Friday, 8 June 2012

Felda

Salam

Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha penyayang




Saya merupakan generasi kedua felda. Bersekolah rendah sepenuhnya di felda. Apabila di peringkat menengah saya tinggal di asrama tapi rakan-rakan saya masih kebanyakannya anak felda. Namun, saya masih ingat semester pertama di universiti, seorang pensyarah bertanya berapa orang dari felda, seingat saya sekitar enam ke tujuh orang sahaja anak felda dari 60 orang rakan sekelas saya. Saya rasa dukacita. Entah kenapa.

Semasa zaman saya tidak banyak bantuan dari felda sama ada dari segi kewangan, pinjaman pelajaran dan latihan vokasional. Tapi pada hari ini peluang itu dinikmati oleh generasi ketiga felda, iaitu anak-anak saudara saya. Syukur dengan nikmat ini.

Hari ini juga felda telah berubah wajah. Saya masih ingat perutusan pengerusi felda semasa raya aidilfitri tahun lepas, zaman awal pembukaan felda, setiap kali musim perayaan kawasan felda sunyi kerana semua peneroka pulang ke kampung halaman. Tapi hari ini, felda itu sendiri telah menjadi kampung halaman bagi peneroka dan generasi seterusnya. Felda itu sendiri telah maju mengikut zamannya. Syukur. Kerana malanglah jika hidup kita hari ini lebih buruk dari semalam. Syukur dengan segala nikmat ini.
Emak dan ayah saya memasuki felda pada tahun 70an. Semasa itu umpama hidup dalam hutan,kawasan jin bertendang katanya. Emak saya pernah hilang semasa mengikut ayah saya memancing, menggambarkan semak dan susahnya zaman itu. Terdapat juga serangan orang minyak. Ada juga beberapa jiran emak ayah saya yang lari keluar dari felda dan pulang semula ke kampung halaman kerana hilang kesabarannya berhadapan kesusahan meneroka kawasan hutan untuk dijadikan penempatan yang sempurna.

Namun hari ini, selepas 50 tahun,kesabaran mereka terbayar. Benarlah bahawa akan ada berita gembira bagi orang-orang yang sabar. Sesungguhnya setiap kesusahan akan ada kesenangan. Yang penting sabar dan solat. Allahu akbar.

Tanah felda ini harus dijaga kemakmurannya. Menjadi tanggungjawab generasi kedua meneruskan legasi kecemerlangan ini. Hari ini juga heboh dengan saham dan pelbagai rezeki lain untuk warga peneroka. Syukur. Allah jualah pemberi rezeki.

Saya terpanggil untuk menulis tentang felda kerana semalam ayah saya membawa pulang buku yang sangat tebal tentang FGVH, menyuruh saya pembacanya. Pagi ini ayah saya membawa pulang akhbar keluaran khas utusan tentang felda. Saya sebak membacanya. Kerana terfikir dan teringat tentang kesusahan emak ayah saya dahulu. Kita harus mencintai tanah air kita. Kita perlu mencintai kampung halaman kita. Kita harus mendoakan kesejahteraan penduduknya supaya mengamalkan kehidupan islam sepenuhnya agar sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayangNya. Agar terhindar dari segala tipu daya manusia. Terselamat dari segala fitnah dunia. InsyaAllah.

Ada tanggungjawab yang besar untuk generasi kedua felda dan seterusnya menjaga keharmonian felda ini. Mencapai kejayaan itu lebih mudah berbanding mengekalkannya. Tetapi tidak mustahil jika bersatu hati dan mengamalkan setiap ajaran yang terkandung dalam manual kehidupan kita iaitu Alquran dan sunnah Nabi muhammad s.a.w.

InsyaAllah,semoga Felda terus maju dalam rahmat ilahi. Semoga generasinya terus berdaya saing dan memberikan impak yang positif untuk felda sendiri dan negara amnya. Amin.

Salam sejahtera kepada semua warga felda dan untuk sahabat pembaca semuanya. Semoga hari mendatang menjadikan kita lebih baik dari hari-hari semalam. InsyaAllah.

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment