Monday 29 October 2012

Raya korban dan emak ayah

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W

Apa khabar sahabat semua? semoga semuanya dalam keadaan sihat dan sejahtera...

Maaf kerana beberapa hari menyepi..saya tidak dapat update  kerana Tab saya 'hang'...entah di mana silapnya..itupun masih belum dibaiki, syukur masih dalam warranty jadi bolehlah dihantar semula kepada samsung untuk diperbetul..sedikit kesulitan apabila wujud kebergantungan kepada teknologi...

jadi saya mohon maaf kepada semua sahabat pembaca, jika ada yang sudi membuka blog ini tetapi kecewa kerana tiada sebarang perkongsian...:))

Hari khamis minggu lepas, 9 zulhijjah, pagi-pagi lagi saya dan emak ke pasar untuk membeli ayam, daging lembu awal-awal lagi ayah saya telah tempah. ramai sungguh orang, sehinggakan felda yang bebas dari kesesakan lalu lintas, pagi itu sesak...syukurlah saya dan emak keluar seawal pagi..

Di pasar saya terdengar perbualan dua orang pakcik, berbual hendak membeli ayam kerana katanya nak menjamu anak-anak yang nak balik beraya, seorang pakcik tersebut dialognya begini :

'nak beli ayam, jamu anak-anak, ikut depa la nak masak apa'

saya tersenyum sendirian, mungkin pakcik ini asalnya dari Kedah.

Dalam masa yang sama saya terfikir, begitulah semangatnya ibu bapa membuat persiapan menanti kepulangan anak-anak pulang ke kampung halaman.. Emak saya sendiri bila mendengar anak-anaknya nak balik, sibuk membeli lauk, memenuhkan peti ais, supaya senang apabila nak masak semua dah ada, macam-macam kuih hendak dibuatnya, tangan yang sakit pun dah tak terasa kesakitannya dek kerana terlalu seronok dengan anak-anak yang ramai balik..Saya yakin dan pasti emak ayah sahabat pembaca juga begitu..Allahu Akbar, sesungguhnya kasih mereka membawa ke syurga..

Bagi saya mungkin itu makna meriahnya raya bagi ibu bapa, apabila anak-anak semua balik dan berkumpul di rumah...Bahagianya hati mereka Tuhan sahajalah yang tahu..

tetapi balik ke kampung menziarahi ibu bapa tidak semestinya hanya di musim perayaan..baliklah seberapa kerap yang boleh, seminggu sekali, dua minggu sekali, sebulan sekali tapi janganlah sampai hanya setahun sekali...

Saya teringat kata-kata Dato Dr Fadzillah Kamsah di salah satu siaran radio katanya,

'jika anak-anak tidak menziarahi atau menghubungi ibu bapa, sehingga ibu bapa merindui anak-anak, takut-takut anak tersebut menjadi anak derhaka' nauzubillahi min zalik..wallahu a'lam...

Jadi sama-samalah kita saling berpesan-pesan agar sentiasa menggembirakan hati ibu bapa..mendoakan mereka dan menjadi anak yang soleha dan solehah untuk mereka mengikut semampu kita...

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca..

p/s : tolong aminkan doa ini sahabat, ya Allah luluskanlah pertukaran indah eyah abu samah ke melaka pada tahun ini..amin..amin..amin.. ya Allah..terima kasih sahabat :)))









Thursday 25 October 2012

9 Zulhijjah 1433

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW

Apa khabar sahabat pembaca semua?

Hari ini 25 oktober 2012 bersamaan 9 zulhijjah 1433. Sejak semalam lagi umat islam yang dijemput Allah menjadi tetamuNYA telah berkumpul di padang arafah untuk menunaikan beberapa rukun wajib haji.

Bagi kita yang berada di tanah air, digalakkan berpuasa pada 9 zulhijjah ini. Kerana terdapat hadis sahih yang menyatakan berpuasa pada 9zulhijjah ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun akan datang dan setahun sebelumnya. SubhanaAllah. Besar sungguh nikmat yang Allah berikan terutama bagi kita yang penuh dengan dosa dan noda ini.

Jadi ayuh sahabat. Kita berpuasa hari ini. Niatlah semata-mata kerana Allah. InsyaAllah


Sepatutnya post ini saya postkan semalam. Jadi jika ada sahabat yang ingin berpuasa hari ini,boleh bersedia.. Tetapi saya gembira juga apabila ada dihebah-hebahkan di media massa tentang puasa arafah pada hari ini, dan galakan agar kita melaksanakannya. Syukur dengan amalan saling berpesan-pesan tersebut.

Semalam sekolah saya mengadakan majlis graduasi untuk pelajar tingkatan lima. Graduasi umpama mekanisme yang digunakan oleh pihak sekolah untuk menaikkan semangat pelajar supaya melakukan yang terbaik dalam peperiksaan awam SPM menjelang 5 november kelak. InsyaAllah. Moga-moga pelajar ini diberikan kejayaan dunia dan akhirat. Amin.




Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca
posted from Bloggeroid

Tuesday 23 October 2012

kelelahan

salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW

apa khabar sahabat pembaca?

moga sentiasa sihat dan ceria-ceria selalu


'No matter how long the day, it ends with night, so does life'

kelelahan namun harus terus bergerak walau kelelahan lelah mengikuti

salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

kredit pictures : umarmita@langitilahi


Sunday 21 October 2012

Tentang doa

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW

Apa khabar sahabat semua? Tentunya seronok cuti hujung minggu bersama keluarga dan emak ayah tercinta. Setiap daripada kita pastinya ada doa-doa khusus yang sering diungkapkan. Yang sering dimohon kepada yang maha berkuasa. Hari ini saya nak kongsi dua kisah tentang doa yang sering saya ungkapkan.

Tentang doa 1:

Inilah kisah tentang doa saya yang pertama, berdoa tanpa lelah agar pertukaran saya ke melaka pada tahun ini diluluskan. Amin

Sepatutnya hari ini keputusan pertukaran keluar, tetapi tarikhnya ditunda kepada 3hb 11 ini. Ya Allah, pagi tadi berdebar-debar juga saya sewaktu ingin melihat keputusannya, Ya Allah,hanya kekuatan dan kesabaranNYA sahajalah yang saya pohon supaya tetap redha dan terus berdoa walau apa sahaja keputusannya. Berdoa dan terus berdoa. Berharap dan terus berharap hanya kepadanya yang maha pencipta.

Sebagaimana ayat Allah, dari surah Al-A'raf yang bermaksud :

"berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi setelah diciptakan dengan baik. Berdolah kepadaNYA dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan" (surah Al-A'raf ayat 55&56)

Ye, saya akan terus berdoa, saya akan terus berdoa dengan penuh pengharapan. Berdoa agar pertukaran saya diluluskan pada tahun ini. Kerana hari ini itulah senjata yang saya ada selepas berusaha pelbagai cara. Hanya DIA lah yang maha berkuasa atas segala-galanya. Saya yakin doa saya didengari dan akan dimakbulkanNYA.

Kerana janji Allah itu benar.
"Berdoalah kepadaKU, nescaya akan AKU perkenankan".

Tentang doa 2:

Doa saya yang kedua, yang tidak putus saya mohon agar saya mendapat pemeriksa thesis yang lembut hatinya. Amin.

Menyemak thesis saya dengan niat membantu bukan membantut. Jumaat lepas, supervisor saya meseg seawal pagi, mohon saya buat appoitmen dengan salah seorang pensyarah, lantas dihantar sekali nombor hp pensyarah tersebut. Supervisor saya hanya cakap dapatkan tips untuk viva dari pensyarah tersebut.

Hati saya terdetik, Ya Allah, Tuhan mendengar doa saya.

Saya hanya mengeyakan, dan lantas segera menelefon pensyarah tersebut dan appoitmen dibuat pada isnin ini,22hb, esok petang. Saya berdebar-debar juga untuk esok. Tertanya-tanya peranan pensyarah tersebut. Kerana keadaan ini seolah-olah ganjil di fikiran saya. Supervisor mohon jumpa pensyarah lain untuk dapatkan tips viva,sedangkan supervisor saya sendiri boleh memberikan tips tersebut. Allahu Akbar, hanya DIAlah yang maha berkuasa.

Saya paling ingat pesanan Prof Muhaya, lulus atau gagal kerja Allah, kita hanya mampu berusaha dan lakukan sehabis baik. Apa yang pasti setiapa yang terjadi, itulah yang terbaik untuk kita. Dan saya sentiasa berusaha untuk positif, hanya berfikir tentang keimanan, kejayaan, kebahagiaan dan kecemerlangan.

Walau apapun hanya masa yang menentukan segalanya.

Saya akan berdoa dan terus berdoa. Selepas diiringi dengan usaha, doa dan tawakallah senjata yang ada.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

posted from Bloggeroid

Friday 19 October 2012

Salam Jumaat

Salam

Dengan Nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW

Salam jumaat sahabat pembaca semua.

Hari jumaat merupakan hari raya mingguan bagi kita semua umat islam..

Terdapat beberapa perkara sunat yang digalakkan kita untuk melasanakannya..


Ayuh sahabat, kita suburkan amalan ini...moga-moga ada manfaatnya..

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca..

Thursday 18 October 2012

nothing

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W

apa khabar sahabat pembaca? moga sentiasa dalam kebahagiaan dan kegembiraan.


Nikmat terbesar dalam hidup kita sebagai manusia adalah nikmat iman dan islam..
Allahu Akbar...Ya Rabbi, Engkau yang maha berkuasa atas segala-galanya di muka bumi ini..
Ya Rahman, Milik Engkau lah segala isi langit dan bumi..

sekadar saling berpesan-pesan
bahawa kita hanya hamba
segala milik kita hanyalah pinjaman dari Allah..
kelak kita ke Sana hanya amalan yang dibawa sebagai bekal..
saya tinggalkan anda untuk fikirkan..
cukupkah bekalan yang ada???

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

Tuesday 16 October 2012

Zulhijjah

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW

Apa khabar sahabat pembaca? Moga sentiasa ceria dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dalam kehidupan sehari-hari untuk Mencari bekalan secukup-cukupnya bagi kehidupan di sana yang lebih kekal abadi.

Esok rabu, 17 oktober 2012 bersamaan dengan 1 zulhijjah 1433hijrah. Malam tadi dah pun diumumkan bahawa hari raya aidil adha pada hari jumaat 26 oktober 2012.

Antara amalan yang digalakkan untuk dilakukan semasa 10 awal bulan zulhijjah adalah menunaikan haji. Sebagaimana yang kita semua ketahui, bulan zulhijjah adalah bulan menunaikan haji di kota suci Makkah. Hari ini hampir 3 juta umat islam berkumpul di kota Mekah sementara menunggu hari wuquf minggu hadapan. Moga mereka semua diberi kesihatan yang baik dan mendapat haji yang mabrur. Insyaallah. Amin. Sebagaimana hadis nabi bahawa tiada sebaik-baik ganjaran bagi yang memperoleh haji mabrur selain daripada syurga Allah. Namun,menunaikan haji ini adalah untuk yang berkemampuan dari segi kesihatan dan kewangan. Berdoalah moga kelak kita juga dijemput menjadi tetamu Allah. InsyaAllah. Amin.

Selain itu, kita juga digalakkan melaksanakan ibadah korban. Ibadah korban ini hukumnya sunnah muakkadah, iaitu sunat yang dituntut. Seperti hadis :

"Tiada amalan anak adam yang lebih disukai Allah pada hari raya korban selain daripada berkorban iaitu menyembelih binatang korban" (hadis riwayat Abu Daud dan Al Tirmidzi)

Tapi ikutlah kemampuan kita, sekiranya tidak mampu dari segi kewangan. Ada juga amalan yang mudah kita lakukan seperti berpuasa dan perbanyakkan juga amalan berzikir. Seperti hadis :

"Tiada hari yang lebih dicintai disisi Allah dan tiada amalan padanya yang lebih disukai Allah daripada hari sepuluh ini. Maka perbanyakkan tahlil, takbir, Sesungguhnya ia merupakan hari tahlil, takbit dan zikir kepada Allah. Dan puasa sehari daripadanya menyamai puasa setahun dan beramal padanya digandakan 700 ganjaran" (riwayat Baihaqi)

Apa yang pasti bertakwalah kita kepada Allah dengan sedaya upaya kita. Laksanakan mengikut kemampuan dan sedaya upaya kita. InsyaAllah

Wallahua'lam

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

P/s: jom semua sahabat pembaca kita sama-sama berpuasa pada esok hari. Moga ada keberkatannya. Lakukan semata-mata kerana Allah. InsyaAllah..amin

Sumber: langitilahi.com

posted from Bloggeroid

Monday 15 October 2012

Kata hikmah

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW

Saya berkongsi kata-kata hikmah yang terdengar di radio ikim sebentar tadi

"Bumi ini dicipta untuk manusia

Manusia itu dicipta untuk akhirat"

Sudah cukupkah bekalan kita untuk kehidupan akhirat kelak?

Kehidupan yang lebih kekal abadi

Astagfirullah. Takutnya dan gentar rasa jiwa serta hati.

posted from Bloggeroid

Friday 12 October 2012

Bunga

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW

Saya kongsikan beberapa gambar bunga sahajalah hari ini. Aktiviti emak saya di rumah menanam bunga dan sayur sementara mengisi hari-hari tua beliau. Aktiviti pagi dan petang untuk mengeluarkan peluh, baik juga untuk kesihatan emak saya.




Bunga kertas yang tidak putus-putus berbunga. SubhanaAllah. Cantiknya ciptaan Allah.









Deretan pasu yang minggu lepas telah saya isikan tanah, minta emak saya tanamkan sayur kucai, daun kari, sayur ulam raja, daun kesum, dan beberapa jenis bunga untuk di bawa ke rumah saya di Melaka. Saya juga ingin mengikut jejak emak saya, lakukan aktiviti menanam bunga dan sayur. Saya ada terbaca di majalah aktiviti berkebun, melihat kehijauan mampu memberikan ketenangan. Sahabat pembaca Cubalah sendiri.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

P/s : minggu ini cepat betul berlalu. Lelah juga mengejarnya

posted from Bloggeroid

Wednesday 10 October 2012

Dua cerita

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W

Apa khabar sahabat pembaca? Moga sentiasa ceria dalam lindungan rahmat dan kasih sayang Allah.

Cerita pertama

Hari ini sudah dua hari peperiksaan PMR. Saya yang sepatutnya menjadi pengawas Hospital Ampang dipinjam oleh SMK Tun Hussin On 2 kerana kekurangan pengawas. Hospital Ampang juga terdapat tiga calon yang sakit beserta tiga calon lagi di Hospital Ampang Putri. Namun bak kata ketua pengawas saya di Hospital Ampang, semuanya masih under control, jadi saya masih menjadi pinjaman kepada SMK Tun Hussin On 2 sekiranya tiada lagi tambahan calon Hospital Ampang, harapnya enam orang calon hospital ampang ini tidak bertambah lagi, jadi bolehlah saya kekal di SMKTHO2 sehingga tamat peperiksaan. Amin.

Segalanya pinjaman dan tiada yang pasti. Segala yang berlaku juga dengan izin dan kehendak dariNYA. Pastinya apa yang tertulis dan terjadi itulah yang terbaik untuk kita. InsyaAllah

Cerita kedua

Semalam saya menerima meseg dari sahabat lama saya, Salwa Daud. Sahabat lama saya semasa belajar. Sahabat semasa saya kesunyian sabtu ahad sewaktu di asrama, maka bilik wawa lah yang saya tuju. Saya pernah hampir pengsan (nota:saya puasa) keliling satu dewan masa hari konvekesyen wawa, sebab lemahnya wawa dalam pemetaan:)), dia tak tahu nak jelaskan lokasi dia menunggu saya, Allahu Akbar. Tetapi masa konvo saya, dia jumpa saya dengan mudah. Syukur. Saya pernah ke rumah wawa dengan menunggang motosikal semasa zaman praktikal. Wawa juga sahabat pertama yang datang ke rumah saya di Melaka. Saya pernah hilang nombor telefonnya, puas saya mencarinya, tambahan di facebook gambar anaknya yang menjadi gambar profile, syukur ejaan nama tidak ditukar-tukar. Wawa juga tempat saya mengadu tentang kes pertukaran saya ke Melaka tambahan wawa juga mengajar di Melaka, beberapa cadangan juga diberikan. Kami pernah kongsi kisah susah dan duka bersama semasa belajar. Syukur,ada pelangi selepas hujan yang panjang.

Namun sekali lagi wawa diuji, semalam mesegnya minta tolong doakan anaknya NUR AQILAH BALQIS BT JEFFRY yang akan menghadapi pembedahan jantung buat kali kedua di IJN hari ini. Saya baru bertemu sekali dengan Aqilah tahun ini, sewaktu wawa ke rumah saya di melaka, waktu tu Aqilah baru nak pandai jalan, suka Aqilah naik dan turun tangga, penat juga mengejarnya, tapi tidak mengapa penat asalkan sihat. Tapi hari ini Aqilah hanya terbaring. Allahu Akbar.

Saya gunakan medium yang saya ada di blog ini, minta semua sahabat pembaca tolong doakan adik NUR AQILAH BALQIS BT JEFFRY agar kembali sihat, boleh berlari-lari,gelak, ketawa, bijak, normal macam kanak-kanak yang lain dan menjadi anak yang solehah, amin. Moga dengan Tembakan doa sahabat pembaca mampu memberi kekuatan kepada wawa dan adik Aqilah. InsyaAllah. Amin

Ya Allah sembuhkanlah penyakit adik NUR AQILAH BALQIS BT JEFFRY dan berilah kekuatan kepada ibu bapanya dalam menghadapi ujian dariMU ini. Amin ya rabbal alamin.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

Monday 8 October 2012

Aku dulu..

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W


Tuhan dulu pernah
aku menagih simpati
kepada manusia 
yang alpa jua buta

lalu terheretlah aku di lorong gelisah
luka hati yang berdarah
kini jadi kian parah

semalam sudah sampai ke penghujungnya
kisah seribu duka kuharap sudah berlalu

tak ingin lagi
ku ulangi kembali
kerap dosa yang menghiris hati

Tuhan dosaku menggunung tinggi
tapi rahmatMu melangit luas
harga selautan syukurku
hanyalah setitis nikmat Mu dibumi

Tuhan walupun taubat seringku mungkir
namun pengampunanMu tak pernah bertepi
bila selangkah ku rapatMu
seribu langkah Kau rapat padaku

Astagfirullah Al azim...

Selangkah kita rapat kepada Tuhan
Beribu langkah Tuhan mendekati kita...SubhanaAllah..

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

Saturday 6 October 2012

Pengawas PMR

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W

Apa khabar sahabat pembaca? Moga ceria-ceria selalu

Saya bercuti di pahang minggu ini. Semalam selepas mesyuarat untuk pengawas bagi peperiksaan PMR saya terus pulang ke kampung di Pahang.

Tahun ini pastinya memberikan pengalaman yang baru kerana saya diberi peluang dari Allah dan amanah menjadi pengawas peperiksaan bagi pusat peperiksaan Hospital Ampang. Maksudnya mengawas bagi pelajar yang mengalami masalah kesihatan. Selain itu, pengawas bagi pusat peperiksaan hospital juga bertanggungjawab jika ada pelajar yang terlibat dengan kes polis, penjara dan pusat pemulihan akhlak.

Semalam semasa mesyuarat tiada lagi calon PMR dari zon saya yang terlibat dengan sebarang kes di atas. Syukur Alhamdulillah. Jadi hari selasa ini saya dan beberapa rakan guru hanya akan 'on call', rasa seperti doktor pula :)). Apabila ada calon PMR yang dimasukkan ke hospital, dan keadaan calon tersebut mampu untuk menjawab peperiksaan, maka itulah tugas saya dan beberapa rakan guru. Pastinya pengalaman yang menarik. Pastinya juga akan saya kongsikan jika ada pengalaman menarik sepanjang memegang tanggungjawab pengawas peperiksaan hospital dalam tempoh lima hari peperiksaan PMR dijalankan. InsyaAllah.

Tapi, jauh di sudut hati saya dan beberapa rakan guru semalam berdoa agar tiada sebarang kes. Moga semua calon PMR tahun ini diberikan kesihatan yang baik, mental yang sihat, ingatan yang kuat dan mampu menjawab soalan peperiksaan dengan tenang di sekolah masing-masing dalam keadaan yang sangat selesa. InsyaAllah, amin.

Doakan moga kejayaan menjadi milik semua pewaris negara ini.
Moga mereka menjadi hamba Tuhan yang taat, anak yang soleh solehah, manusia yang berguna kepada agama, keluarga, bangsa dan negara mereka.

Kerana, sebaik-baik manusia ialah manusia yang bermanfaat untuk orang sekelilingnya. InsyaAllah.



Sebahagian anak saudara saya bersama emak dan ayah saya. Dari kiri, lelaki bujang yang berbaju melayu kuning terang itu, anak bongsu Along saya, Mohd Iqbar, juga merupakan calon PMR tahun ini. Moga dia mampu mencipta kejayaan untuk dirinya sendiri. Berjaya dunia akhirat dan mencapai cita-cita yang diimpikan. InsyaAllah. Amin

Tembakan doa dari semua sahabat pembaca untuk semua calon PMR tahun ini pastinya lebih bermanfaat untuk mereka semua. Adalah sangat baik kita mendoakan kejayaan sesama kita, dalam masa yang sama doa tersebut juga akan berbalik kepada diri kita.

Selamat maju jaya untuk semua calon PMR 2012
Ya Allah,berikan kesihatan yang baik, ilmu yang bermanfaat, ingatan yang kuat dan hati yang tenang kepada semua calon PMR 2012 di seluruh Malaysia untuk menjawab semua soalan peperiksaan dengan jayanya. Moga kejayaan sentiasa bersama mereka dunia dan akhirat. Amin ya rabbal alamin.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

posted from Bloggeroid

Thursday 4 October 2012

Orang yang paling kaya

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W

Siapa orang yang paling kaya?

Adakah orang yang paling kaya ialah orang yang ada wang berjuta?
Atau orang yang ada rumah berekar-ekar luasnya?
Atau orang yang ada berpuluh -puluh kereta mewah?

Siapakah orang yang paling kaya?

Mungkin ada antara sahabat pembaca merupakan orang yang paling kaya.

Kerana orang yang paling kaya, ialah orang yang paling sihat.

Sihat tubuh badannya, bebas dari sebarang penyakit.
Sihat mentalnya, sihat fizikalnya, sihat akalnya, sihat juga rohaninya.

Hari ini saya ke hospital, temujanji rawatan seperti biasa untuk bertemu doktor pakar. Seawal jam 7 pagi dah sampai. Syukur tahun ini urusannya lebih cekap, sekitar 3jam urusannya selesai, cuma masih juga ada sedikit tempoh menunggu terutama untuk mengambil ubat dan berjumpa doktor pakar. Alah bisa tegal biasa.

Pernah sekali tahun 2010 saya sengaja datang lewat, sekitar jam 9pagi, akhirnya segalanya selesai jam 4 petang. Astagfirullah. Kesabaran saya benar-benar teruji. Benarlah bahawa penantian dan menunggu itu satu penyeksaan. Astagfirullah. Hal ini juga menunjukkan betapa ramainya orang yang sakit. Sakit fizikal. Macam-macam jenis penyakit. Ya Allah, inilah ujian.

Sebab itulah ada pepatah mengatakan orang yang paling sihat ialab orang yang paling kaya.

Apalah guna wang berjuta, jika badan hanya boleh menerima bubur nasik dan air kosong.
Apalah guna rumah luas berekar-ekar tetapi hanya mampu terbaring kaku di atas katil.

Manusia telah diciptakan dengan sebaik-baik kejadian. Tanggungjawab kitalah menjaga 'pinjaman' Allah ini dengan baik
Jika badan sihat, paling penting lebih mudah untuk kita beramal ibadat.
Pengalaman saya sendiri, tahun ini dua tiga kali saya sakit sendi lutut, untuk rukuk dan sujud dalam solat benar-benar memeritkan. Allahu Akbar. Saya cakap pada emak saya, baru di uji sakit lutut, saya dah rasa susah untuk solat. Ya Allah, saya memohon keampunanNYA. Benar-benar menguji keimanan saya yang hanya senipis kulit bawang. sama ada ujian sakit lutut tersebut lebih mendekatkan diri saya pada Allah, atau lebih menjarakkan saya dariNYA.

Lantas emak saya kongsikan satu tips, yang mungkin sahabat pembaca juga boleh amalkan, iaitu:

Setiap pagi, sebelum kita mandi jirus dulu air di lutut kanan dan selawat tiga kali, selepas itu jirus di lutut kiri dan selawat tiga kali, sejuk je rasa. InsyaAllah, moga-moga Allah memberi kekuatan pada sendi lutut kita. Cubalah amalkan. Sebab mencegah lebih baik dari mengubati.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

Wednesday 3 October 2012

Parit Jawa

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kekasih kita semua

Apa khabar sahabat pembaca? moga sentiasa ceria-ceria selalu

Saya ada pandangan yang positif terhadap orang jawa, paling utama kerana kerajinannya, kerana masakannya yang lazat dan kerana ikatan kekeluargaannya..

Jadi apabila diuarkan tentang drama Parit Jawa, hati saya tidak sabar untuk menontonnya, namun saya jauh ketinggalan kerana baru dapat menontonnya semalam selepas download di youtube..

Alhamdulillah..Garapan yang sempurna..Drama yang bagus diselitkan dengan nilai  hubungan kekeluargaan dan sikap amanah memegang wasiat keluarga untuk menjaga tanah pusaka. Ada unsur patriotik juga sebenarnya, semangat cintakan tanah jawa, semangat cintakan budaya jawa dan semangat menjaga tanah hak milik keluarga. dari tanah kita datang dan kepada tanah jualah kita akan dikembalikan.. saya sangat terkesan dengan drama tersebut. Syukur, kerana masih ada lagi drama melayu yang hebat yang tidak perlu menyentuh unsur percintaan sesama hamba yang melampau, tidak perlu berpegangan tangan berlainan jantina tanpa hubungan yang sah, tidak perlu selitkan aksi lelaki yang ganas, isteri yang teraniaya, anak yang dibuang, gadis yang dirogol dan macam-macam lagi yang negatif..syukur..

Teringat saya semasa zaman kanak-kanak, saya dan emak antara peminat drama melayu. Zaman saya yang masih saya ingat ada drama Opah, drama lawak Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan drama polis (saya lupa tajuknya). 

Tapi hari ini, saya lebih selektif untuk menonton drama melayu. boleh dikatakan saya dan emak tidak lagi menjadi peminat drama melayu. sedih melihat drama melayu hari ini yang entahlah...sukar untuk saya ungkapkan di sini....Astagfirullah.. namun, saya tertanya cukupkah sekadar rasa sedih? apa tindakan saya, sedang saya tidak mampu membuat filem atau drama sehebat Parit Jawa. 

Jadi, saya ambil kesempatan dengan menyelitkan nilai-nilai yang ada dalam drama melayu sekarang sewaktu pengajaran saya di kelas. Terutama pelajar tingkatan 4 yang meningkat dewasa.  Pelajar saya tergelak besar apabila ada beberapa drama yang saya ulas dan saya kaitkan dengan kehidupan mereka, secara sinis kadang kala saya menyindir mereka. tetapi bukan menyindir untuk menyakitkan, cuma untuk mengajar...lagi makin menjadi-jadi gelak mereka, cuma saya harap dalam gelak yang besar, mereka dapat mesej sebenar yang ingin saya sampaikan..saya mohon pertolonganNYA..agar pelajar-pelajar ini bermanfaat untuk agama, keluarga, bangsa dan negara..insyaAllah...

Tidak semua drama itu tidak berkualiti, tetapi kita lah sebagai penonton diberi pilihan dan perlu menapis cerita yang ingin kita tonton...segalanya terpulang kepada diri kita sendiri..

Tepuk dada, tanya iman dan akal yang waras..

salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca..


Tuesday 2 October 2012

berkatalah yang luar biasa

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W

saya kongsikan satu hadis dengan semua sahabat pembaca :


Sesiapa yang yakin kepada Allah dan hari akhirat, dia perlu bercakap yang baik-baik atau diam sahaja.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Luarbiasa! Hadith ini menguji iman kita. Ternyata percakapan dan diam kita seharian ada hubung kaitnya dengan keyakinan kita kepada Allah dan Hari Akhirat. Kalau kita faham dengan jelas tips yang diberikan Rasulullah SAW pada kita ini, nescaya kita akan melihat majoriti umat akan mengungkapkan kata-kata yang mengharmonikan kehidupan. Tiada fitnah, umpatan, kata macian, kata kesat, sindiran, pembohongan dan seangkatan dengannya. Kalau lisan yang keluar dari mulut kita sedemikian, aqidah kita masih lemah dan tidak berenergi iman. Masalahnya sekarang, kita banyak bercakap. Suka bercakap. Dan sudah selautan kata kita lepaskan ke bumi dan kepada manusia. Apa yang kita cakapkan? Banyak mana lisan kita itu menunjukan kita ini hamba Allah, bukan manusia yang egois kerana bijak bercakap dan suka bercakap? Ikut sedap mulut orang kata.

Semoga kita memuhasabah kembali apa yang kita cakapkan selama ini. Egois kita untuk merasa bangga dengan “style” dan gaya cakap kita yang jauh dari petunjuk Allah dan Rasul-Nya, kita leraikan sahaja. Belajarlah berkata yang Allah redha. Bukankah kita mahu mencari redha Allah? Buat para pemuda pemudi yang bersemangat dalam dakwah, terus sampaikan kebenaran walaupun satu ayat. Pelihara niat, luruskan matlamat, perbaiki komunikasi kita, dan lontarkan kata-kata kebenaran dengan hikmah demi meraih redha Allah dan demi memenangkan Islam. Wallahualam

tulisan ini  bukan hasil tulisan saya, tapi dari aburidhwan (langitilahiteam). 

saya terkesan dengan tulisan beliau. lantas minta izin untuk dikongsikan...

moga bermanfaat untuk semua sahabat pembaca..

bacaan penuhnya di langitilahi.com

salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca