Monday, 20 August 2012

Puasa enam

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Bagaimana dengan sambutan aidil fitri? Pastinya meriah dengan sanak saudara dengan amalan kunjung mengunjungi dan maaf bermaafan.

Tentunya sudah ada sahabat pembaca yang memulakan berpuasa sunat enam pada hari ini. Selamat berbuka puasa saya ucapkan. Syukur dengan kekuatan yang Allah kurniakan untuk berpuasa pada hari ini. Amalan puasa enam di bulan syawal sangat sinonim dengan masyarakat islam selepas habisnya ramadhan.

Kelebihan puasa enam hari di bulan syawal ini juga ada dinyatakan oleh Abu Ayyub Al-Ansari yang meriwayatkan satu hadis dari RasulAllah S.A.W yang menerangkan kelebihan puasa enam syawal yang bermaksud,

"sesiapa berpuasa ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa sunat enam hari dibulan syawal samalah seperti berpuasa sepanjang tahun"

Saya agak keliru tentang cara pelaksanaan puasa sunat enam ini. Saya tidak mahu amalan ini dilakukan hanya sekadar amalan adat, ikut-ikutan. Beberapa persoalan timbul seperti bolehkah saya lakukan secara tidak berturut, contoh dibuat pada setiap isnin dan khamis di bulan syawal. Bolehkah saya sekalikan dengan niat puasa qadha.

Dalam mazhab syafie ada menyebut bahawa terlebih afdhal jika puasa sunat enam dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dilaksanakan secara berturut-turut. Lebih afdhal.

Tetapi jika tidak dapat dilaksanakan secara berturutan, dilaksanakan pada pertengahan atau akhir syawal, tidaklah dianggap sebagai satu kesalahan tetapi amalan tersebut tetap diterima oleh Allah dan ada pahala disisiNya. InsyaAllah.

Selain itu tentang niat puasa qadha, dalam masa yang sama niat juga untuk puasa sunat enam di bulan syawal. Adakah masih mendapat pahala puasa enam di bulan syawal tersebut.

Jawapannya menurut ulama terkenal dari Al Azhar melalui kitab fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasa dan ditunaikan enam hari dalam bulan syawal dengan niat qadha. Jadi akan terhasil pahala qadha dan pahala puasa enam syawal. Tetapi, lebih afdhal jika diasingkan antara puasa qadha dengan puasa sunat enam syawal kerana puasa qadha hukumnya wajib dan puasa syawal hukumnya sunat. Maka lebih baik tidak disatukan.

Kesimpulannya, lebih baik diasingkan kerana lebih afdhal. Wallahua'alam.

Untuk lebih jelas sahabat boleh merujuk kepada ustaz ustazah demi penjelasan yang lebih lanjut. Kerana ilmu itu sangat luas untuk kita terokai. Ilmu yang dikongsikan hari ini hanya setitik dari ilmuNya yang maha luas.

Signifikannya puasa enam di bulan syawal ini untuk mengajar dan mendidik kita bahawa ibadah itu tidak hanya dilaksanakan pada ramadhan sahaja, tetapi dilaksanakan dengan istiqomah sepanjang hayat kita. Selain itu untuk mengajar kita bahawa syawal bukanlah bulan untuk bergembira semata-mata.

Jadi ayuh sahabat, kita berpuasa enam dibulan syawal.
Semoga ada manfaat dan keberkatannya.
InsyaAllah.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

Sumber : http://www.ukhwah.com

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment