perdana. Setelah mengetahui tentang kedai tersebut melalui syarikat insuran. Benar-benar pakar cermin menurut pandangan mata kasar saya. Dari caranya bekerja, mahir dan cekap dalam bidangnya serta nasihat yang diberikan tentang cermin. Syukur bertemu dengan kedai yang tepat.

Saya terfikir, benarlah ilmu yang ada pada diri kita sekadar setitik air di hujung jari di tengah lautan yang tidak bertepi. Setiap manusia diberi kelebihan tentang ilmu dan kepakaran masing-masing untuk saling melengkapi. Allah, makmur sungguh ciptaan Tuhan.

Hari ini, saya belajar sesuatu hari ini daripada doktor cermin..

Syukur..

Tiada sesuatu pun yang berlaku dengan sia-sia..

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.
Jika ada masalah tentang cermin kereta bolehlah berjumpa doktor cermin. Kedainya ada beberapa cawangan, seingat saya ada di serdang, bangi, dan Puchong. Pandan perdana adalah HQ nya. Pastinya berpuas hati dengan khidmat yang diberikan. Hanya sekadar berkongsi maklumat.

posted from Bloggeroid

Tuesday 28 August 2012

Kongsi cerita

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Saya yakin dan percaya, ramai sahabat pembaca yang gemar berkongsi cerita. Tak kisahlah sama ada cerita sedih, cerita gembira, cerita suka, duka, dan bermacam-macam kisah.

Ada yang berkongsi cerita dengan sahabat sekerja, kawan baik, kawan serumah, dengan kakak, dengan mak ayah atau dengan sesiapa sahaja yang kita selesa dan percaya.

Dalam kita asyik berkongsi cerita, cuba teliti wujud tak umpatan? Aa tak riyak waktu cerita tu? Ada unsur munafik atau tidak? Adakah apa yang dicerita, itu yang kita buat? Atau hanya sekadar di mulut? Sama-sama kita refleksi diri dan nilai kembali, sebab setiap apa yang kita cakap, kelak akan dipertanggungjawabkan. Nauzubillah.

Salah ke kongsi cerita ni? Tak salah, tapi pendapat saya jangan sehingga menimbulkan dosa. Saya teringat pesanan Prof Dr. Muhaya, katanya kita mesti kedekut dengan diri kita sendiri. Kedekut yang bagaimana? Kedekut dengan diri sendiri dari melakukan dosa. Mesti kedekut nak melakukan dosa. Astagfirullah.

Hari ini, saya sempat berkongsi cerita dengan seorang sahabat sekerja, kami kerap berkongsi cerita. Allah, syukurnya di penghujung cerita kami termasuk kisah betapa hari ini ramai yang mati mengejut, tak sakit, tiada sebarang penyakit, sihat waktu paginya, dengar-dengar petang tu meninggal dunia. Allahu Akbar. Bagaimana pula nasib kita kelak ye sahabat?

Kongsi cerita itu penamatnya menambah nilai keinsafan dalam diri saya . Syukur..

Hakikatnya, kita memang memerlukan seseorang untuk berkongsi cerita, tetapi bagi saya lebih seronok jika penamat perkongsian tersebut ada nilai positif. Sekurang-kurangnya perkongsian tersebut akan menjadi perkongsian yang bermanfaat bagi kedua-dua belah pihak.

Selebihnya mengadu dan ceritalah dengan Allah dalam suka dan duka.

"sesungguhnya Allah itu lebih dekat daripada urat leher"
(surah qaf, ayat 16)

Sempena syawal ini, tentu banyak jemputan rumah terbuka, dan bertambah banyak cerita yang ingin di kongsi. Antara salah satu adab bercerita adalah janganlah kita bercerita sesuatu yang kita ada tetapi tidak dimiliki oleh orang lain, takut-takut timbulnya riyak.

Tetapi apabila menilai kembali hakikat kita diciptakan dengan hanya satu mulut, dua telinga adalah untuk menggalakkan kita untuk lebih banyak mendengar daripada bercakap.

Tuntasnya, selamat berkongsi cerita, tambah-tambah musim perayaan ini. Biarlah cerita yang kita kongsi mampu memberi manfaat kepada sahabat pendengar. Sesungguhnya sebab mulut, badan boleh jadi binasa dan lidah itu lebih tajam daripada pedang.

Sama-sama kita saling ingat mengingati

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

posted from Bloggeroid

Monday 27 August 2012

Hati

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat? Bagaimana dengan isnin kalian? Pastinya semangat dan penuh motivasikan? Syukur...

Saya hanya nak berkongsi tentang ingatan ini yang pastinya ramai dah tahu, bahawa dalam diri kita ada seketul daging, jika baik daging tersebut, maka baiklah keseluruhannya,tapi jika daging itu buruk, maka buruklah kesuluruhannya. Daging itu ialah HATI.

Oleh sebab itu, saya nak berkongsi satu lirik lagu dari Opick, yang tajuknya tombo hati atau ubat hati.

Moga lirik ini menggerakkan kita untuk untuk melaksanakan amalan yang disebut, moga-moga hati kita bersih dari titik-titik noda dan dosa. InsyaAllah. Hati sihat, insyaAllah iman kita mantap. Sama-sama kita usaha ye. Ini liriknya, baca sambil berlagu ye:). Senang untuk ingat, bila dah ingat mudah untuk laksanakannya, insyaAllah.

Ubat hati
Ada lima perkaranya
Yang pertama baca Quran dan maknanya
Yang kedua, solat malam dirikanlah
Yang ketiga, berkumpullah dengan orang soleh
Yang keempat, perbanyaklah berpuasa
Yang kelima zikir malam perpanjanglah
Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Allah Taala mencukupi.

InsyaAllah

Semoga kita ada kekuatan untuk melaksanakannya. InsyaAllah. Ameen

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian.

posted from Bloggeroid

Sunday 26 August 2012

Kembali ke KL

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Semoga dalam lindungan Allah.

Saya selamat kembali ke Kuala Lumpur hari ini.
Sampai sebelum asar. Syukur tiada kesesakan yang panjang, hanya sedikit sesak selepas tos gombak, kerana ada kereta rosak. Moga pemilik kereta tersebut dan keluarganya bersabar dengan ujian tersebut.. Sangat menguji kesabaran dengan badan yang kepenatan, cuaca yang panas beserta anak kecil yang minta perhatian. Astagfirullah

Jadi, Esok kembali bekerja. Bersemangatlah!!!

Jadikan pekerjaan kita sebagai ibadah.

Mulakan dengan niat semata-mata kerana Allah.

InsyaAllah akan ada keberkatannya.

Selamat kembali bekerja sahabat.
Selamat mula mengajar untuk sahabat guru.

Salam sejahtera kepada semua sahabat
posted from Bloggeroid

Friday 24 August 2012

Sia-sia

Salam penghulu hari sahabat pembaca

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar syawal sahabat pembaca? Tentu sudah ada yang kembali ke rumah masing-masing untuk kembali bekerja. Bagi sahabat pembaca yang bergelar pendidik, tugasan akan bermula isnin depan, insyaAllah.

Saya hanya nak berkongsi satu ayat yang sungguh terkesan di hati saya, iaitu :

"Janganlah kita teruskan kehidupan kita yang sia-sia"

Ayat di atas mengingatkan saya pada satu sesi motivasi. Motivator tersebut mengatakan, jika kita ingin lakukan sesuatu perkara, fikirkan dulu apakah perkara tersebut akan memberi kesan yang baik atau buruk dalam hidup kita dalam tempoh lima tahun akan datang. Kalau kesannya baik, teruskan. Jika kesannya buruk, tinggalkan tanpa sebarang penyesalan. Kesannya, akan mendorong kita melakukan hanya aktiviti yang bemanfaat sahaja. Contoh mudah, malas solat, kesannya Allah murka, tiada keberkatan, hati tidak tenang, jadi tinggalkan sifat malas, lantas terus solat. Kebaikannya untuk siapa?untuk diri sendiri juga.

Jangan jadi seperti lembu katanya, hidup hanya makan dan tidur. Masalah yang difikirkan, nak makan apa. Nak tidur bila. Nauzubillah.

Konsepnya mudah, untuk mengajar kita berfikir dahulu sebelum bertindak, berfikir dahulu sebelum bercakap. Sama juga dengan pengalaman yang saya dapat semasa berniaga dahulu, jangan berikan jawapan lima saat, tetapi fikir dahulu. Maksudnya, jangan terus menjawab sebarang soalan tanpa berfikir.

Berfikir tanpa belajar, bahaya.
Belajar tanpa berfikir, sia-sia.

Tiada satu pun ciptaan Allah itu sia-sia, walau kadar kerdipan mata kita. AllahuAkbar. Astagfirullah.

Manusia yang paling baik ialah manusia yang paling bermanfaat.
Berdoalah sahabat agar kita diciptakan untuk menyenangkan orang lain bukan membebankan.
Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.
Tinggalkan semua perkara yang sia-sia.
Moga-moga Allah sentiasa tuntun hati dan akal kita untuk melakukan perkara yang bermanfaat.

Sahabat, akhirat kelak, walau sebesar zarah perbuatan kita akan dinilai. Astagfirullah. Maha suci Allah. Kita mohon keampunanNya sahabat. Kerana DIA maha pengampun, dan sentiasaaa sukaa untuk mengampunkan dosa hambaNYA, moga kita diberi keampunan. InsyaAllah. Ameen

Salam sejahtera kepada semua sahabat.

posted from Bloggeroid

Wednesday 22 August 2012

Dodol

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Bagaimana sambutan syawal? Pastinya sibuk dengan amalana ziarah-menziarahi dan maaf-bermaafan.

Sahabat pembaca suka makan dodol? Dodol merupakan makanan tradisi masyarakat melayu. Paling popular terutamanya semasa sambutan hari raya aidil fitri.

Uniknya dodol bagi saya, pada cara pelaksanaannya. Memerlukan tenaga dan semangat yang tinggi. Signifikannya pada nilai kerjasama untuk mengacaunya yang mengambil masa antara tujuh ke lapan jam. Jika sendirian pastinya kudrat yang ada tidak mencukupi. SubhanAllah. Uniknya budaya Melayu. Ada nilai dalam setiap tradisi yang ditinggalkan.

Semalam di rumah saya sibuk mengacau dodol,seawal subuh sudah sibuk membelah kelapa sebanyak 20 biji, mesin kelapa dan memerahnya untuk mendapatkan santan. Selepas itu bermulalah proses mengacaunya sehingga waktu zuhur. Dengan bahang panas api dan asap, sangat-sangat memerlukan kerjasama dan tenaga lelaki, syukurnya emak saya ada cucu dan anak lelaki yang ramai. Dek kesibukan, saya tidak sempat mengambil sebarang gambar. Dalam kepenatan, kemeriahannya terasa. Dodol mengajar nilai kerjasama menjadikan yang berat menjadi ringan, yang sulit menjadi mudah.

Syukur. Ada nilai dan setiap kejadian untuk difikirkan. Tiada sesuatu pun yang terjadi dengan sia-sia.

Salam sejahtera kepada sahabat sekalian.
Apabila sibuk beraya dan memasak di dapur, sama-sama kita mohon agar tidak pula lewat dan culas dalam menunaikan solat. Solat itu wajib dan solat tiang agama. Apalah maknanya kita sebagai hamba jika tidak bersolat.

"dan sesungguhnya solat itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk" (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

Salam untuk semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

Monday 20 August 2012

Puasa enam

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Bagaimana dengan sambutan aidil fitri? Pastinya meriah dengan sanak saudara dengan amalan kunjung mengunjungi dan maaf bermaafan.

Tentunya sudah ada sahabat pembaca yang memulakan berpuasa sunat enam pada hari ini. Selamat berbuka puasa saya ucapkan. Syukur dengan kekuatan yang Allah kurniakan untuk berpuasa pada hari ini. Amalan puasa enam di bulan syawal sangat sinonim dengan masyarakat islam selepas habisnya ramadhan.

Kelebihan puasa enam hari di bulan syawal ini juga ada dinyatakan oleh Abu Ayyub Al-Ansari yang meriwayatkan satu hadis dari RasulAllah S.A.W yang menerangkan kelebihan puasa enam syawal yang bermaksud,

"sesiapa berpuasa ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa sunat enam hari dibulan syawal samalah seperti berpuasa sepanjang tahun"

Saya agak keliru tentang cara pelaksanaan puasa sunat enam ini. Saya tidak mahu amalan ini dilakukan hanya sekadar amalan adat, ikut-ikutan. Beberapa persoalan timbul seperti bolehkah saya lakukan secara tidak berturut, contoh dibuat pada setiap isnin dan khamis di bulan syawal. Bolehkah saya sekalikan dengan niat puasa qadha.

Dalam mazhab syafie ada menyebut bahawa terlebih afdhal jika puasa sunat enam dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dilaksanakan secara berturut-turut. Lebih afdhal.

Tetapi jika tidak dapat dilaksanakan secara berturutan, dilaksanakan pada pertengahan atau akhir syawal, tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan tetapi amalan tersebut tetap diterima oleh Allah dan ada pahala disisiNya. InsyaAllah.

Selain itu tentang niat puasa qadha, dalam masa yang sama niat juga untuk puasa sunat enam di bulan syawal. Adakah masih mendapat pahala puasa enam di bulan syawal tersebut.

Jawapannya menurut ulama terkenal dari Al Azhar melalui kitab fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasa dan ditunaikan enam hari dalam bulan syawal dengan niat qadha. Jadi akan terhasil pahala qadha dan pahala puasa enam syawal. Tetapi, lebih afdhal jika diasingkan antara puasa qadha dengan puasa sunat enam syawal kerana puasa qadha hukumnya wajib dan puasa syawal hukumnya sunat. Maka lebih baik tidak disatukan.

Kesimpulannya, lebih baik diasingkan kerana lebih afdhal. Wallahua'alam.

Untuk lebih jelas sahabat boleh merujuk kepada ustaz ustazah demi penjelasan yang lebih lanjut. Kerana ilmu itu sangat luas untuk kita terokai. Ilmu yang dikongsikan hari ini hanya setitik dari ilmuNya yang maha luas.

Signifikannya puasa enam di bulan syawal ini untuk mengajar dan mendidik kita bahawa ibadah itu tidak hanya dilaksanakan pada ramadhan sahaja, tetapi dilaksanakan dengan istiqomah sepanjang hayat kita. Selain itu untuk mengajar kita bahawa syawal bukanlah bulan untuk bergembira semata-mata.

Jadi ayuh sahabat, kita berpuasa enam dibulan syawal.
Semoga ada manfaat dan keberkatannya.
InsyaAllah.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

Sumber : http://www.ukhwah.com

posted from Bloggeroid

Sunday 19 August 2012

Selamat hari raya 2012

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar

Selamat hari raya aldil fitri sahabat pembaca

Selamat hari raya

Ini tahun pertama blog 'hakikat kejadian insan' meraikan perayaan fitrah hari raya aidil fitri

Terima kasih kepada semua sahabat pembaca yang memberi makna dalam kehidupan saya

Terima kasih.

Saya mohon maaf jika sepanjang penulisan di blog ini ada mengguris hati sahabat pembaca. Maaf zahir dan batin ye sahabat.

Raikanlah kemenangan hari ini dengan penuh kesyukuran, kasih sayang, kegembiraan, kebahagian, bermaaf-maafan bersama keluarga yang disayangi, tetapi jangan sehingga berlebih-lebihan. Bersifatlah wasatiah (bersederhana) dalam setiap tindakan.

Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kalian sahabat sepanjang ramadhan.
Moga kita diberi kesempatan bertemu lagi ramadhan akan datang. InsyaAllah. Ameen.

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian
Selamat hari raya aidil fitri
Maaf zahir dan batin
Dari saya indah eyah abu samah dan keluarga
Pahang, Malaysia

posted from Bloggeroid

Saturday 18 August 2012

Bersyukur

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Bagaimana persiapan aidil fitri?

Moga terus istiqomah dengan amalan sehingga menjelangnya aidil fitri.

Tahniah kepada semua kerana dapat berpuasa sepanjang ramadhan.

Tahniah kerana dapat menunaikan solat sunat tarawih.

Tahniah kerana dapat mentadabbur Al-Quran

Tahniah dapat melaksanakan solat tahajud setiap malam.

Tahniah dapat melakukan pelbagai amal ibadat

Bersyukurlah dengan kemampuan melaksanakan amal ibadah ini, bersyukur kerana diberikan hidayah oleh Allah untuk melaksanakan ibadah ini, tidak mampu dan tidak berdaya amal ibadah ini dilaksanakan tanpa hidayah dari Allah. Syukurlah sahabat, syukur Alhamdulillah.

Syukur ya Allah. Syukur.

Hari ini tentunya sibuk di dapur. Memasak pelbagai juadah untuk aidil fitri. Allahu Akbar, nikmat perayaan yang Allah kurniakan. Nikmat Allah yang mana lagi yang hendak kita dustakan.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

Jika esok raya, kita boleh melakukan beberapa amalan sunat pada paginya. kita mulakan dengan mandi sunat aldil fitri, berwangi-wangian, memakai pakaian baru. Selepas itu bersarapan dahulu sebelum ke masjid bagi menunaikan sunat aldil fitri. Ya Allah, syukur.

Salam sejahtera kepada semua sahabat.

Selamat berbahagia dan bergembira bersama keluarga tercinta.
Semoga bersederhana dalam segala yang dilakukan.
Semoga semua sahabat terus dalam rahmat dan kasih sayang Allah
Semoga amalan kita semua diterima oleh Tuhan yang Esa. Ameen

posted from Bloggeroid

Thursday 16 August 2012

Ramadhan

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca?sudah sampai di kampung halaman? Bagaimana amalan di penghujung ramadhan? Saya doakan semua sahabat terus istiqomah dengan amalan yang dilakukan hingga 11 bulan akan datang.

Allahu Akbar, entahkan jumpa atau tidak kita dengan ramadhan akan datang. Mungkinkah ini ramadhan kita yang terakhir? Ya Allah, Takut dan gentar rasa hati ini mengenangkan diri, hati dan jiwa penuh dengan dosa.

Adakah ramadhan kali ini telah mengubah segala sifat negatif kita? Sifat amarah kita, sifat suka mengeluh kita, sifat prasangka kita, sifat iri hati kita, segala sikap buruk kita. Ya Tuhanku, aku hanya hambamu, seorang pendosa ya Tuhan. Kita muhasabah diri kita, sahabat. Kita refleksi diri kita. Kita nilai diri kita, sahabat.

Apabila tibanya penghujung ramadhan dan bakal bertemu sambutan Aldilfitri, insyaAllah, saya doakan semoga amalan kami dan amalan semua sahabat diterima olehNya. Ameen

Moga amalan kita diterima sahabat. InsyaAllah

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian

posted from Bloggeroid

Wednesday 15 August 2012

Balik Kampung

Salam

Dengan Nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar ramadhan sahabat pembaca? Teruslah ikhlas dan istiqomah dengan amalan yang dilakukan.

Hari ini hari terakhir persekolahan, esok sudah bermula cuti sempena sambutan hari raya aidil fitri.

Saya seperti biasa selepas waktu persekolahan terus pulang ke kampung. Syukur


Balik kampung sangat sinonim dengan kita apabila tiba musim perayaan.

Jadi saya ambil kesempatan ini untuk saling berpesan-pesan, dan ingat mengingati agar berhati-hati di jalan raya, pastikan kenderaan dalam keadaan baik. Rumah pastikan berkunci, baju raya, kuih muih jangan pula tertinggal..:))..

Dalam keterujaan untuk pulang ke kampung, janganlah tergesa-gesa sehingga mengabaikan keselamatan diri sendiri dan paling penting keselamatan penumpang dan pemandu lain.

Berhati-hatilah di jalan raya.
Pandulah dengan selamat dan berhemah.

Semoga semua sahabat pembaca selamat pulang ke kampung. Pastinya ibu ayah menanti kepulangan anak soleh dan solehah mereka dengan penuh bahagia.. Allahu Akbar, besarnya ganjaran bagi kita sebagai anak yang menggembirakan hati ibu ayah kita... Merekalah syurga kita di dunia..

Selamat pulang ke kampung sahabat pembaca..Bagi yang pulang ke kampung hari ini atau esok, ambillah peluang untuk bersolat terawih di masjid kampung halaman, sementara masih berbaki beberapa malam pastinya menggamit kenangan sewaktu zaman kanak-kanak dahulu.. SubhanaAllah, sangat nostalgia.

Salam Sejahtera kepada semua sahabat pembaca..
Saya doakan semua sahabat pembaca selamat tiba di kampung halaman dan bertemu dengan ibu ayah tercinta..

Tuesday 14 August 2012

Pendidikan

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? bagaimana amalan di hujung ramadhan? moga semua sahabat terus istiqomah mengejar berganda-ganda pahala yang dijanjikan.

Peribahasa Melayu, jika takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

Tapi bumi mana yang tidak ditimpa hujan.

Setiap kehidupan pastinya ada dugaan dan cabaran.

Semalam saya menerima cabaran dalam bidang pendidikan dengan kerenah pelajar yang inginkan kecemerlangan sehingga menuding jari kepada guru sampai terlupa empat jari lagi tertuding kepada diri mereka sendiri.. Allahu Akbar..Astagfirullah..

Sesungguhnya remaja ini perlu dibimbing. Dibentuk dan dilentur tetapi perlu dengan hati-hati agar tidak patah. Saya mohon bantuannya.. Pastinya pengalaman akan lebih mendewasakan saya. InsyaAllah..



Isu tersebut buat saya seronok dengan bidang ini..Saya gembira dengan tugas saya dan saya benar-benar jatuh cinta dengan jawatan pendidik ini...Dugaan dan cabarannya menguji IQ dan EQ saya menjadikan kadang kala saya sangat teruja, tetapi ada kalanya terduduk...:)

Setiap hari berpeluang berkongsi ilmu, setiap hari mengajar dan setiap hari juga saya sendiri belajar.. Subhanallah. Benarlah bahawa proses belajar itu tidak akan berhenti hingga hujung nyawa..Allahu Akbar.. syukur kepada Tuhan dengan nikmat dan peluang ini..

Manusia dihormati kerana ilmunya. Sesungguhnya harta tidak mampu menjaga tuannya, tetapi dengan ilmu kita mampu merantau seluruh dunia..

Kesimpulannya, suka saya mengajak semua sahabat pembaca yang bergelar pendidik, cintai tugas dan tanggungjawab kita dengan sepenuh hati.. Apa yang kita beri, itulah yang kita akan dapat.. Tugas hakiki kita adalah mendidik, maka didiklah anak bangsa kita yang merupakan wajah-wajah negara ini agar berjaya dunia dan paling penting akhirat. Ilmu berguna yang kita sampaikan, jika anak murid kita amalkan, kelak itulah amal jariah yang akan menjadi pencen kubur kita..

Selamat melipat gandakan amalan di penghujung ramadhan..
Semoga amalan kita diterima olehNya, kita terus ikhlas dan beristiqomah dengan amalan yang dilakukan sehingga 11 bulan yang akan datang. InsyaAllah..

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca..

Monday 13 August 2012

Prasangka

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Moga dalam keadaan sihat, sentiasa dalam peliharaan dan Rahmat Allah.

Moga-moga terus istiqomah dengan amalan-amalan di penghujung ramadhan. Entahkan jumpa atau tidak lagi dengan ramadhan akan datang. Mungkin ini ramadhan terakhir kita. Mungkin.segalanya hak Dia yang Maha Kuasa.

Saya suka nak berkongsi tentang prasangka. Kita mudah sangat ada penyakit prasangka, mungkin disebabkan ego, mungkin juga sebab penyakit hati menyebabkan kita mudah berprasangka. Prasangka orang tu sombongla, kedekutla, tamakla, berlagakla, macam-macam yang negatif lagi. Astagfirullah. Kebiasaan prasangka kita adalah prasangka yang negatif.

Apabila terjumpa ayat ke 12 dari Surah Al-Hujurat, buat saya tersedar, astagfirullah.. Sesungguhnya Al-Quran telah menjelaskan segalanya tentang kehidupan, hanya terpulang kepada kita sebagai hamba sama ada hendak mengamalkannya, atau hanya membacanya tanpa berfikir. Tetapi, beruntungla bagi hamba-hambaNya yang hendak berfikir. Kita fikirkan sahabat, adakah ramadhan telah mampu menyekat sikap kita yang suka berprasangka?

Ini makna ayat tersebut :

'Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah kamu menggunjing sebahagian yang lain. Apakah di antara kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu berasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha penerima taubat, Maha penyayang' (surah Al- Hujurat,ayat 12)

Kesimpulannya, saya mengingatkan diri saya dulu dan semua sahabat pembaca, nilai dan refleksi kehidupan kita yang lepas, berapa banyak prasangka yang kita dah lakukan, sedangkan jelas dalam ayat di atas, sebahagian prasangka itu dosa.

Jika tiada prasangka , Alhamdulillah. Tetapi jika banyak, kita mohonlah ampun kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha pengampun, dan Dia akan memberi keampunan kepada hambanya, maka semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita. Mohonlah maaf kepada sahabat yang yang telah kita bersangka buruk kepadanya, moga ramadhan kali ini menyucikan hati kita dari suka berprasangka buruk, dan kita istiqomah untuk 11 bulan akan datang agar tiada prasangka yang wujud di hati kita. InsyaAllah, ameen. Bantuan Allah yang kita harapkan.



Pulau Pangkor, Perak, Malaysia. Pangkor Village. Remang senja.
Laut yang tenang ini jangan disangka tidak akan bergelora.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.
Semoga ada manfaatnya dari pembacaan ini dan sama-sama kita amalkan. Jika kita tidak suka diri kita disangka yang negatif,kita terlebih dahulu perlu membuang sikap suka prasangka.

Salam ramadhan sahabat. Fasa terakhir memohon keampunanNya
Sama-sama kita manfaatkan fasa terakhir ini.

posted from Bloggeroid

Sunday 12 August 2012

Pahala

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca?
Semoga sentiasa sihat dalam lindungan rahmat dan kasih sayang Allah.
Semoga terus istiqomah melakukan amal ibadah menjelang hari-hari akhir ramadhan. Fasa ke tiga ramadhan, fasa memohon keampuanan dan taubat atas dosa-dosa lepas yang telah kita lakukan.

Saya baru sampai di Kuala Lumpur. Seperti biasa aktiviti setiap hujung minggu pulang ke kampung jika tiada tuntutan kerja di sekolah. Syukur dengan segala nikmat yang diberikan.

Tak layak rasanya nak menulis tentang dosa pahala, cuma saya hanya nak berkongsi satu hadis yang menceritakan pahala puasa,

Daripada Abu Hurairah r.a dia berkata :
"Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:'Allah S.W.T berfirman bahawa setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya dan setiap kebaikan akan dibalas 10 kali ganda (kebaikan yang sama) hingga 700 kali ganda KECUALI PUASA. ini kerana ibadah puasa untuk- Ku dan akulah yang akan membalasnya.'"
(Riwayat Ahmad)

Betapa besarnya ganjaran pahala yang dijanjikan bagi hambaNya yang berpuasa. Semoga kita semua tidak sekadar berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga sahaja. Moga amalan kita sepanjang ramadhan ini diterima. InsyaAllah. Ameen.

Selamat berbuka puasa buat semua sahabat pembaca.
Mulakan dengan Bismillah dan sudahi dengan Alhamdulillah. InsyaAllah akan ada keberkatannya.
Saya berbuka dengan bekalan masakan emak dari kampung, Allahu Akbar makanan yang di masak dengan penuh kasih sayang, menambah kelazatan makanan tersebut. Syukur Ya Allah.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

Friday 10 August 2012

Pendosa

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Salam jumaat sahabat pembaca, penghulu segala hari.

Salam ramadhan, penghulu segala bulan.

Malam 10 akhir ramadhan, yang Allah anugerahkan lailatulQadar.

Layakkah saya seorang pendosa dan semua sahabat pembaca sujud dan memohon keampunanNya pada malam lailatulqadar tersebut.

Astagfirullah.

Ayuh sahabat, kita menginsafi diri

Kita hanya hamba.

Semoga saya dan semua sahabat terus ikhlas dan istiqomah beribadah kepadaNya.


Kehijauan sawah luas terbentang
Mencetus ketakjuban kepada Pencipta seluruh alam ini
Kita hanya hamba
Hatta seekor lalat tidak mampu kita cipta

Insafi diri sahabat, insafi diri. Cukupkah amalan untuk dibawa pulang ke SANA. Inilah masanya untuk menggandakan segala amalan, dan terus beristiqomah dengan 11 bulan yang akan datang.

Salam sejahtera untuk semua sahabat pembaca
Semoga sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayangNya

posted from Bloggeroid

Wednesday 8 August 2012

LailatulQadar

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Salam ramadhan sahabat pembaca.

Ramadhan tiba ke kemuncaknya.

Kemuncak kepada melipat gandakan ibadah

Kemuncak meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah

Kemuncak menyibukkan diri merebut anugerah LailatulQadar.

Malam yang lebih baik dari 1000 bulan.

Layakkah seorang pendosa ini bertemu dan bersujud di malam Lailatul Qadar Mu, ya Allah.

Ayuh sahabat, kita muhasabah diri. Kita gandakan amalan sebagai bekalan kehidupan yang lebih kekal abadi di akhirat kelak. Sesungguhnya, kehidupan dan kenikmatan hari ini, hanya sementara, jangan terpedaya, kita jangan terpedaya sahabat. Astagfirullah, ya Allah.

SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

Ayuh, kita sedari dan insafi hakikat kita diciptakan sebagai hamba

posted from Bloggeroid

Tuesday 7 August 2012

Berpesan-pesanlah

Salam

Dengan Nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? bagaimana dengan amalan ramadhan? hari ini, hari ke 18 ramadhan. ayuh, kita sama- sama berdoa supaya kita layak dan berpeluang bertemu lailatulQadar. InsyaAllah...Ameen...

Saya nak berkongsi sebuah nasyid tentang solat untuk peringatan kita semua. seperti satu pepatah, jangan melihat siapa yang menyampaikan pesanan, tetapi dengarlah apa yang ingin disampaikan...

Semalam seorang ustaz menyampaikan ceramah di Radio Ikim ada menyebut bahawa ibu bapa hari ini ramai terlalu menekankan tentang ibadah puasa kepada anak-anak tetapi mengabaikan kepentingan solat. walau kedua-duanya adalah wajib, tetapi dalam rukun islam solat hadir dulu sebelum berpuasa. saya tidak mampu mengulas panjang isu ini dek kerana ilmu yang cetek, saya hanya berkongsi apa yang saya dengari di radio semalam dan saya bersetuju dengan pendapat ustaz tersebut.

Dengarkan pesanan dari nasyid ini...sesungguhnya solat itu tiang agama..ayuh kita sentiasa berusaha solat pada awal waktu .. sentiasa memantapkan solat kita kerana solat merupakan ibadah pertama yang akan di soal di akhirat kelak...Astagfirullah...


Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca..
selamat berbuka puasa...jangan membazir ye... kerana membazir itu sahabat syaitan...kita tak nak bersahabat dengan syaitan kan?..

salam sayang untuk semua sahabat membaca..terima kasih kerana membaca..semoaga ada manfaatnya untuk kita semua..semoga semua sahabat dalam peliharaan Allah..insyaAllah...ameen

Monday 6 August 2012

Olimpik 2012

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Bagaimana ramadhan sahabat pembaca? Semoga terus bersemangat melaksanakan amalan yang wajib dan beristiqomah dengan amalan sunat. Terus bersemangat mengecapi nikmat dan keberkatan ramadhan. Terus berusaha agar kita layak bertemu lailatulqadar. InsyaAllah. Ameen..

Tahniah saya ucapkan untuk atlet negara di sukan Olimpik. Juara-juara dunia dalam sukan dan kepakaran masing-masing berkumpul serta beradu tenaga, teknik, skill,semangat dan misi yang jelas untuk menjadi juara dan mengharumkan nama negara. Apa yang pasti menang dan kalah adat dalam pertandingan,yang lebih penting ialah semangat juang yang tinggi untuk berjaya. Semangat yang hadir dari manusia biasa tetapi melalui usaha dan kesabaran yang luar biasa.

Kita perlu contohi semangat ini dalam melestarikan ramadhan kita tahun ini. Semangat dan keinginan yang tinggi untuk mengejar redha Allah dan mengharap balasan yang baik dari Allah memerlukan usaha yang luar biasa.

Tiga sebab orang berjaya tidak pernah berputus asa kerana mereka mempunyai matlamat yang jelas, semangat juang yang tinggi dan keinginan yang membara untuk berjaya dan berjasa.

Tahniah kepada Dato' Lee Chong Wei yang tidak memberi kemenangan mudah kepada Lin Dan. Berusaha hingga hujung tenaga demi negara yang tercinta.

Saya teringat satu kata-kata, jangan persoalkan apa yang negara lakukan untuk kita, tetapi tanya diri kita apa sumbangan kita hari ini untuk negara.

Tahniah juga kepada Azizul Hasni Awang, buktikan bahawa ramadhan bukan penghalang untuk letih, lesu dan lemau. Tetapi lebih bersemangat berjihad demi negara tercinta.

Tahniah kepada semua atlet negara yang layak ke Olimpik, sukan dunia yang paling berprestij. Kalah atau menang, bukan soalnya. Lebih penting, Malaysia di kenali seluruh dunia dengan semangat juang memburu kegemilangan. Mereka, para atlet telah membuktikan sumbangan mereka untuk negara, kita bagaimana?

Menjadi rakyat yang cinta akan negara, jika pelajar, belajar bersungguh-sungguh,supaya negara mempunyai ramai para cendekiawan. Jika bekerja, bekerja dengan amanah demi menuju negara maju. Jika belia muda remaja, andalah wajah-wajah negara 10 20 tahun akan datang, bagaimana anda hari ini, menentukan di mana Malaysia akan datang. Jika suri rumah, tangan andalah yang mampu menggoncang dunia (nota:seperti emak saya), dari rahim andalah lahirnya tokoh-tokoh negara yang bakal membawa Malaysia menuju negara maju.

SubhanAllah, sangat cantik aturan kehidupan. Semuanya saling berkait dan memerlukan. Semuanya mempunyai tanggungjawab. Buktikan kita rakyat yang benar-benar cintakan negara.

Salam ramadhan sahabat pembaca.
Salam sejahtera kepada kalian semua.
posted from Bloggeroid

Saturday 4 August 2012

Ego

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar ramadhan sahabat pembaca?kita bakal memasuki fasa kedua ramadhan apabila hari ini sudah hari ke 15. Sebak rasa di dada. Masa berlalu sangat pantas. Sedangkan keberkatan semasa ramadhan tidak di manfaatkan dengan maksimum. Astagfirullah.

Masih ada rasa ego dalam diri

Masih ada sifat sombong

Masih wujud titik-titik hitam dalam hati

Masih mengeluarkan perkataan yang nista sehingga menyakiti saudara yang lain.Astagfirullah.

Maaf semalam tiada sebarang post, maaf kepada sahabat yang membuka blog tetapi tiada perkongsian terbaru. Saya pulang ke Melaka semalam. Rumah yang tidak dijenguk hampir dua bulan, rumput tidak terbela, bunga tidak terjaga, jadi saya ambil kesempatan minggu ini pulang untuk ke Melaka.

Sedikit perkongsian dari surah Al-Isra', ayat 37 yang bermaksud :

'Dan janganlah engkau berjalan di bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung'.

Sesungguhnya kita hanya hamba yang tidak mampu menembus bumi apatah lagi menjulang setinggi gunung. Jadi, hendak di bawa ke mana kesombongan dan keegoaan?

Peringatan ini paling utama untuk diri saya sendiri. Semoga sahabat pembaca juga menginsafi diri.



Dian Amani dan Amjad. Semoga menjadi anak yang soleh dan solehah. Kanak-kanak yang suci, hatinya bersih, ahli syurga, ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Semoga anak ini terus menjadi ahli syurga sehingga akhir kehidupannya. Ameen

Salam sejahtera kepada semua sahabat yang dikasihi Allah.

Selamat mentadabbur Al-Quran. Manual kehidupan kita sebagai hamba yang bakal menjadi saksi kita di akhirat kelak.

posted from Bloggeroid

Thursday 2 August 2012

Karma

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang



Perkampungan nelayan di Pulau Pangkor, Perak, Malaysia

Apa khabar ramadhan sahabat pembaca? Moga terus istiqomah dengan amalan. Semoga amalan kita diterima. Ameen.

Hanya nak berkongsi tafsir Al-Quran dari surah Al-Isra', ayat 7 yang bermaksud :

'Jika kamu berbuat baik bererti kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat jahat, maka kerugian kejahatan itu untuk dirimu sendiri'

Maksudnya hukum karma hidup. Jelas tertulis.

Apa yang kita berikan, itulah yang kita kembali akan dapat.

Kesimpulannya, segalanya berbalik dan terpulang kepada hati dan diri kita sendiri.

Astagfirullah. Saya mohon keampunan Allah atas kekhilafan dan kejahilan yang tidak terhitung.

Diri kita dahulu perlu menjadi baik dan positif sekiranya mengharapkan kebaikan dan positif dari orang sekeliling.

Dunia dan kehidupan akan melayan kita sebagaimana kita menilainya.

Hargailah setiap saat kehidupan dengan penuh kesyukuran yang sarat dengan nilai positif.

Selamat menikmati kehidupan. Hargailah setiap denyut nadi yang diberikan dengan amalan yang bermanfaat sebagai bekalan kehidupan yang lebih abadi diakhirat kelak. InsyaAllah. Ameen.

Salam sejahtera kepada sahabat semua yang dikasihi kerana Allah.
Terima kasih kerana sudi membaca. Semoga ada manfaatnya.

posted from Bloggeroid

Wednesday 1 August 2012

Nafsu

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar ramadhan sahabat pembaca?sudah 12 hari berlalunya ramadhan, bagaimana amalan kita sebelumnya? Bagaimana pengisiannya?jika terisi dengan amal ibadat, Alhamdulillah. Jika tidak, insyaAllah masih ada kesempatan untuk kita penuhi ramadhan ini dengan amal ibadat dan terus istiqomah untuk bulan seterusnya. InsyaAllah.

Bulan ramadhan ini, syaitan-syaitan diikat, dipenjarakan.
Logiknya, kita manusia bebas dari hasutan untuk melakukan perkara yang mungkar. Namun, nafsu dalam diri kita masih bermaharajalela.

Allahu Akbar, sukarnya mengawal nafsu. Benarlah benda yang paling berat ialah nafsu. Sembilan nafsu hendak dilawan dan di penjara dengan satu akal, benar-benar memerlukan keimanan dan ketaqwaan. Astagfirullah, bantulah hambamu ini ya Allah.

Semoga semua sahabat pembaca tidak tewas dengan nafsu.

Keinginan nafsu perlu kita kurung dan belenggu seperti binatang liar yang ditambat dan diikat.

Ayuh kita berdoa, memohon perlindungan Allah dari keinginan nafsu yang jahat. Semoga kita mendapat rahmatNya.Astagfirullah..

'nafsu itu menyuruh kepada kejahatan, kecuali orang yang dirahmati oleh tuhanku' (surah yusuf, ayat 53)



Jeti Pulau Pangkor.
Ingin ku campakkan nafsu ini jauh ke dasar lautan.

Selamat mentadabbur Al-Quran.
Sekadar berkongsi sedikit tips jika ingin membaca satu hari satu juzuk, cuba amalkan membaca empat helai setiap kali selepas solat fardhu.
Tapi janganlah semata-mata untuk cepat khatam sehingga melanggar semua hukum tajwid. Kualiti lebih penting berbanding kuantiti.

Sama-sama kita amalkan ye. InsyaAllah

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca yang dikasihi

Terima kasih kerana membaca. Semoga bermanfaat untuk kita semua dunia dan akhirat. Kita kejar akhirat ye sahabat. Kerana kematian adalah tujuan untuk semua insan yang hidup.

posted from Bloggeroid