Monday, 10 September 2012

Makanan

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selamat hari isnin sahabat pembaca. Saya sering berasa bahawa hari isnin ialah hari yang panjang. Hari permulaan minggu yang pastinya banyak agenda yang diaturkan untuk hari berikutnya.

Saya nak berkongsi cerita tentang makanan. Saya yakin semua manusia ada kisah tersendiri tentang makanan. Makan yang tujuannya untuk mendapatkan tenaga untuk mudah beribadah kepadaNYA.



Asam pedas. Hari ini saya masak asam pedas. Seingat saya asam pedas makanan pertama yang saya belajar masak dan siap ditulis bahan tumisnya dalam buku. Asam pedas pertama saya semasa praktikal. Selepas itu lama saya tidak memasak sehinggalah saya berpindah mengajar di Selangor. Setahun setengah saya tinggal di hostel UPM atas tiket pelajar post grad. Apabila semua pelajar post grad tidak lagi boleh tinggal di hostel, saya tinggal di rumah abang saya pertengahan tahun lepas, jadi saya kerap masak, hampir setiap hari, jadi hari ini saya fikir saya sudah sedikit mahir dalam memasak. Syukur. Dalam setiap kesukaran Allah selitkan kesenangan.

Guru masakan saya tentunya guru pertama dalam hidup saya iaitu emak saya. Guru masakan saya yang paling hebat. Emak saya sering menyanyi ayat 'nanti emak takde, nak tanya siapa bila nak masak?'. Allah, moga Allah memanjangkan umur emak saya dengan kesihatan yang baik dan dapat pula memperbanyak amal ibadatnya. Amin.

Saya masih ingat sejak tingkatan satu hingga sekarang apabila hendak pulang ke asrama emak saya sering membekalkan makanan. Nasi, lauk, buah dan macam-macam lagi. Makanan yang emak saya masak membentuk saya seperti hari ini. Makanan dari air tangan emak yang sangat berkat. Sehinggakan sejauh mana kita lari, akhirnya ke pangkuan emak juga kita akan kembali. Makanan emak telah menambah dan mengerat kasih sayang. Moga kelak saya juga akan jadi seperti emak saya. Mampu masak dan memberi makanan yang terbaik untuk anak-anak. Amin.

Satu pesanan emak saya yang saya lakukan adalah sentiasa selawat apabila memasak sebarang makanan. Basuh sayur selawat, basuh beras selawat, basuh ikan selawat, sedang menumis juga selawat. Inilah bezanya apabila makan di rumah berbanding makan di kedai. Makanan yang dimasak dengan kasih sayang dan diiringi dengan selawat. Moga ada keberkatan pada makanan tersebut.

Apabila duduk dengan abang saya, saya amalkan pesanan emak cuma saya tambah sedikit doanya iaitu

'Ya Allah,moga makanan ini menjadikan kami hambamu yang lebih bersyukur dan mentaati segala perintahMU, meninggalkan segala laranganmu.amin'.

Doa saya dalam hati. Sahabat pembaca juga boleh amalkan. Kerana saya fikir makanan tersebut akan jadi darah daging. Apabila kita berdoa insyaAllah dimakbulkan. Tentulah saya mahukan diri saya sendiri dan abang saya yang makan makanan tersebut menjadi hamba Tuhan yang soleh dan solehah. Kelak mampu kami berkumpul bersama di syurga firdaus. InsyaAllah. Amin. Makanan yang sihat dari hasil yang halal dimasak dengan penuh ikhlas, insyaAllah mampu membentuk manusia hamba yang tahu asal usul dirinya diciptakan, iaitu semata-mata menjadi hamba Allah yang taat meninggalkan segala larangan, melakukan segala suruhan.

Kisah lain tentang makanan yang masih segar dalam minda saya ialah semasa tahun-tahun awal pengajian saya di UPM. Suatu hari saya teringin makan McDonalds, jadi saya sms abang saya. Lantas selepas waktu kerja abang saya segera menghantar makanan tersebut. AllahuAkbar. Tersentuh hati saya. Hari ini apabila saya tinggal bersamanya, saya pula diberi peluang Allah untuk membalas jasanya dengan menyediakan makanan untuk abang saya. Syukur.

Kisah lain tentang makanan, minggu ini merupakan minggu akhir syawal. Ramai juga rakan-rakan yang sudah menamatkan puasa sunat enam di bulan syawal. Syukur. Atas dasar tersebut, minggu ini isnin hingga jumaat penuh dengan aktiviti makan-makan. SubhanaAllah. Mulai hari ini pihak pentadbir sekolah beserta para staf mengadakan makan-makan di pejabat. Esok pula unit bimbingan dan kaunseling mengadakannya di bilik kaunseling. Rabu para guru akan mengadakannya di bilik guru, khamis dan jumaat jemputan dari sahabat guru untuk datang ke rumah terbukanya selepas waktu persekolahan. AllahuAkbar. Moga aktiviti makan-makan tersebut mampu mengeratkan silaturrahim yang terjalin. Moga aktiviti tersebut tetap mengekalkan semua sahabat dalam kesederhanaan. Tidak berlebihan sehingga boleh mengundang kemudaratan kesihatan.Amin. Berkatilah kami Tuhan.

Pelbagai kisah tentang makanan.
Apa yang pasti kita makan untuk terus hidup. Bukan hidup untuk makan. Apabila makan berdoalah agar makanan tersebut mampu memberi kita tenaga demi melakukan ibadah kepadaNYA.

Moga makanan yang kita makan dan masak setiap hari lebih menjadikan kita hamba yang lebih bersyukur kerana diberi nikmat rezeki. Ingatlah saudara seislam kita di negara-negara luar seperti Somalia yang sukar untuk mendapatkan makanan walaupun sesuap nasi dan setitik air minuman.

Ya Allah berkatilah rezeki yang KAU kurniakan kepada kami dan jauhkan kami dari azab api nerakaMU. Amin. Amin. Amin

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment