Sunday, 16 September 2012

Jangan hina Rasulullahku

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selamat hari Malaysia kepada semua warganegaranya di seluruh pelusuk dunia. Warganya yang majmuk, warganya yang pernah menakluk puncak dunia, warganya yang telah ke angkasa lepas, warganya yang telah ke kutub dunia, warganya yang sudah merdeka dan telah mencipta pelbagai kejayaan. Jangan hina negaraku Malaysia.

Semalam heboh di media massa tentang rasulku, kekasihku junjungan besar Muhammad S.A.W dihina yang entah ke berapa kali.

Junjungan Allah yang maksum. Junjungan Allah yang digelar Al-Amin, tetapi di hina. Ya Allah. Astagfirullah.
Astagfirullah. Sebak rasa di dada.

Atas isu yang sangat sensitif dan penting ini, saya terfikir apa respon saya apabila isu penghinaan kepada islam ini sering terjadi. Cukupkah sekadar rasa sebak dan sedih.

Apa tanggungjawab saya? Akhirat kelak apabila bertemu rasulullahku yang dihina hari ini, apa yang perlu saya katakan? Adakah hari ini saya telah membelanya daripada di hina?

Blog inilah respon saya. Medium yang saya ada. Untuk berkongsi dengan semua sahabat pembaca melalui penulisan,ingin saya ajak semua sahabat saya yang membaca marilah kita berdoa agar rasulullah kita tidak di hina. Berdoalah dalam setiap selepas solat sahabat. Berdoalah!

kita sama-sama berdoa agar yang menghina menerima pengajaran selayaknya melalui apa yang telah dilakukan. Kita tidak layak menghukum selain Allah. Tidak layak juga kita bersikap seperti yang menghina, kelak seolah-olah menunjukkan inilah ajaran islam. Mengajar keganasan dan ketidaksopanan.

Jadi kita serahkan kepadaNYA yang maha berkuasa. Namun kita perlu berusaha, berusaha melalui medium penulisan ini. Berusaha melalui doa. Berusaha melalui semampu kita. Jika kita ibu, sebarkan kepada anak kisah baginda yang boleh diteladani untuk menjadi anak yang soleh. Kisah baginda yang menahan seorang sahabat dari sama-sama berjihad, sebaliknya lebih afdhal menjaga ibunya.

Jika kita sebagai pelajar, sebarkan kepada sahabat seperjuangan betapa rasulullah tidak pernah mengenali putus asa dalam menyampaikan wahyu Allah.

Buat sahabat yang mempunyai blog, berusaha dengan sebar luaskan isu ini, isu yang sensitif tetapi perlu ditangani dengan penuh hemah sebagaimana kekasih kita Rasulullah yang dihina,tetapi tetap menyantuni musuhnya dengan penuh hemah. Sebar luaskan kisah-kisah terpuji Rasulullah. Sebar luaskan kecintaan kita kepada Rasulullah.

Sahabat pembaca kalau ada dari kalangan guru sebarkan kepada anak didik peribadi rasulullah yang mulia. Sebarkan kecintaan kepada baginda melalui kisah peribadi baginda yang terlalu banyak boleh dicontohi dan diikuti dalam kehidupan harian kita.

Sebar luaskan kecintaan kita kepada Rasulullah.
Selawat dan salam ke atas junjungan besarku Muhammad S.A.W

Inilah usaha saya. Inilah respon saya
Jangan hina rasulullahku.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment