Sunday, 30 September 2012

Berharap

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W

Apa khabar sahabat pembaca? Moga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah

Saya selamat sampai di Kuala Lumpur jam 430 petang. Allahu Akhbar. Syukur.

Demi Allah yang menghidup dan mematikan setiap hambaNYA, saya mohon agar diberikan kekuatan dan kesabaran kepada diri saya, keluarga saya dan semua sahabat pembaca menghadapi hari-hari seterusnya dengan penuh pengharapan. InsyaAllah.

Hidup adalah hidup, jadi hadapinya..

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

Friday, 28 September 2012

Bajet 2013

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar kekasih kita semua Nabi Muhammad S.A.W

Saya bercuti di Melaka minggu ini, sampai Melaka terus ke JPN Melaka untuk urusan pertukaran. Semoga pertukaran saya diluluskan. Tolong katakan amin sahabat pembaca. Tembakan doa daripada semua sahabat pembaca amat saya harapkan. Kerana pastinya ada doa dari salah seorang sahabat pembaca yang akan Allah makbulkan. InsyaAllah

Hari ini pembentangan bajet 2013

Saya hanya sempat mendengarnya setengah jam terakhir

Tidak mampu untuk saya mengulasnya dengan panjang

Tambahan ilmu hanya sejengkal

Apa yang pasti

Suka saya nyatakan dari ayat Allah yang terbaik

"Maka nikmat Allah yang mana lagilah yang hendak kau dustakan"(surah AlRahman)

Syukur dengan segala nikmat, rahmat dan kemakmuran negara.

Moga negaraku Malaysia yang tercinta ini terus aman, sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah serta terhindar dari segala fitnah dunia. Amin.

Syukur ya Allah.

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian

Selamat berehat di hujung minggu.

posted from Bloggeroid

Thursday, 27 September 2012

10 perkara merosakkan otak

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W


saya kongsikan 10 perkara yang merosakkan otak. Bolehlah diamalkan, terutama untuk para pelajar yang musim peperiksaan semakin tiba..

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian..

Tuesday, 25 September 2012

Pecutan

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W


Semua pelajar inginkan kejayaan namun, hanya sedikit yang berusaha...

Minggu-minggu akhir sebelum tibanya peperiksaan PMR dan SPM

guru, pelajar, sama-sama memecut...moga semuanya berjaya tiba ke garisan penamat dengan jayanya...

pastinya ada kemanisan, kegembiraan dan kejayaan, selepas perjalanan yang susah, perit dan pahit..

semoga kejayaan mengiringi setiap langkah anak-anak murid saya..

doakan mereka..dengan katakan amin....

salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

Saturday, 22 September 2012

Kepentingan menuntut ilmu

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Apa khabar sahabat pembaca.

Moga sentiasa dalam keadaan sihat dan sejahtera.

Jumaat lepas, sekolah saya mengadakan solat hajat untuk pelajar tingkatan 3 dan 5. Pihak sekolah menjemput imam muda musim pertama, saya lupa namanya, yang merupakan bekas pelajar sekolah saya. Allahuakbar. Sedap mendengar bacaan Al Quran dan nasihatnya kepada para pelajar tentang pentingnya ilmu.

Beliau berkongsi tentang hadis Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda bermaksud,

"barang siapa hendakkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Barangsiapa hendakkah akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan barangsiapa hendakkan kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat hendaklah dengan ilmu".

Sebab itulah ada pepatah melayu mengatakan menuntut ilmu biar sampai ke negeri Cina. Ada juga kata, menuntut ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahad.

Menuntut ilmu bukan sekadar semata-mata mengejar nama, pangkat atau darjat. Tapi yang lebih penting untuk kemaslahatan diri kita sendiri sebagai hamba demi mengenal pencipta dengan lebih dekat lagi. Ilmu yang kita pelajari tak lebih sekadar setitik air di lautan. Selagi hidup, selagi itu kita perlu belajar apa sahaja ilmu asalkan mendatangkan kesan dan nilai yang positif dalam diri kita.

Imam muda juga berkongsi nasihat Imam Syafie yang terkenal sebagai seorang yang mencintai ilmu. Sanggup merantau jauh demi mencari guru untuk menuntut ilmu.

Imam Syafie mengatakan bahawa kita tidak akan mencapai apa yang kita impikan kecuali melaksanakan enam perkara berikut, iaitu :

1. Menjadi orang yang cerdik
Soalnya, bagaimana nak menjadi orang yang cerdik? Tiada beza antara kita, yang memberi nilai sama ada diri kita cerdik atau tak cerdik, ialah diri kita sendiri. Usaha kita sendiri.

2. Untuk menjadi cerdik, laksanakan perkara kedua iaitu berlumba-lumba. Berlumba-lumba bila ada majlis ilmu, berlumba-lumba mencari kehebatan Allah. Berlumba-lumba mencari keredhaan Allah. Ada sifat cemburu apabila kekurangan ilmu.

3. Kena bersungguh-sungguh. Apabila makan,makan dengan sungguh-sungguh. Apabila tidur, kita tidur dengan sungguh-sungguh. Apabila main,kita bermain dengan bersungguh-sungguh. Apabila belajar, mengaji, solat,berdoa, kita lakukan dengan bersungguh-sungguh.

4. Berbelanja. Siapalah yang tak suka berbelanja. Tetapi adakah perbelanjaan kita bermanfaat? Berbelanjalah, untuk menuntut ilmu. Membeli buku-buku, kitab-kitab yang boleh disimpan lama, boleh menjadi rujukan bila-bila masa dan boleh ditunjukkan pada anak cucu kita tentang khazanah ilmu yang kita ada.

5. Paling penting dalam kehidupan manusia iaitu menghormati guru. Guru pertama kita di rumah iaitu emak dan ayah. Nilai guru begitu tinggi. Kita doakan guru kita. Doakan para pendidik yang tak jemu mendidik kita.

6. Beramal dengan kelima-lima perkara di atas. Ilmu tanpa amal,umpama pokok yang tidak berbuah.

SubhanaAllah. Cantiknya kebesaran Allah. Wahyu pertama kepada junjungan besar kita semua Nabi Muhammad S.A.W juga galakan kepada menuntut ilmu iaitu " Bacalah, dengan nama Tuhanmu"

Saya sering beri semangat pada emak saya apabila kesalnya beliau tidak disekolahkan, kesalnya beliau tidak tahu membaca, dengan mengatakan emak sama dengan kekasih kita Muhammad. Tidak tahu membaca. Tetapi baginda diberi mukjizat, dilapangkan hati oleh Allah untuk menerima segala wahyu dari Allah.

Tetapi emak saya tak pernah berputus asa, walau tak tahu membaca tapi beliau bersungguh-sungguh melazimi AlQuran dalam hidupnya, menemani hari-hari tuanya, berdoa, memohon hajat agar Allah terangi hatinya untuk mampu membaca Al Quran. Hari ini syukur, dengan izin Allah, usaha sungguh-sungguh emak saya beliau mampu menghafal beberapa surah. Syukur Tuhan. Boleh ceritakan pada saya beberapa kisah sahabat nabi dek sikap berlumba-lumba untuk ke surau mendengar ceramah. Boleh berkongsi dengan saya beberapa doa seperti doa nabi Ibrahim apabila dicampakkan ke dalam api. Darah yang mengalir dalam diri saya hari ini, yang menyedari pentingnya ilmu, adalah darah emak saya jua. Semangat, sungguh-sungguh, berlumba-lumba adalah semangat dari emak saya juga. Guru pertama saya sejak saya lahir hingga hari ini. Allahu Akbar ya Allah, emak adalah kurniaan terbesar dalam hidup saya. Dari dia saya belajar betapa pentingnya ilmu.

Jadi sahabat, ayuh kita laksanakn semampu kita enam nasihat dari Imam kita semua iaitu Imam Syafie.

Semoga ada manfaatnya. Boleh juga dikongsi dengan anak-anak yang semakin membesar.

Selamat berhujung minggu

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian.

posted from Bloggeroid

Friday, 21 September 2012

Musim Haji 1433H

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, Kekasih kita semua.

Selamat menunaikan haji buat semua tetamu jemputan Allah. semoga mendapat haji yang mabrur. menunaikan haji hanya permulaan, apa yang penting adalah apabila kembali semula ke tanah air nanti, adakah kita mampu istiqomah dengan amalan yang dilakukan selama 44 hari tersebut. Semoga semua jemaah Malaysia diberikan kesihatan yang baik, semangat yang berkobar-kobar mencari redha Allah, mendapat haji yang mabrur, seterusnya pulang ke tanah air dengan azam dan nekad yang baru terus ikhlas dan istiqomah dengan amal ibadah, semata-mata keranaNYA...insyaAllah...amin...

Lagu Haji dari Opick.

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian.

Thursday, 20 September 2012

Kek batik

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas kekasih kita semua junjungan besar Muhammad S.A.W

Sahabat pembaca semua sihat? Semoga sihat dan ceria, bagi yang berpuasa sunat khamis, selamat berbuka puasa.

Hari ini tekak saya teringin untuk makan kek batik, terkenang-kenang ada sahabat guru membuatnya semasa jamuan raya minggu lepas.

Jadi, hari ini satu lagi pencapaian saya di dapur,berjaya membuat kek batik. Bukan kek batik sarawak tu. :))

Selama ini kalau teringin saya akan minta kakak-kakak saya buatkan. Sama ada de saya yang mahir membuat kek, atau along saya.

Tapi saya terpikir, sampai bila? Saya kena belajar buat. Usaha tangga kejayaan. Tak jadi untuk kali pertama normal. Kali kedua perbaiki mana yang kurang. Yang penting jangan ulang kesilapan yang sama.


Inilah hasilnya. Abaikan plastik merah yang jelas kelihatan. Kek batik yang masih di dalam loyang. Syukur di rumah abang saya ada loyang, di sekolah saya terfikir-fikir bahawa di rumah abang saya ada loyang atau tidak. Rupanya, ada. Syukur. Moga abang saya dipertemukan Allah dengan jodoh yang solehah. Amin. Kembali kepada cerita kek batik, kek ini belum boleh dipotong sebab baru siap sebelum asar tadi. Syukur Alhamdulillah

Saya kongsikan bahan-bahannya. Saya tahu ramai sahabat yang mahir membuatnya, tapi saya tahu juga bahawa ada sahabat yang tak mahir. Bahannya sangat mudah:

250 gram butter cup
1 tin susu pekat manis 450gram
250 gram milo
1 bungkus biskut marie jenama tiger

Cara membuatnya :
1. Cairkan butter dalam periuk
2. Selepas butter cair masukkan susu pekat manis.
3. Kacau dan masukkan milo (sambil kacau, selawatlah, pasti lagi sedap) :))
4. Kacau sehingga mengelembung
5. Masukkan biskut marie yang telah dibelah dua.

Kacau hingga sebati dan masukkan dalam loyang yang telah dibalut plastik untuk elak melekat bila dipotong nanti. Ratakan adunan dalam loyang, tekan-tekan supaya mampat, tinggalkan semalaman dalam suhu bilik, kemudian boleh dipotong. Seterusnya baca Bismillah dan makan. Pastinya kepuasan lebih terasa kerana anda membuatnya sendiri.

Selamat mencuba sahabat pembaca. Buatlah sesuatu yang baru, yang positif, yang tak pernah kita lakukan, pastinya memberi kesegaran kepada jiwa dan minda kita. Dalam masa yang sama menambah ilmu pengetahuan.

Walaupun saya pernah melihat kakak-kakak saya buat. Saya ingat-ingat lupa akan bahan-bahannya. Jadi kredit resepi kek batik ini dari nanirostam.blogspot.com. Pemilik blog ini berpesan, untuk dapat hasil yang lazat mesti ikut sepenuhnya hatta jenama biskut sekalipun. Jadi, saya ikut sepenuhnya pesanannya. Harap hasilnya juga menjadi. InsyaAllah.

Selamat mencuba sahabat pembaca.

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian.

posted from Bloggeroid

Wednesday, 19 September 2012

Kekasih kita semua

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W kekasih Allah dan kekasih kita semua.


Kita berkongsi kekasih yang sama sahabat. Jadi bagaimana untuk merebut 'kasih' dari kekasih kita yang sama ini. salah satunya kita perbanyakkan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. Supaya akhirat kelak baginda mengenali kita sebagai umatnya. Baginda mengenali kita umatnya yang sangat mengasihi baginda. selawatlah ke atas baginda semasa kita memandu, semasa kita memasak, semasa kita mendodoi anak, semasa kita melipat baju,dan bila-bila sahaja walau di mana kita berada. Semoga dengan selawat yang membasahi lidah kita mampu meningkatkan kecintaan dan kasih kita kepada baginda. InsyaAllah...Ya Rasulullah, Kekasih Allah dan kekasih hati kami semua, pandanglah kami yang sangat mencintaimu melalui hati kami, melalui lidah kami yang sentiasa berselawat kepadamu dan melalui perbuatan kami yang sedaya upaya mengamalkan sunnahMu..InsyaAllah...


Hayati kisah ini

Dari Anas bin Malik R.A dia berkata :

'Ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi S.A.W, " Bilakah hari kiamat akan berlaku wahai Rasulullah?"

Baginda menjawab, "Apa  yang telah kau persiapkan untuknya?"

Lelaki itu menjawab "Aku tidak mempersiapkan banyak solat, puasa atau sedekah. Namun aku mencintai Allah dan RasulNYA"

Maka Baginda menjawab "Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai"
(Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Apabila Rasulullah kita dihina, kita marah, kita sedih, kita kritik. Tetapi apakah pula yang kita lakukan hari ini untuk membuktikan kecintaan kita kepada baginda. Adakah kita sedaya upaya mengamalkan sunnah baginda? Adakah kita mencontohi sikap baginda? Allahu Akbar.. Astagfirullah..masih sempat lagi, bermula sekarang, detik ini, saat ini, buktikan kecintaan kita kepada baginda dengan hati kita, dengan lidah kita yang sering berselawat ke atasnya dan dengan perbuatan kita yang sedaya upaya amalkan sunnahnya...insyaAllah

Semoga bermanfaat

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca..

Monday, 17 September 2012

Sudah tercatat

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Soal jodoh sudah tercatat awal dahulu.

Sudah tercatat sebelum kita melihat dunia lagi.

Sudah tercatat bersama ajal dan juga rezeki.

Sudah tercatat sejak azali, bukan untuk diribut-ributkan.

Tapi hari ini ramai yang mengejar jodoh meskipun ianya sudah sedia tercatat. Namun, begitu sedikit yang berlari mendapatkan hidayah meskipun ianya perlu dicari.

Tetapi, apabila ianya sudah tercatat. Adakah jodoh hanya perlu ditunggu?

Jawapannya ya dan tidak.

Ya, tunggu jika

1. Ilmu agama begitu rendah, perdalaminya dahulu.
2. Pemahaman ilmu rumah tangga tidak mendalam, perbanyakkan isinya dahulu.

Tidak, namun

1. Adakah jawapan tidak merupakan tiket untuk ber'couple'? Semestinya tidak, Mengapa mesti dikurangi pahala amalan dengan muatan dosa.

2. Adakah usaha mencari jodoh secara membuta tuli? Tiada perbincangan dengan yang berpengalaman, nasihat ibu bapa? Pemilihan ibu bapanya pastinya lebih baik untuk pembinaan baitul muslim. Latar belakangnya, keturunannya, hartanya dan paling penting agamanya.

3. Adakah sudah jelas dengan matlamat sebuah perkahwinan? Adakah nafsu semata atau wasilah dakwah? Sudahkah faham benar dengan erti dakwah?

Tepuk iman, tanya akal.

Hati-hati memberi hati supaya ianya dihargai bukan disakiti.

Membina sebuah baitul muslim samalah seperti membina sebuah negara. Hmm bukan tugas yang enteng!

Salam sejahtera buat semua sahabat sekalian

Kredit: akuislam.com

posted from Bloggeroid

Sunday, 16 September 2012

Jangan hina Rasulullahku

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selamat hari Malaysia kepada semua warganegaranya di seluruh pelusuk dunia. Warganya yang majmuk, warganya yang pernah menakluk puncak dunia, warganya yang telah ke angkasa lepas, warganya yang telah ke kutub dunia, warganya yang sudah merdeka dan telah mencipta pelbagai kejayaan. Jangan hina negaraku Malaysia.

Semalam heboh di media massa tentang rasulku, kekasihku junjungan besar Muhammad S.A.W dihina yang entah ke berapa kali.

Junjungan Allah yang maksum. Junjungan Allah yang digelar Al-Amin, tetapi di hina. Ya Allah. Astagfirullah.
Astagfirullah. Sebak rasa di dada.

Atas isu yang sangat sensitif dan penting ini, saya terfikir apa respon saya apabila isu penghinaan kepada islam ini sering terjadi. Cukupkah sekadar rasa sebak dan sedih.

Apa tanggungjawab saya? Akhirat kelak apabila bertemu rasulullahku yang dihina hari ini, apa yang perlu saya katakan? Adakah hari ini saya telah membelanya daripada di hina?

Blog inilah respon saya. Medium yang saya ada. Untuk berkongsi dengan semua sahabat pembaca melalui penulisan,ingin saya ajak semua sahabat saya yang membaca marilah kita berdoa agar rasulullah kita tidak di hina. Berdoalah dalam setiap selepas solat sahabat. Berdoalah!

kita sama-sama berdoa agar yang menghina menerima pengajaran selayaknya melalui apa yang telah dilakukan. Kita tidak layak menghukum selain Allah. Tidak layak juga kita bersikap seperti yang menghina, kelak seolah-olah menunjukkan inilah ajaran islam. Mengajar keganasan dan ketidaksopanan.

Jadi kita serahkan kepadaNYA yang maha berkuasa. Namun kita perlu berusaha, berusaha melalui medium penulisan ini. Berusaha melalui doa. Berusaha melalui semampu kita. Jika kita ibu, sebarkan kepada anak kisah baginda yang boleh diteladani untuk menjadi anak yang soleh. Kisah baginda yang menahan seorang sahabat dari sama-sama berjihad, sebaliknya lebih afdhal menjaga ibunya.

Jika kita sebagai pelajar, sebarkan kepada sahabat seperjuangan betapa rasulullah tidak pernah mengenali putus asa dalam menyampaikan wahyu Allah.

Buat sahabat yang mempunyai blog, berusaha dengan sebar luaskan isu ini, isu yang sensitif tetapi perlu ditangani dengan penuh hemah sebagaimana kekasih kita Rasulullah yang dihina,tetapi tetap menyantuni musuhnya dengan penuh hemah. Sebar luaskan kisah-kisah terpuji Rasulullah. Sebar luaskan kecintaan kita kepada Rasulullah.

Sahabat pembaca kalau ada dari kalangan guru sebarkan kepada anak didik peribadi rasulullah yang mulia. Sebarkan kecintaan kepada baginda melalui kisah peribadi baginda yang terlalu banyak boleh dicontohi dan diikuti dalam kehidupan harian kita.

Sebar luaskan kecintaan kita kepada Rasulullah.
Selawat dan salam ke atas junjungan besarku Muhammad S.A.W

Inilah usaha saya. Inilah respon saya
Jangan hina rasulullahku.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

posted from Bloggeroid

Friday, 14 September 2012

Tidak mati

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Moga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Apa yang tidak mati? Siapa? Ada ke yang hidup tidak akan mati? Semua yang hidup pasti mati. Mati juga adalah tujuan hidup kita. Mati dalam iman atau sebaliknya. Nauzubillah.

Tetapi Allah hidup dan tidak mati. Saya nak berkongsi ayat ke 58 dari surah Al Furqan yang bermaksud :

"dan bertawakallah kepada Allah yang hidup, yang tidak mati, dan bertasbihlah dengan memujiNya. Dan cukuplah Dia maha mengetahui dosa hamba-hambaNYA"

Perbanyakkan tawakal kepada Allah. Sentiasa berzikir. Beristigfar memohon keampunan kepada Allah. Sesungguhnya setiap hari, setiap minit kita tidak lari daripada melakukan dosa. Namun segeralah menyedarinya dan bertaubat. Moga kelak Allah matikan kita bersih dari sebarang dosa. InsyaAllah. Amin

Post ini sekadar ingat-mengingati sesama kita.

InsyaAllah. Moga ada manfaatnya.

Saya sudah selamat sampai di kampung. Syukur. Tenang dan mendamaikan jiwa.

Selamat bercuti kepada semua sahabat pembaca.
Salam sejahtera kepada kalian semua

posted from Bloggeroid

Wednesday, 12 September 2012

PPPM 2013-2025

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Semoga sentiasa sihat dan ceria. Hidup yang ceria akan memberikan kesan yang positif pada jiwa-jiwa kita. InsyaAllah.

Semalam telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang tranformasi besar dalam bidang pendidikan yang akan bermula pada tahun hadapan iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025.

Tiga objektif utama pelan ini untuk memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan negara melalui penambahbaikan akses kepada pendidikan. Kedua, meningkatkan kualiti, merapatkan jurang pencapaian dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid. Ketiga, memaksimumkan keberkesanan sistem.

Daripada tiga objektif utama, digarisi 11 anjakan atau dasar untuk mengubah sistem pendidikan negara. Iaitu :

1.menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
2. Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
3. Melahirkan rakyat Malaysia dengan penghayatan nilai.
4. Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.
5. Memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6. Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan.
7. Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
8. Mentransformasi kebolehupayaan dan kapasiti penyampaian kementerian.
9. Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10. Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11. Meningkatkan ketelusan untuk akauntabiliti awam secara langsung.

Daripada objektif dan dasar, pelan ini akan melalui tiga gelombang atau tiga peringkat iaitu gelombang pertama dari 2013 hingga 2015. Gelombang kedua dari 2016 hingga 2020. Dan gelombang ketiga dari 2021 hingga 2025.

Pembuat dasar beserta 12000 orang awam dari pelbagai sektor telah memberi pandangan sehingga lahirnya pelan ini dan dapat diumumkan dalam laporan awal semalam oleh Perdana Menteri. Dengan izin Allah jua.

Tinggal terpulang kepada pihak pelaksana iaitu dari Kementerian Pelajaran Malaysia, turun kepada Jabatan Pelajaran Negeri, kepada Pejabat Pelajaran Daerah, pengetua, guru besar, para guru pendidik bangsa, staf sokongan, persatuan ibu bapa dan guru, murid iaitu para pelajar yang merupakan bakal pewaris
negara seterusnya orang awam perlu berganding bahu dan bekerjasama bagi memastikan pelan, dasar yang telah dirancang dapat dilaksanakan dan keberkesanannya benar-benar signifikan.

Banyak lagi yang perlu diperinci sebelum pelaksanaannya pada tahun hadapan. Pendapat peribadi saya sebagai pendidik yang baru setahun jagung dalam arena ini, saya menerima tranformasi ini dengan sangat positif. Kerana memang benar masih banyak kelemahan dalam sistem sedia ada, tetapi kita juga masih ada
banyak peluang dan ruang untuk memperbaikinya. Jadi, nah inilah masanya.

Masa untuk bertindak
Masa untuk kehadapan
Masa untuk membuktikan apa yang diungkapkan

Selamat maju jaya untuk semua yang bekerja dalam sektor pendidikan.
Untuk semua sahabat pendidik, berusahalah!
Ambil semangat rasul junjungan mulia Muhammad S.A.W yang juga 'guru' menyampaikan ilmu wahyu tanpa kenal letih dan lesu.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

Tuesday, 11 September 2012

Budak Darjah Enam

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? semoga sentiasa sihat dalam lindungan Allah dan sentiasa ceria hendaknya..amin..

Hari ini bermulalah  peperiksaan awam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid tahun enam seluruh Malaysia. Selamat maju jaya di ucapkan kepada semua bakal pewaris negara ini.

Budak darjah enam. Muhammad Faris Zaqwan
 Seorang anak buah saya juga salah seorang calon UPSR tahun ini. Muhammad Faris Zaqwan.. semasa dia darjah satu kami kerap panggil dia budak darjah satu. sekarang bila dia darjah enam kami panggil dia budak darjah enam. banyak sangat kerenah, ragam dan manjanya.

Semoga Allah sentiasa melindunginya menjadi anak yang soleh dan memberi dia peluang mencapai cita-citanya. amin...amin...Sejak darjah satu cita-citanya sering berubah-ubah. imaginasi kanak-kanak. sekejap nak jadi juruterbang, sekejap nak jadi doktor, sekejap nak jadi saintis.. macam-macam..

Hari ini penentu arah tujunya di peringkat menengah. sama ada aliran sekolah asrama penuh, sekolah menengah harian biasa, sekolah menengah agama, atau di mana sahaja, yang pastinya kejayaan boleh dicipta jika berusaha dengan bersungguh-sungguh. kejayaan tidak datang bergolek dan tidak hanya dimulut mesti diiringi dengan usaha.

selamat maju jaya untuk Muhammad Faris Zaqwan dan semua sahabat sebayanya.. semoga mampu mencipta kecemerlangan dan menggembirakan hati ibu abah, keluarga dan semua guru yang berhempas pulas membuat tusyen sehingga ke hari ahad..subhanaAllah..

ayuh sahabat pembaca kita doakan kejayaan buat semua murid darjah enam di seluruh Malaysia yang menduduki UPSR bermula hari ini. semoga Allah melapangkan hati mereka, memberi ketenangan pada jiwa mereka untuk menjawab semua soalan dengan jayanya..insyaAllah...

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca..

Monday, 10 September 2012

Makanan

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Selamat hari isnin sahabat pembaca. Saya sering berasa bahawa hari isnin ialah hari yang panjang. Hari permulaan minggu yang pastinya banyak agenda yang diaturkan untuk hari berikutnya.

Saya nak berkongsi cerita tentang makanan. Saya yakin semua manusia ada kisah tersendiri tentang makanan. Makan yang tujuannya untuk mendapatkan tenaga untuk mudah beribadah kepadaNYA.



Asam pedas. Hari ini saya masak asam pedas. Seingat saya asam pedas makanan pertama yang saya belajar masak dan siap ditulis bahan tumisnya dalam buku. Asam pedas pertama saya semasa praktikal. Selepas itu lama saya tidak memasak sehinggalah saya berpindah mengajar di Selangor. Setahun setengah saya tinggal di hostel UPM atas tiket pelajar post grad. Apabila semua pelajar post grad tidak lagi boleh tinggal di hostel, saya tinggal di rumah abang saya pertengahan tahun lepas, jadi saya kerap masak, hampir setiap hari, jadi hari ini saya fikir saya sudah sedikit mahir dalam memasak. Syukur. Dalam setiap kesukaran Allah selitkan kesenangan.

Guru masakan saya tentunya guru pertama dalam hidup saya iaitu emak saya. Guru masakan saya yang paling hebat. Emak saya sering menyanyi ayat 'nanti emak takde, nak tanya siapa bila nak masak?'. Allah, moga Allah memanjangkan umur emak saya dengan kesihatan yang baik dan dapat pula memperbanyak amal ibadatnya. Amin.

Saya masih ingat sejak tingkatan satu hingga sekarang apabila hendak pulang ke asrama emak saya sering membekalkan makanan. Nasi, lauk, buah dan macam-macam lagi. Makanan yang emak saya masak membentuk saya seperti hari ini. Makanan dari air tangan emak yang sangat berkat. Sehinggakan sejauh mana kita lari, akhirnya ke pangkuan emak juga kita akan kembali. Makanan emak telah menambah dan mengerat kasih sayang. Moga kelak saya juga akan jadi seperti emak saya. Mampu masak dan memberi makanan yang terbaik untuk anak-anak. Amin.

Satu pesanan emak saya yang saya lakukan adalah sentiasa selawat apabila memasak sebarang makanan. Basuh sayur selawat, basuh beras selawat, basuh ikan selawat, sedang menumis juga selawat. Inilah bezanya apabila makan di rumah berbanding makan di kedai. Makanan yang dimasak dengan kasih sayang dan diiringi dengan selawat. Moga ada keberkatan pada makanan tersebut.

Apabila duduk dengan abang saya, saya amalkan pesanan emak cuma saya tambah sedikit doanya iaitu

'Ya Allah,moga makanan ini menjadikan kami hambamu yang lebih bersyukur dan mentaati segala perintahMU, meninggalkan segala laranganmu.amin'.

Doa saya dalam hati. Sahabat pembaca juga boleh amalkan. Kerana saya fikir makanan tersebut akan jadi darah daging. Apabila kita berdoa insyaAllah dimakbulkan. Tentulah saya mahukan diri saya sendiri dan abang saya yang makan makanan tersebut menjadi hamba Tuhan yang soleh dan solehah. Kelak mampu kami berkumpul bersama di syurga firdaus. InsyaAllah. Amin. Makanan yang sihat dari hasil yang halal dimasak dengan penuh ikhlas, insyaAllah mampu membentuk manusia hamba yang tahu asal usul dirinya diciptakan, iaitu semata-mata menjadi hamba Allah yang taat meninggalkan segala larangan, melakukan segala suruhan.

Kisah lain tentang makanan yang masih segar dalam minda saya ialah semasa tahun-tahun awal pengajian saya di UPM. Suatu hari saya teringin makan McDonalds, jadi saya sms abang saya. Lantas selepas waktu kerja abang saya segera menghantar makanan tersebut. AllahuAkbar. Tersentuh hati saya. Hari ini apabila saya tinggal bersamanya, saya pula diberi peluang Allah untuk membalas jasanya dengan menyediakan makanan untuk abang saya. Syukur.

Kisah lain tentang makanan, minggu ini merupakan minggu akhir syawal. Ramai juga rakan-rakan yang sudah menamatkan puasa sunat enam di bulan syawal. Syukur. Atas dasar tersebut, minggu ini isnin hingga jumaat penuh dengan aktiviti makan-makan. SubhanaAllah. Mulai hari ini pihak pentadbir sekolah beserta para staf mengadakan makan-makan di pejabat. Esok pula unit bimbingan dan kaunseling mengadakannya di bilik kaunseling. Rabu para guru akan mengadakannya di bilik guru, khamis dan jumaat jemputan dari sahabat guru untuk datang ke rumah terbukanya selepas waktu persekolahan. AllahuAkbar. Moga aktiviti makan-makan tersebut mampu mengeratkan silaturrahim yang terjalin. Moga aktiviti tersebut tetap mengekalkan semua sahabat dalam kesederhanaan. Tidak berlebihan sehingga boleh mengundang kemudaratan kesihatan.Amin. Berkatilah kami Tuhan.

Pelbagai kisah tentang makanan.
Apa yang pasti kita makan untuk terus hidup. Bukan hidup untuk makan. Apabila makan berdoalah agar makanan tersebut mampu memberi kita tenaga demi melakukan ibadah kepadaNYA.

Moga makanan yang kita makan dan masak setiap hari lebih menjadikan kita hamba yang lebih bersyukur kerana diberi nikmat rezeki. Ingatlah saudara seislam kita di negara-negara luar seperti Somalia yang sukar untuk mendapatkan makanan walaupun sesuap nasi dan setitik air minuman.

Ya Allah berkatilah rezeki yang KAU kurniakan kepada kami dan jauhkan kami dari azab api nerakaMU. Amin. Amin. Amin

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

Saturday, 8 September 2012

Sekolah ganti

Salam pagi sabtu yang ceria buat semua sahabat pembaca

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Hari ini sekolah ganti bagi semua sekolah di Malaysia. Menggantikan cuti perayaan aidil fitri yang lalu, diberikan cuti seawal hari khamis. Jadi jadual pembelajaran hari ini mengikut jadual hari khamis.

Saya seperti selalu sampai ke sekolah seperti hari persekolahan biasa. Cuma hari ini perjalanan amat lancar. Malah dapat sampai lebih awal kerana tiada sebarang kesesakan. Syukur.

Sahabat guru cakap 'nampaknya guru lebih ramai daripada pelajar hari ini.'

Benar, pelajar seorang dua sahaja yang kelihatan. Selebihnya tidak hadir. Walaubagaimana keadaan sekalipun proses pengajaran tetap berjalan seperti biasa.

Selamat bertugas untuk semua sahabat pembaca yang bergelar pendidik. Tidak mengapa hari ini bertugas, kerana kita sudah bercuti lama. Tidak mengapa hari ini bertugas, petang masih sempat untuk ke rumah terbuka. Tidak mengapa hari ini bertugas, esok masih ada hari untuk berehat. Tidak mengapa cikgu, ini tugas, tugas kita besar, membina bakal pewaris negara bangsa yang cemerlang dunia akhirat. InsyaAllah. Amin.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

Thursday, 6 September 2012

Permohonan sesudah solat

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? semoga sentiasa sihat dalam lindungan Allah. Syawal masih berbaki dan masih sempat untuk berpuasa enam. selamat berpuasa untuk semua sahabat pembaca yang mengambil peluang untuk berpuasa enam. Syukur..Tiadalah mampu kita untuk beramal ibadat tanpa izin dan hidayahNYA, berdoalah moga Allah sentiasa membantu kita untuk sentiasa ikhlas dan istiqomah dalam setiap amalan kita. InsyaAllah...amin..

Syukur dengan nikmat iman dan islam. syukur Alhamdulillah

Saya terbaca sepotong hadis di surau guru sekolah saya. Ini maksud hadisnya :

Daripada Muaz bin Jabal r.a, beliau berkata : 'Rasulullah mengambil (memegang) tanganku pada suatu hari lalu berkata : 'Wahai Muaz, demi Allah, sesungguhnya aku mengasihi engkau!' Muaz berkata : 'Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah dan ibuku wahai Rasulullah, dan demi Allah, aku juga mengasihi engkau.' Maka Rasulullah berkata : 'Aku berwasiat kepada kamu janganlah kamu meninggalkan pada setiap kali selesai solat untuk mengatakan ; 'Ya Allah! Bantulah aku untuk sentiasa mengingati-Mu, sentiasa bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan baik kepada-Mu.'
                                                                      (Riwayat Abu Daud dan Al Nasa'i)

suka saya nak mengajak kepada semua sahabat pembaca untuk mengamalkan doa tersebut selepas setiap kali solat kita. mohonlah dan pintalah kepada Allah yang maha mendengar dan sentiasa mahu memakbulkan doa hamba-hambanya..Allahu Akbar.

"Ya Allah, bantulah aku dan semua sahabat pembaca blog ini untuk sentiasa mengingatimu, sentiasa mensyukuri nikmatmu dan sentiasa beramal ibadat dengan baik kepadamu"

"Ikhlas dan istiqomah kan hati kami dalam beramal ibadat semata-mata keranaMu Ya Allah"..amin..amin.

Salam sejahtera kepada semua sahabat sekalian..





Wednesday, 5 September 2012

Sabar

Salam

Dengan Nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang


sabar kan separuh daripada iman..

salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca.

Monday, 3 September 2012

E-G Tukar

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Moga sentiasa sihat dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Amin.

Sejak 1 september, sabtu lepas, eg tukar sudak dibuka untuk semua guru yang ingin mohon bertukar sama ada tukar antara daerah atau antara negeri bagi sesi persekolahan januari 2013.

Semalam sebelum balik ke Kuala Lumpur sambil salam dan memeluk emak, saya beritahu yang isnin nak lengkapkan borang eg tukar, doakan lah agar kali ini permohonan saya di luluskan. Emak kata, insyaAllah, dapat. InsyaAllah amin. Harap-harap berkat doa seorang ibu dapatlah saya bertukar ke Melaka. Amin. Tembakan doa sahabat pembaca juga amat-amat saya harapkan.

Hari ini, Alhamdulillah saya dah pun hantar borang eg tukar. Syukur. Ini kali keempat saya menghantar borang eg tukar sejak sesi pertukaran bagi jun 2011,gagal, januari 2012, juga gagal, jun 2012, lagi sekali gagal.

Januari 2013, insyaAllah lulus. Amin. Yang penting jangan ada rasa putus asa dalam diri kerana pastinya aturan Tuhan adalah yang terbaik untuk kita. Yang penting sentiasa berusaha . InsyaAllah, pasti berjaya. Amin. Amin.

Doakan saya sahabat pembaca. Moga pertukaran ini mampu menjadikan saya hambaNya yang lebih baik. Anak yang lebih solehah dan Guru yang lebih dedikasi. InsyaAllah. Amin

Saya doakan juga untuk semua sahabat pembaca dari kalangan rakan pendidik yang ingin memohon bertukar, saya doakan permohonan kalian juga diluluskan. InsyaAllah. Amin

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca

posted from Bloggeroid

Saturday, 1 September 2012

Merdeka raya

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang

Apa khabar sahabat pembaca? Syukur kepada Allah dengan nikmat yang diberikannya setiap saat dan setiap hari.

Selamat hari merdeka ke 55 tahun. Syukur dengan nikmat kemerdekaan negara. Syukur dengan nikmat kebebasan, bebas bergerak, bebas menuntut ilmu, bebas beragama, bebas memilih. Syukur dengan limpahan nikmat dan kemakmuran, jadi hargai setiap nikmat yang kita perolehi hari ini. Semoga negara kita Malaysia terus maju dan rakyatnya mempunyai jati diri yang kukuh, terus mengamalkan islamisasi dalam kehidupan sesuai dengan status sebagai negara islam contoh. Paling penting perpaduan kaum terus menjadi tonggak utama kemajuan negara. InsyaAllah. Amin. Amin. Semoga negara kita, pemimpin, dan seluruh rakyatnya sentiasa dalam rahmat dan redha Allah. Amin.

Bagaimana dengan cuti merdeka raya sahabat pembaca? Pastinya meriah dengan pelbagai aktiviti. Saya semalam seawal pagi bergerak ke Melaka bersama emak dan ayah untuk menghadiri majlis kenduri kahwin, sempat juga mengambil peluang beraya, berjumpa sanak saudara, gembira sangat emak ayah saya berjumpa saudara dan sahabat handai yang ada hampir 40 tahun tidak bertemu. Emak saya banyak benar ceritanya:)). Allah. Syukur, inilah nikmat merdeka raya. Cuti yang panjang ramai mengambil kesempatan mengadakan majlis perkahwinan, sekaligus menjadi majlis rumah terbuka. Peluang bersua muka dengan bilangan saudara mara yang ramai mampu mengeratkan ikatan ukhwah agar kembali terjalin erat, insyaAllah..

Petang tadi kami selamat sampai di Pahang, esok saya akan kembali semula ke Kuala Lumpur. Allah syukur. Jauh perjalanan, ramai saudara yang berjumpa, banyak persinggahan yang ditempuhi, maka banyaklah cerita, kisah suka duka zaman silam yang apabila di kenang dan di ingat kembali pastinya menggamit memori dan seribu satu rasa. Akhirnya akan mencetuskan kesyukuran dengan nikmat yang diperoleh hari ini. Hanya DIA lah yang selayak-layaknya menerima pujian atas segala nikmat yang diberikan. Syukur ya Allah.

Selamat menyambut merdeka raya untuk semua sahabat pembaca.
Mengekalkan kemerdekaan lebih sukar daripada mencapainya. Jadi, tanggungjawab kitalah sebagai rakyat untuk mengekalkannya dengan semampu kita. Moga-moga ada keberkatannya. InsyaAllah.

Jangan di soal apa sumbangan negara kepada kita, tetapi tanyalah apa yang telah kita sumbangkan buat negara kita yang tercinta ini.

Salam sejahtera kepada semua sahabat pembaca
Salam merdeka negaraku Malaysia yang ke 55 tahun
Tanah tumpah darahku yang tercinta
Semoga sedikit usahaku dalam bidang pendidikan mampu membantu membina negara bangsa. InsyaAllah. Amin. Amin. Amin

posted from Bloggeroid